Fragmen

FRAGMEN

A: Berat beg kau tu.

B: Apakan tidak, penuh segala.

A: Apa isinya?

B: Segala-gala. Macam-macam. Ada yang aku jumpa, ada orang beri, ada ambil saja. Ada pula orang buang, aku kutip. Ada tu dapat percuma. Ada tu, orang kasi pinjam, aku lupa kasi balik. Ada tu aku curi. Ada tu, kelihatan terbiar, aku pungut. Ada tu, aku beli dan simpan. Ada yang berharga, ada tidak. Ada orang sedekah. Ada juga hadiah. Ada masih baik, ada dah buruk. Ada tu aku mintak baik-baik tak diberinya. Aku rampas dan bawa lari. Ada juga yang dah retak, aku tampal scotch-tape. Ada dah berkarat. Ada pulak kemek. Ada juga yang sumpik. Ada kelihatan baru tapi dah lama. Ada yang ringan, ada juga yang berat. Ada yang cantik, ada tu bolehlah tahan. Ada tu rasa hati macam nak buang tapi tak jadi. Jadi begitulah…

A: Kau bawa beg tu ke hulu, ke hilir… tengok kau pikul, aku yang penat. Kenapa tak simpan saja dan bawa beg kosong?

B: Iya, memang berat. Lenguh juga dibuatnya. Beg yang aku bawa ni pun dah sarat. Dalam seminggu dua ni nanti penuhlah dia…

A: Bila penuh kau buat apa?

B: Aku simpan dan bawa beg baru. Diam tak diam dah 43 beg dah penuh.

A: Apa kau buat dengan beg-beg yang penuh tu?

B: Ada kala aku buka beg yang ada, cari yang perlu. Ada masanya kena selongkar juga. Ada tu dah puas cari tak jumpa-jumpa. Sedih pun ada bila dah macam tu… terasa kehilangan. Tapi ada masa aku bukak jugalah mana-mana beg… belek-belek apa yang ada. Bersih-bersihkan juga mana yang perlu. Ada tu, aku letak tepi fikir nak buang… tapi tak jadi. Aku simpan semula…sayang…

A: Apa yang paling berharga yang ada dalam beg-beg tu?

B: Susah aku nak menilaikan. Macam ni hah… kau nampak ni yang sumpik ni kan? Bagi kau mungkin tak berharga lah, tapi bagi aku ia amat berharga.

A: Eh… gambar-gambar tu… ada diambil dalam studio. Masih baik nampaknya…

B: Iya. Gambar… ada berwarna, ada juga hitam putih. Ada warnanya kilat. Ada juga hambar. Yang hitam putih tu pun ada juga yang dah kelabu…

A: Banyak beg yang sarat kau simpan. Tempat tentunya makin sesak kan?

B: Aku susun baik-baik… ada beg tu dah koyak. Ada yang berlapuk dan berhabuk… aku bersihkan, jahit…

A: Tak ada orang curi beg-beg kau ni?

B: Tak ada siapa nak curi beg-beg aku ni. Siapalah nak pegang beg tak bernilai ni, bau pun kusam…

A: Kau kalahkan si karung guni!

B: Iya. Memang pun…

A: Kalau satu hari kau perasan satu beg kau hilang, macamana?

B: Aku akan cuba cari. Kalau tak jumpa, aku biarkan. Mana mungkin dapat aku ganti. Segala isinya juga tak boleh diganti.

A: Kau rasa apa akan orang buat pada beg dan segala isinya yang dicuri tu?

B: Dia tak boleh bikin apa-apa. Paling tidak pun dia anggap aku gila kerana menyimpan segala yang tidak sepertinya. Mungkin dia akan ketemu kepingan kaca dalam beg itu. Bagi dia, mungkin hanya kepingan kaca yang tidak berharga, tapi ia permata bagiku.

A: Jadi kau akan menangisi kehilangan beg itu?

B: Tentunya.

A: Kalau kau ketemu semula beg itu, apa yang akan kau lakukan?

B: Aku simpannya semula. Simpan elok-elok.

A: Kalau kau ketemu si pencuri beg itu?

B: Aku salam dan ucap terima kasih.

A: Kau tak marah?

B: Apa perlunya?…

TAMAT.

 

Alang Budiman
16 Disember 2016
16 Rabiulawal 1438H
Jumaat, 21:48 malam

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Jejak Diri and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s