cerpen: pelayaran

ANGIN laut bertiup lembut dari arah selatan. Mentari seakan cuba menyembunyi terikan pancarannya di balik putih awan. Juragan memandang kejauhan pada biru-hijau samudera. Kapal beroleng manja, seakan mengusik perasaan pelaut betah dilambung ombak itu.

“Sudah waktu,” ujarnya ringkas dan seterusnya meniup wisel dan memandang ke arah Kelasi di geladak dan mengangguk kepalanya, anak buah sejak 30 tahun itu pun mengerah awak-awak mengangkat sauh. Asar baru sahaja berlalu dan Juragan merasakan ia adalah masa terbaik untuk kapal menyusur Selat.

“Tuan, segalanya siap, hanya nanti perintah Tuan untuk belayar,” lapor Kelasi yang ghairah menantikan arahan selanjutnya, kerana mengetahui pelayaran kali ini akan membawanya pulang ke dakapan anak isteri.

“Engkau sudah sahkan koordinat dengan jurumudi? Awak-awak di anjung sudah kau pastikan mereka telah bersedia?,” tanya Juragan lagi.

“Sudah Tuan, koordinat 6.1235° S, 106.8094° E siap. Jurumudi kata, kalau ikut ramalan, prakiraan tinggi gelombang 0.5 – 1.25 meter hanya akan berlaku di bahagian tengah Selat Melaka, tetapi pelayaran kita akan lalui kawasan ombak tinggi yang setinggi 4 meter, terutamanya di kepulauan Bangka Belitung sebelum kita masuki Laut Jawa. Keadaan di perairan Pulau Seribu juga agak tinggi. Kita hanya perlu waspada, Tuan,” jawab Kelasi dengan jelas.

“Muatan kita bagaimana?,” tanya Juragan lagi.

“Segala keperluan untuk kapal dan awak-awak cukup. Segala muatan dagang telah lulus periksa, tiada yang tinggal. Semua anak kapal siap lapor. Tiada yang sakit atau tinggal kapal. Semuanya mau pulang Tuan, rindu anak-bini!,” ujar Kelasi ikhlas tanpa selindung.

“Baik, kita belayar sekarang. Bilang jurumudi tiup semboyan. Ariffin sudah azan?,” tanya Juragan.

“Sudah tuan, tadi Imam dah selamat baca doa selamat sewaktu Tuan periksa buritan dan bahagian celorong. Kami tunggu Tuan, tetapi lama sangat. Imam kata, kita langsung aje. Lagipula segalanya sudah siap,” jawab Kelasi yang setia berkhidmat di kapal yang menjadi punca rezekinya sejak tiga dekad lalu.

Juragan mengangguk. Teringat beliau pada perbualannya bersama Imam malam tadi:

“Bila pulang, apa rencanamu?,” tanya Imam sebaik mereka selesai sembahyang Isyak di surau kapal.

“Entahlah Imam. Keluarga dah lama sangat menantiku. Lima tahun aku tidak pulang. Kali ini tentunya kehadiranku memeranjatkan mereka,” jawabnya bersahaja.

“Kenapa lama sangat engkau tidak pulang. Jadi selama ni setiap kali kita ke Darat, kau ke mana?,” tanya Imam.

“Aku duduk di rumah Anjang. Kau ingat dia? Bekas jurumudi kita dahulu? Dia sebatang kara. Aku kasihankan dia…,” jawab Juragan tanpa meneruskan penceritaannya.

“Iyalah, tetapi takkan sampai lima tahun kau tak pulang? Isteri? Anak-anak kau? Mereka tak tanya? Tak mencari? Kali ini kau sebaiknya pulang. Eh, Anjang apa khabar?,” balas Imam bertemali.

“Anjang telah meninggal waktu kali terakhir aku menjaganya. Sakit tua. Iya saya akan pulang kali ini,” ujar Juragan dengan nada rendah.

Bunyi semboyan mengejutkan Juragan dari lamunannya.

“Sudah waktu,” bisik kata hati.

Tamat.

Alang Budiman
September 18, Ahad
16 Zulhijjah 1438H
6:07 malam

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in cerpen and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s