Nilai Kekomunikatifan dalam Pengkaryaan Puisi Melayu Mutakhir

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

 

Mukadimah

MENURUT pujangga Usman Awang, “Melayu itu orangnya bijaksana”.

“Nakalnya bersulam jenaka 
Budi bahasanya tidak terkira 
Kurang ajarnya tetap santun 
Jika menipu pun masih bersopan 
Bila mengampu bijak beralas tangan…”

Karya yang lahir pada 1979 ini merupakan mukadimah untuk perbincangan pagi ini perihal “Nilai Kekomunikatifan dalam Pengkaryaan Puisi Melayu Mutakhir”.

Pengenalan

“Nilai” secara umumnya menyentuh soal ‘etika’ dan ‘akhlak’, sedang “kekomunikatifan” pula bererti ‘tingkat perhubungan’ sejauh mana dapat kita menyampai hasrat, hajat dan maksud sama ada secara lisan, bertulis atau gerak badan ataupun bahasa isyarat.

“Pengkaryaan Puisi Melayu” merangkumi segala warisan kita yang berbait, berima, berirama, berbayang dan bermaksud, tersurat dan tersirat; peribahasa, seni kata lagu, pantun, syair, gurindam, sajak, madah, seloka, mantera, teromba dan talibun serta pelbagai lagi khazanah poyang yang telah kita tinggalkan atau terlupakan.

“Mutakhir” bermakna ‘terkini’ dan ‘sekarang’.

Pengkaryaan

Asasnya, puisi Melayu mutakhir lebih terarah kepada penulisan sajak – sehingga ia seakan ‘tunggak’ puisi moden di Singapura. Secara umumnya, akhbar Berita Harian/Berita Minggu menerbitkan kira-kira 300 kuntuman sajak sepanjang tahun 2015. Dua hingga empat kuntum sajak diterbitkan setiap Ahad (Berita Minggu) dan Isnin (Berita Harian). Keseluruhan karya-karya ini dihasilkan, secara kasarnya, oleh sekitar 100 penulis/penyair – kira-kira 60 daripadanya lelaki.

Pengkaryaan berkisar kepada beberapa tema utama: Ketuhanan / Cinta / Perjalanan Hidup / Nostalgia.

Tema lebih terperinci:

Cerminan diri / Perjalanan hidup Persahabatan Keihsanan
Kemanusiaan Nostalgia Peristiwa
Ketuhanan / Kerohanian Nasihat Dorongan
Cinta (manusiawi) *Sains *Teknologi
*Sosio-ekonomi *Sosio-politik *Sosio-budaya

Lazimnya, kemunculan sesuatu karya di dada akhbar atau majalah, diraikan penulis kerana karya mereka terpilih sedang yang lain di’tongsampah’kan pihak pengarang. Dua faktor lain turut menyumbang kepada kegembiraan itu: Pertama, ia menjadi dorongan dalam meningkatkan profil penulis; dan kedua, ia berpeluang dinilai untuk anugerah sastera tahunan. Hakikatnya, bayaran yang diterima bagi sesuatu karya yang tersiar di akhbar dan majalah tidaklah seberapa.

Yang pasti, karya yang tersiar dan diterbitkan termasuk dalam bentuk buku seharusnya menonjolkan kemampuan penulis/penyair tempatan dalam memperkayakan lagi khazanah sastera Melayu negara ini, cuma kemampuan yang bagaimana? Apakah nilainya terletak pada jumlah karya yang terbit atau mutu karya itu sendiri yang mampu mencapai tahap ‘malar segar’ atau ‘avant garde’ – suatu ciptaan kreatif yang bertentangan dengan arus perdana, mempunyai unsur kontroversi dan bersifat curahan rasa peribadi. Persoalannya sekarang, sejauh manakah karya-karya yang ada ini menepati dua faktor tadi, sekaligus dapat meningkatkan nilai kekomunikatifan dalam lima perkara:

  1. Meluaskan pemikiran
  2. membangkitkan kesedaran
  3. menggerakkan masyarakat
  4. mengukuh jati diri; dan
  5. memartabat puisi Melayu

Atau, sajak-sajak ini tidak lebih daripada perkongsian perasaan atau sekadar lampias kata semata-mata?

Persoalan ini penting untuk kita fahami dan selami kerana penulis apalagi sasterawan adalah cendekia yang menyuntik dan mencuit pemikiran dan perasaan dalam minda dan jiwa masyarakat sedang mereka mengharungi liku sehari-hari. Kegagalan penyair berbuat demikian akan menyebabkan kelesuan atau kebenakan pada pola pemikirannya.

Hal ini disuarakan penyair Zaharian Osman dalam sajak ‘Tekad’ (BH, 28 Dis 2015):

tekad harus kuat 
semangat biar kental 
tekad harus bulat 
semangat biar pejal 
hidup bertekad 
jangan hanya nekad 
pandang jauh lihat dekat 
usah warisi kedunguan 
berdekad-dekad 
tekad biar lekat 
semangat cekal 
buat bekal 
semangat terus kekalkita pewaris berakal 
bukan nakal mengakal 
dalam tidur usah berdengkur 
dalam celik usah membuta 
dalam jaga usah mengada-ngada 
dalam diam usah berdendam

tekad 
biar putih tulang jangan putih mata

Sajak ‘Tekad’ antara contoh karya yang memaparkan kesungguhan dan dorongan penulis terhadap pembentukan iltizam baharu.

Sajak ini mengingatkan kita pada senikata berikut:

Marilah pindah berpindah minda 
Ke suatu era ke puncak nyata 
Marilah pindah berpindah minda 
Marilah segera fikiran alpa 
Marilah pindah berpindah minda

(Berpindah Minda, Mohd Khair Mohd Yassin, 1991, Warner Music Singapore Pte Ltd)

Tidak dapat tidak, kedua-dua sajak ini menjolak pemikiran yang menurut saya menepati gagasan nilai kekomunikatifan, dalam erti kata lain, kedua-dua penyair ini menuntut satu anjakan berani. Menariknya, kedua-dua karya ini muncul selang 24 tahun.

Perubahan Zaman, Cabaran Dihadapi

Nilai kekomunikatifan terletak kepada kemampuan penulis/penyair/sasterawan dalam mencuit fikiran, menjebat hati dan jiwa pembaca di samping keupayaan memasarkan dan memasyhurkan karyanya. Cuma, ia tidak dapat dicapai sekiranya sajak atau puisi yang dihasilkan gagal diterbitkan atau jika diterbitkan sekalipun, tidak dapat menarik perhatian pembaca/pendengar. Kita sedia maklum, untuk menjual karya sastera bukan mudah. Sering penyair kita berasa lelah untuk menjual 500 naskah apalagi 1,000 naskah buku puisi mereka.

‘Berpindah Minda’ lahir ketika Internet baru sahaja diperkenalkan menerusi Netscape dan penggunanya hanya mencecah 1 juta orang, menggunakan komputer meja. ‘Tekad’ lahir ketika dunia menghadapi ‘information overload’ (limpahan maklumat) dengan pengguna Internet yang mencecah 3 bilion orang di mana 70 peratus daripada mereka memanfaatkan Google Chrome menerusi pelbagai kemudahan – komputer meja, komputer riba, telefon bijak, tablet, televisyen dan jam tangan!

Perubahan zaman membawa cabaran besar kepada penulis/penyair/sasterawan Melayu Singapura. Jika sebelum ini, saluran karya adalah sekadar akhbar, majalah, buku ataupun album bagi lagu-lagu puisi, kini Internet menawarkan pelbagai saluran dan wadah penulisan ‘online’ atau dalam talian seperti Blogspot dan WordPress; wadah perhubungan sosial seperti Facebook, Twitter dan IG; wadah muzik digital seperti SoundCloud, Spotify, iTunes dan YouTube; toko buku dalam talian seperti Buku Fixi, BukuOnline2u, KarangKraf Mall, ITNM, Amazon, BookRix, Baker & Taylor, Barnes & Noble. Ini belum termasuk aplikasi bergerak atau mobile apps serta gerbang penerbitan karya swalayan.

Dalam erti kata lain, penulis/penyair/sasterawan hari ini berdepan dengan segala kemudahan untuk memasarkan karya. Dengan kemudahan yang wujud hari ini, pemasaran karya sastera dan karya kreatif kini menjadi lebih dinamis, dengan persaingan untuk menarik perhatian pembaca menjadi lebih sengit. Pokoknya, pengkaryaan sastera kini bukan lagi hobi tetapi dipacu untung-rugi.

Saranan

Apakah pilihan kita? Meneliti hal ini, terdapat satu jalan keluar, namun tuntutannya adalah satu keberanian.

Untuk meningkatkan nilai kekomunikatifan karya, penulis/penyair harus keluar dari kepompongnya – mengetepikan rasa segan atau malu untuk berkerjaya sebagai penjual karya. Pekerjaan ini memohon tuntutan sepenuh masa dan memanfaatkan setiap saluran dan ruang yang ada.

Jika sebelum ini, penulis/penyair/sasterawan hanya menantikan sajak diterbitkan di akhbar atau majalah sebelum ia dapat dinikmati masyarakat (entah dibaca entahkan tidak), ia merupakan satu pendekatan lapuk.  Untuk karya dihargai, penyair harus muka tarpal dalam menjual karya.

Antara cara menarik perhatian adalah dengan mengumpul senarai nombor telefon dan e-mel rakan, teman dan taulan atau sesiapa sahaja yang dirasakan meminati sastera dan mula memaklumkan tentang karya anda dari masa ke semasa. Bangunkan kumpulan pembaca /peminat karya sendiri.

Dalam aspek pembukuan karya pula, Penulis/Penyair/Sasterawan asasnya bukanlah Profesor Serba Tahu, jadi harus menghormati keahlian penyunting, pereka grafik, eksekutif pemasaran dan penerbit dalam mempakejkan karya menjadi sebuah produk yang mampu menembusi pasaran menurut khalayak yang disasarkan.

Mengadakan kedai ‘online’ sendiri atau memasarkan karya menerusi saluran sedia ada merupakan satu lagi pilihan. Art Fazil, memasarkan lapan album termasuk ‘Syair Melayu’ di iTunes. Siri novel ‘Diari Bonda’ Rohani Din di Goodreads. Isa Kamari dan Hassan Hasaa’ree Ali di toko BooksActuallyshop.com, dan buku antologi ‘Tafsiran Tiga Alam’ oleh Hamed Ismail, Hartinah Ahmad & Samsudin Said mencatat penjualan tertinggi di Malaysia dan boleh didapatkan di toko buku kelolaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad (ITBM). Atau mungkin, ada lebih terdorong menghasilkan e-buku atau aplikasi bergerak untuk menjual karya. Hal ini perlu ditimbang dengan teliti menerusi kajian dan maklum balas.

Satu lagi cara agak mudah, adalah dengan mengumpulkan para penyair, membincangkan satu usaha mengadakan semacam ‘garaj sale’ buku-buku yang diterbitkan. Canangkan hal ini kepada pihak media, kawan-kawan, ahli keluarga dan sebarluaskan sesi jualan ini di segala wadah sosial atau e-mel. Dapatkan juga kerjasama ibu-bapa dan guru-guru agar dapat memperkenalkan kepada anak-anak dan murid-murid akan penulis/penyair yang akan menjual karya dan adakan sesi perkenalan.

Ibu bapa dan guru-guru berperanan dalam menyuntik minat anak-anak dan pelajar terhadap puisi dan sastera kerana ia adalah sebahagian daripada DNA Melayu.

Badan persuratan Melayu di sini juga perlu bersedia menongkah arus. Zaman telah jauh berubah, jadinya pendekatan dalam memajukan sastera dan puisi Melayu juga tidak seharusnya konvensional. Satu saranan pasti adalah dengan mengadakan wadah yang dapat menyatukan kesemua koleksi buku dan antologi puisi secara khusus atau sastera secara amnya yang dihasilkan penulis kita – tanpa perlu mengira sama ada penulis itu menganggotai pertubuhan tersebut ataupun tidak – dan buku-buku ini perlu dipasarkan secara aktif.

Kesimpulan

Kita telah melalui lima darsawarsa dalam mengukuhkan puisi dan sastera Melayu Singapura. Kita kini memasuki tahun pertama era baru, apakah asas kita untuk generasi 50 tahun mendatang?

Sekian.

Nota: Makalah dibentangkan semasa Kuliah Sastera yang merupakan sebahagian daripada acara “Jejak Puisi, Kembara Diri” yang berlangsung di Maktab Seni La Salle sempena Pesta Puisi Singapura 2016. Keterangan lanjut di http://www.nationalpoetryfestival.sg/

Acara Jejak Puisi, Kembara Diri bersempena Pesta Puisi Singapura 2016 yang berlangsung di Maktab Seni La Salle

Acara Jejak Puisi, Kembara Diri bersempena Pesta Puisi Singapura 2016 yang berlangsung di Maktab Seni La Salle

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s