Demi kesinambungan sastera Melayu S’pura…

CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

MENYEMAI benih cinta dalam diri anak bangsa pada bahasa ibunda bukan mudah.Apatah lagi bagi memperkasa mereka dengan keupayaan menulis dan seterusnya menyulam kekata menjadi sebuah karya sastera yang menarik dibaca – amatlah sukar.

Ini belum lagi usaha mendorong masyarakat menghargai karya sastera dengan membeli atau meminjam untuk membacanya – ia suatu cabaran maha hebat.

Bak kata seorang rakan penulis: “Ada novel Melayu tulisan kita dah bertahun diletakkan di rak-rak perpustakaan, dipinjam orang hanya sekali dua.”

Seorang teman mencelah: “Tempoh hari ada sesi dengan pelajar, wajah penulis, sasterawan Melayu Singapura dipapar. Dalam ramai-ramai yang ditonjolkan, pelajar hanya kenal sorang je, wajah Cikgu Ariff (Ahmad)…”

Balas seorang sahabat: “Kalau ada novel dwibahasa Melayu-Inggeris yang menonjolkan cerita yang sama, aku lebih rela baca versi Inggeris. Aku rasa dalam setengah jam boleh habis baca. Boleh faham lagi…”

Hal-hal sebegini bukan sesuatu yang asing.

Ia menunjukkan betapa masyarakat Melayu Singapura hari ini menghadapi satu cabaran amat getir – besar kemungkinan kehilangan satu generasi yang gagal menghargai dan menjiwai bahasa ibunda. Hal ini perlu diakui.

Bak kata seorang teman lain yang menceritakan pengalamannya kelmarin.

“Saya seorang Arab, pergi ke Tanah Arab orang fikir saya orang Jawa. Di sini orang tahu saya orang Arab tetapi tak cakap Arab. Jadi ini menunjukkan bahasa itu penting kerana ia bukan sahaja menjadi jalinan perantaraan tetapi dalam pemupukan budaya,” ujarnya terus terang.

Ramai mungkin menuding jari kepada dasar dwibahasa yang diperkenalkan pemerintah, namun tidak ramai ingin mengakui kegagalan diri sendiri dalam meneruskan warisan generasi perintis kepada anak cucu mereka sendiri.

Sedang pihak sekolah, badan persuratan dan kesenian berusaha memupuk dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di sini, ia tidak mencukupi.

Penulis dan sasterawan kita kini lebih gigih menerbitkan karya sastera kreatif tetapi sambutan dan permintaannya, seperti biasa, jika tidak dingin, sekadar suam-suam kuku.

Di Malaysia dan Indonesia, keadaan mula berubah.

Novel bertemakan romantisme, keIslaman dan love thriller menjadi buruan.

Selain usaha ‘mendramakan’, ‘mementaskan’ atau ‘memfilemkan’ karya sastera kreatif, usaha terkini adalah dengan memupuk minat murid terhadap karya sastera Melayu di peringkat awal lagi iaitu di prasekolah.

Kesemua ini dilakukan demi memastikan kelangsungan dan pelestarian bahasa ibunda agar penggunaannya tekal dan semarak.

Berita Harian tidak terkecuali dalam hal ini.

Seperti dimaklumkan, ia kini menganjurkan peraduan menulis cerpen bertemakan Debar Cinta.

Ia merupakan sebahagian daripada program ‘Mencari Kristal’ yang diadakan dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Ada yang bertanya, mengapa peraduan cerpen ini diadakan secara dua peringkat? Mengapa program ini berjalan dalam jangka waktu yang agak lama, selama enam bulan.

Untuk menjawabnya memerlukan satu kefahaman menyeluruh.

Tujuan utama bukanlah sekadar mencari penulis menerusi satu jalan singkat, tetapi menerusi satu kitaran bermakna.

Program ini yang mencakupi peraduan menulis cerpen, akan membantu peserta – sama ada yang baru bertunas, pencinta bahasa atau penulis mapan – memahami landskap dan dunia persuratan hari ini – yang sudah jauh berubah.

Mereka yang terpilih akan dibimbing dalam soal pengkaryaan, penerbitan dan pemasaran karya.

Yang perlu difahami, seperti dinyatakan penulis drama Cinta Fitri dari Indonesia, Cik Henovia Rosalinda Caniago, “menulis bukan satu kerja main-main”.

Ia memerlukan disiplin dan kesungguhan kerana “ia juga boleh mendatangkan hasil”.

Mereka yang ditampilkan untuk membimbing didatangkan khas dari Malaysia dan Indonesia, selain anak tempatan. Usaha ini punya tujuan murni.

Hakikatnya, Berita Harian sedia tampil menyahut cabaran – mencungkil bakat penulis dan merangsang minat khalayak terhadap bahasa demi kesinambungan sastera Melayu Singapura.

Kini giliran anda. Ayuh!
Berita Harian | Pandangan

Sabtu, 11 Jun 2016

7 Ramadan 1437H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s