musim panas ini ujian kita

Musim panas ini adalah ujian kita
sayur-sayuran tidak lagi tumbuh melata
benih ditabur tak menjadi
dek tanah tak lembab, kurang zat
ayam itik berbahang dalam reban
yang betina tiada upaya mengeram
bertelur sebiji, riuhnya alahai…
banyak yang mati kepanasan
sungai, paya dan kolam tadahan terus kering…
laut tidak lagi mengalun rezeki
di dada langit, awan menipis
suhu air meningkat, menyebabkan ikan mati
nelayan pulang tangan kosong
tanah di bendang rekah-rekah kekontangan
selut dan lumpur lama kelabu
petani di hujung sawah menanggung nasib
padi tak mampu dituai, kuala ketandusan
anak-bini tidak lagi dapat ‘menggangau ikan’
haruan, puyu, sepat
cucu-cicit tidak lagi dapat tolong pasang bubu,
apalagi terjerit-terkinja dek terasa lintah menggigit
sang kerbau penasaran tidak dapat berkubang
… kerana lumpur tiada lagi, untuk bajak apalagi
lembu-kambing tidak lagi gemuk-gempal
dedaunan tidak lagi gurih, yang dikunyah lelayuan
“kita bakal jadi korban,” bilang kambing pada lembu.
“iya… kalau tidak Syawal ini Zulhijjah nanti. Aku lebih rela jadi penyumbang rezeki daripada hidup dihayun mentari,” balas lembu kepada kambing.
padang bola di hujung kampung mulai botak
berbalam di kejauhan
logamaya

musim panas ini
peluh bercucuran
walau kipas, pendingin hawa
bekerja nak gila
cuaca tetap serupa
bil elektrik naik meluru
kos hidup meningkat
rezeki terasa disukat-sukat
ayah dibuang kerja
ibu di rumah kaget
anak-anak menggeliat
khidmat Internet dan kabel tv dihentikan
demi sesuap nasi…

musim panas ini
segalanya naik
suhu cuaca naik
harga barang dapur naik
harga sewa rumah naik
kadar faedah pinjaman bank pun naik
kereta buruk pulak kena tarik
tambang bas pun naik
mrt pulak selalu rosak
tekanan hidup naik
darah ‘up’

musim panas ini
segalanya mahal
sayur tak lagi murah
ikan tak lagi melacak
sardin dalam tin pun dah mahal
roti pun sama juga
maggi jangan cakap lagi…

musim panas ini
kita rasai ketewasan
dalam tempuhan ujianNya…

Alang Budiman
24 April 2016
16 Rejab 1437H
Ahad, 11:40 pagi

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Sajak Alang Budiman and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s