Tun Dr Mahathir: BN akan tewas

Oleh: Chairul Fahmy Hussaini

MANTAN Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang – disebabkan dua skandal kewangan yang menjej

SATU PERTEMUAN: Tun Dr Mahathir Mohamad

SATU PERTEMUAN: Tun Dr Mahathir Mohamad

as keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perikatan yang memerintah sejak sekian lama.

Memburukkan lagi keadaan, kegagalan BN mempertahan kemenangan mentadbir negara akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang getir.

Menurutnya, ia terjadi kerana Umno hilang sokongan masyarakat Melayu yang kini berpecah belah dan keadaan parti pembangkang yang lemah.

Memberikan pandangan secara terus terang semasa diwawancara Berita Minggu di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, pemimpin berusia 91 tahun itu berkata:

“Kalau diadakan pilihan raya secara tertib, tanpa kecoh, tanpa memainkan peti undi dan sebagainya, saya fikir BN akan kalah. Parti lawan tidak begitu kuat. Mereka pun berpecah. Mereka menghadapi masalah.

“Dalam keadaan semacam itu, tentu ada perbalahan,” ujarnya, sambil mengakui perikatan parti-parti yang membentuk kerajaan yang diterajui Umno itu kehilangan undi popular sewaktu pilihan raya umum 2013.

Ketika itu, meskipun BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, ia hanya mampu meraih 47.38 peratus undi secara keseluruhan, berbanding 50.87 peratus undi bagi 89 kerusi yang diraih pembangkang.

Memandang ke hadapan, Dr Mahathir berasakan sukar bagi kaum Melayu memberi sokongan kepada Umno.

“Kalau Umno dipimpin oleh pemimpin yang menyalahgunakan kuasa, saya fikir orang Melayu tidak akan kembali kepada Umno,” ujarnya ringkas.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Dr Mahathir mengongsi pandangan tentang pelbagai perkara, menyentuh hubungan dua hala Singapura-Malaysia yang dianggapnya “baik”; soal Tambak Johor yang menurutnya “harus diganti”; dan pandangan beliau tentang mendiang Encik Lee Kuan Yew yang tidak sekalipun dianggap “musuh”.

Menyentuh tentang pergolakan dan peperangan yang berlaku di banyak negara Islam, beliau berkata ini disebabkan masyarakat Islam sendiri melakukan perbuatan tidak mencerminkan ajaran Islam.

“Kita disuruh bersatu padu, menganggap orang Islam sebagai bersaudara, kita tidak. Kita tolak dan bunuh sesama Islam. Itu bukan salah Islam, itu salah kita,” ujarnya.

Dr Mahathir merupakan tokoh politik yang dikenali dunia sebagai seorang yang lantang dan tegas.

Beliau merupakan pemimpin paling lama memimpin Malaysia sebagai perdana menteri keempat, antara 1981 dengan 2003.

Dalam wawancara ini, mantan presiden Umno itu turut menjelaskan sebab mengapa beliau menentang Datuk Najib secara terang-terangan serta sanggup keluar parti lalu mengemukakan tuntutan saman ke atasnya.

Dakwanya, Datuk Najib telah menyalahguna kedudukannya berhubung skandal pelaburan hartanah dan pembelian tiga stesen janakuasa bernilai RM42 bilion ($14.39 bilion) yang dilakukan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB); dan sumbangan derma RM2.6 bilion ($891 juta) ke dalam akaun peribadi Datuk Najib sendiri.

“1MDB ditubuh oleh Najib dan dialah yang menjadi penasihatnya, dan dia telah pinjam RM42 bilion untuk 1MDB. Sebahagian wang itu digunakan bagi membeli stesen janakuasa, tetapi kebanyakan daripada wang itu dilabur di sana sini sehingga kita tidak tahu di mana ada wang ini.

“Pada masa yang sama, dia mempunyai wang yang banyak dalam akaunnya. Sangkaan yang berasas adalah wang ini datangnya dari 1MDB. Ini satu kesalahan besar,” kata Dr Mahathir, dengan nada serius.

Berita Minggu
Halaman 6
3 April 2016, Ahad
25 Jamadilakhir 1437H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s