Sedutan wawancara bersama Tun Dr Mahathir

SATU PERTEMUAN: Wawancara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat beliau di Yayasan Al-Bukhary, 88 Jalan Perdana, Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto Chairul Fahmy Hussaini

SATU PERTEMUAN: Wawancara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat beliau di Yayasan Al-Bukhary, 88 Jalan Perdana, Kuala Lumpur, Malaysia. – Foto Chairul Fahmy Hussaini

SOALAN (S): Secara peribadi Tun, apa dosa besar Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada Tun?

JAWAPAN (J): Secara personal (peribadi) tak ada. Saya yang sokong Najib untuk menjadi perdana menteri kerana dia adalah anak kepada Tun Razak dan Tun Razak adalah orang yang disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap pembangunan Malaysia.

S: Apakah Tun tidak berasa perlu untuk “membuang yang keruh dan ambil yang jernih” antara Tun dengan Najib?

J: Yang mana yang dikatakan keruh?

S: 1MDB?

J: 1MDB kita tak upaya nak buang begitu sahaja kerana wang sebanyak RM42 bilion sudah hilang dan tidak dapat dikembalikan kerana ini adalah hutang dan negara perlu, pihak pemerintah, perlu bayar hutang. Di mana nak cari duit untuk bayar hutang?

S: Baru-baru ini Tun mengadakan Deklarasi Rakyat dan kita lihat ramai yang datang memberi sokongan, termasuk para pembangkang. Antara yang memberi sokongan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (mantan timbalan perdana menteri yang dipecat atas kesalahan jenayah pada 1998 semasa Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri), apakah ini Tun anggap sebagai satu kesempatan politik semata-mata?

J: Saya fikir ramai rakyat Malaysia nak supaya Najib disingkir. Soal lain, soal kelainan yang lain daripada segi ideologi atau matlamat politik, itu terpaksa diketepikan kerana Najib menggunakan wang dan kuasanya untuk mengekalkan sokongan wakil rakyat kepadanya. Selagi wakil rakyat sokongnya, dia berhak menjadi perdana menteri.
Kalau wakil rakyat mengadakan motion of no confidence (usul tidak percaya), dia akan jatuh. Jadi, kita tiada cara lain untuk mendesaknya, melainkan menggunakan bermacam-macam cara termasuk suara rakyat.

Saya fikir, kalau Anwar sokong Deklarasi Rakyat ini, ini bukan kerana saya. Bukan kerana dia sokong saya, tidak. Mungkin dia masih tidak suka sama saya tetapi soal ini soal rakyat, soal negara, kita harus ketepikan perbezaan pendapat antara parti-parti kerana pendapat yang dipersetujui oleh semua ialah Najib mesti disingkir.

S: Tetapi apakah huraian kalau Datuk Seri Najib disingkir? Siapa mungkin Tun rasa sesuai?

J: Kalaupun Najib disingkir, keadaan sekarang menunjukkan bahawa Barisan Nasional masih majoriti dan Umno masih mempunyai ramai wakil rakyat. BN masih berkuasa selagi kita dapati dijatuhkan. Jadi selepas Najib, BN dan Umno perlu tentukan siapa yang akan mengganti Najib.

S: Melihat kepada keadaan sekarang Tun, Datuk Seri Ahmad Zahid dinaikkan ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kini mengisi jawatan Timbalan Presiden Umno kerana Tan Sri Muhyiddin kini digantung kedudukannya. Apakah bagi Tun tidak mengapa seorang lain seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid naik sebagai Perdana Menteri?

J: Terpulang kepada Umno. Mereka harus cari pemimpin yang mereka percayai tidak akan menyalahguna kuasa.

S: Satu perkara adalah langkah terbaru Tun mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Najib, kenapa Tun?

J: Iya. Ia sebagai satu lagi cara untuk mendedahkan kesalahannya dan mencari keadilan.

S: Tetapi Tun tidak berasa ia sesuatu yang gagal sekiranya mahkamah buang kes?

J: Memang ada kemungkinan itu. Memang ada kemungkinan kes itu dibuang sama sekali dan tidak dibicarakan. Ini sekali lagi menunjukkan kezaliman Najib dalam usaha mempertahankan dirinya, menyalahgunakan undang-undang.

S: Satu lagi persoalan menyangkut kepada pengguguran Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah. Tun sebagai pemimpin Umno (sebelum ini) dan bapa Mukhriz, apa perasaan Tun bila ia berlaku?

J: Saya berperasaan, siapa juga yang menjadi Menteri Besar, ada cara-caranya. Ini bukan digugurkan kerana tidak disukai atau dia corrupt atau kurang berkesan sebagai pemimpin. Dia digugur semata-mata kerana dia menyuarakan pendapatnya terhadap kesalahan Najib. Jadi kalaupun orang lain menjadi Menteri Besar dan mereka menegur Najib dan mereka disingkir, perasaan saya sama juga.

S: Dalam pilihan raya umum yang lalu, undi majoriti bagi Barisan Nasional telah menurun. Pilihan raya umum saya jangkakan akan diadakan dalam masa dua tahun lagi. Apa pandangan Tun nasib Barisan Nasional (BN)?

J: Kalau diadakan pilihan raya secara tertib, tanpa kecoh tanpa memainkan peti undi dan sebagainya, saya fikir BN akan kalah.

S: Kalau kalah dan BN tidak mampu membentuk kerajaan, apakah risiko utama yang Tun rasa akan dihadapi?

J: Parti lawan tidak begitu kuat. Mereka pun berpecah. Mereka menghadapi masalah. Dalam keadaan semacam itu, tentu ada perbalahan dan akhirnya tentu akan terdapat (masalah dalam mencapai) satu solusi untuk (menghuraikan) problem (masalah kepimpinan yang dihadapi).

S: Tun rasa pada waktu itu orang Melayu akan kembali kepada Umno?

J: Kalau Umno dipimpin oleh pemimpin yang menyalahgunakan kuasa, saya fikir orang Melayu tidak akan kembali kepada Umno.

S: Baik Tun, kita beralih kepada perkara yang lebih dekat dengan hati Tun. Hubungan politik Singapura-M’sia. Apakah Tun merasakan isu Koswe dan isu air yang menjadi asas yang merencatkan hubungan Tun dengan Datuk Seri Najib dan antara Tun dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Apakah itu masih menjadi isu utama?

J: Itu masih sebahagian tetapi itu bukan menjadi keutamaan pada waktu ini. Kita ingin melihat pemerintah yang bertanggungjawab, dan bukan mengutamakan kepentingan diri.

S: Tun telah bercakap sejak lama dulu, Koswe atau Tambak Johor itu perlu diganti. Kelmarin Sultan Johor kata Koswe perlu diganti. Komen Tun tentang hal ini?

J: Memang Koswe itu perlu diganti. Koswe itu dibuat di zaman dulu di waktu mana untuk membina jambatan dahulu begitu costly (mahal), dan sukar untuk dibuat. Sekarang air tidak dapat mengalir east-west (timur ke barat) jadi ini menyebabkan keadaan di dalam Straits of Johore (Selat Johor) menjadi kotor, tidak bersih, tidak sihat. Lagipun, kita boleh guna Koswe kalau dibuka, untuk pelayaran, bot-bot kecil, dari Timur ke Barat, Barat ke Timur. Kita mempunyai kemampuan kewangan untuk membina jambatan.

S: Tun rasa ia akan diganti?

J: Saya tak tahulah, saya bukan ada kuasa.

S: Dua-tiga hari kelmarin Singapura mengadakan hari memperingati Lee Kuan Yew. Sudah setahun beliau meninggal dunia. Apakah pandangan Tun tentang Encik Lee?

J: Kita tidak dapat nafi bahawa Lee Kuan Yew berjaya menjadikan Singapura yang pada masa itu berasa terasing kerana disingkir daripada Malaysia dan kehilangan dia punya resource (sumber). Ia sebuah pulau kecil. Jadi Lee Kuan Yew mencipta satu pendekatan untuk menjadikan Singapura sebagai pusat kewangan dan one of the world’s biggest port (salah sebuah pelabuhan terbesar di dunia) dan memperbaiki, dan meningkatkan penerbangan ke Singapura. Tiga perkara ini dapat memajukan Singapura dan ini adalah jasa Lee Kuan Yew. Itu satu pencapaian yang kita perlu iktiraf dan rakyat Singapura perlu menghargai sumbangan Lee Kuan Yew.

S: Ada tak pengalaman Tun yang Tun tidak boleh lupakan yang orang tak tahu?

J: Pengalaman. Iya.. secara personal (peribadi) saya tidak ada masalah, saya boleh bercakap dengan Lee Kuan Yew. Tapi saya tidak bersetuju dengan pandangannya, dengan pendekatannya. Itu sahajalah yang ada antara kita berdua.
Saya bukan nak anggap dia sebagai musuh dan sebagainya, tetapi sebagai pemimpin Singapura yang mempunyai pendirian sendiri yang tidak sama dengan pendirian Malaysia.

S: Tun ada lawat Singapura kebelakangan ini?

J: Saya ke Singapura kerap kali kerana dijemput untuk berucap, dan juga ada kawan-kawan saya pada zaman dulu.

S: Beralih kepada satu soalan yang agak ringan, Tun ada cadangan nak buka cawangan The Loaf (kedai roti) di Singapura?

J: (Ketawa) Kita belum yakin The Loaf boleh maju di tempat-tempat lain. Saya mulakan bisnes ini kerana saya sering menasihatkan orang supaya berniaga tetapi saya sendiri biasa berniaga di Pekan Rabu (Kedah) tetapi untuk buka satu-satu perniagaan di zaman ini saya nak tahulah sama ada mudah ataupun tidak. Saya dapati tidak mudah.

S: Dunia Islam sekarang kucar-kacir. Asia Barat, terutama Timur Tengah dan rantau Afrika kini bergolak. Semua ini memberi gambaran bahawa Islam adalah penyebabnya. Apa pandangan Tun tentang hal ini?

J: Soalan ini ditanya kepada saya di merata-rata tempat. Di negara-negara Islam dan bukan Islam akan prestasi Islam sekarang ini. Saya sering menjawab, sementara kita mengakui kita adalah orang Islam tetapi perbuatan kita tidak mencerminkan ajaran Islam. Kita tidak mengikuti ajaran dalam Al-Quran umpamanya. Kita buat apa yang ditentangi atau ditolak oleh Al-Quran. Kerana itu, maka kita gagal.

Kita disuruh bersatu padu menganggap orang Islam sebagai bersaudara, kita tidak. Kita tolak dan bunuh sesama Islam. Itu bukan salah Islam, itu salah kita.

Demikian juga kita dilarang berperang, melainkan juga untuk mempertahan diri (tetapi) kita berperang. Begitu juga kita mengkafirkan orang itu, orang ini. Ini juga salah.

Semuanya yang dilakukan selain daripada membuat ibadat tertentu, sembahyang, puasa, zakat dan buat kerja haji, yang mana ini adalah fardhu ain untuk diri kita, kita buat kita dapat pahala buat diri kita.

Tetapi tentang apa yang terjadi kepada orang Islam, kerana perbuatan kita itu, kita tidak peduli. Sebab itu kita rosak kerana kita ini sebenarnya, Islam in name (atas nama sahaja) tetapi bukan Islam sebenar.

S: Apa harapan Tun untuk orang Melayu?

J: Harapan saya, mereka sedar dan mereka tukar budaya dan cara hidup mereka kepada pegangan dan nilai hidup yang memang memburukkan nasib mereka, terlalu berharap kepada bantuan orang lain, mendapat sesuatu dengan cara mudah, tidak bekerja kuat.

Ini semua perlu ditukar kalau orang Melayu nak mencapai kejayaan. Walaupun mereka adalah majoriti dari segi bilangan (di Malaysia), tetapi minoriti kerana berpecah.

Berita Minggu
Halaman 6
3 April 2016, Ahad
25 Jamadilakhir 1437H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s