Lestari bahasa demi bangsa

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

PERCAYA atau tidak, sekarang zaman orang berbual suku-suku.

Perhatikan setiap perbualan – dalam setiap ayat itu pasti ada campuran bahasa Melayu sikit, Inggeris sikit, bahasa Cina sikit, bahasa pasar sikit.

Ini belum termasuk slanga sikit, Singlish sikit, Boyan sikit, Jawa sikit, Hokkien sikit, dan segala yang merojakkan bahasa.

Jadinya, bahasa jadi rosak.

Nilai ketertiban dan kesantunan dalam berbahasa makin tiris, tipis lalu hilang.

Paling berdesing telinga bila mendengar orang Melayu cakap Melayu pelat.

Konon dah ‘arrive’ – menyampah.

Terbanglah helang redah angkasa,
Sekali-sekala singgah ke bumi;
Teruslah julang darjat bahasa,
Jangan ternoda di tanah sendiri
(Zaidy Nandir, Bahasa)

Sekarang zaman tulis-cakap. Media sosial menjadi wadah penghubungnya atau penjalin silaturahim.

Pergerakan masa yang begitu pantas menyebabkan ramai di kalangan kita menanggapi bahawa mereka tidak punya masa menulis atau menaip setiap percakapan dengan panjang lebar, apatah lagi dengan laras bahasa yang baik.

Bak kata Ajis dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’:

“Saya tulis shorthand, saya baca longhand”.

Dalam adegan itu, kelihatan Pak Mustar terkejut melihat ‘tulisan’ Ajis yang berkerawang.

Kita ketawa besar menyaksikan adengan itu, namun, keadaan itulah yang membelenggu kita sekarang.

Selendang sutera selendang kapas,
Diikat teliti indah hasilnya;
Bidang sastera perlulah dikupas,
Demi menghayati nilai isinya.
(Nurul ‘Ain Razali, Selendang)

Nilai tulisan dan percakapan orang kita sekarang begitu indah ‘kerawang’nya.

Disebabkan tiada ketertiban dalam berbahasa, bahasa yang menjadi alat perhubungan menjadi simpang-perinang.

Akibatnya, telefon jadi bijak, bahasa jadi rosak, siapa haprak?

Suatu yang jelas, kemalasan adalah simbol kebebalan.

Bajak bertaut gembur sentiasa,
Segenap bahagian menjadi hakisan;
Bijak mengikut peredaran masa,
Setiap amalan menjadi warisan.
(Nurlieja Onnawaty Mas’at, Warisan)

Ketertiban dalam bahasa sangat penting kerana ia menjolak adab, sopan, akhlak dan peradaban.

Sering kita dihadapkan dengan satu permasalahan remeh bahawa pendidikan bahasa dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah amat tinggi hingga menyukarkan murid dan pelajar.

Begitu juga akhbar, ramai juga beralasan mereka tidak membaca akhbar kerana sukar memahami bahasa Melayu kerana tinggi nilainya.

Disebabkan itu, pihak kementerian dan guru bertungkus lumus, tak cukup singsing lengan, sampai singsing kain, cuba memudahkan pembelajaran bahasa agar anak kita ‘pass’.

Begitu juga wartawan, kerap diingatkan agar menulis dalam bentuk paling mudah dengan ayat singkat agar masyarakat lebih mudah dan menghargai akhbar Melayu.

‘Sayang’ kita pada ibunda…

Atap genting bukan rumbia,
Dipasang cucur rumah Laksamana;
Amat penting sikap setia,
Diri diakur di mana-mana
(Suhaimi Nasrain, Setia)

Dalam meneliti kemajuan masyarakat dan penggunaan bahasa Melayu sejak 50 tahun lalu, adalah wajar bagi menilai penghargaan masyarakat kita terhadap bahasa Melayu.

Benar, sekitaran dan peralihan zaman memainkan peranan.

Namun, kedua-dua keadaan itu juga mewujudkan pelbagai peluang.

Bagi kita dan anak-cucu menyatakan diri tidak fasih berbahasa Melayu ialah satu penafian, kalau ia bukan satu kebiadapan.

Tidak disuruh sirih melata,
Sudah demikian resmi tumbuhnya;
Tidak disuruh jadi pendeta,
Hanya dipinta kasihkan bahasa.
(Zaidy Nandir, Bahasa)

Menyedari hakikat ini, Berita Harian menganjurkan Malam Sastera, sejak tahun lalu.

Tujuannya ialah bagi membolehkan masyarakat menyaksikan bagaimana bahasa dapat dimartabatkan menerusi pelbagai jaluran seni.

Tahun ini, Malam Sastera menampilkan satu kelainan – tidak hanya tertumpu pada aspek pendeklamasian sajak dan dendangan lagu puisi semata-mata tetapi juga dalam bentuk berbalas pantun, syair serta drama radio.

Kesemua ini dipersembahkan oleh 13 seniman, seniwati, penyair dan sasterawan muda dan mapan.

Selain itu, akhbar ini turut mengadakan sesi forum, Wacana: Adakah Bahasa Melayu ‘laku’ dalam era digital?

Ia menampilkan empat tokoh bahasa: Dr Mohd Aidil Subhan Mohd Sulor (Pensyarah, NIE); Dr Shamsuri Juhari (Pensyarah, UniSIM); Mohd Raman Daud (Wartawan Kanan); dan, Rilla Melati Bahri (Penulis/Selebriti).

Setiap daripada kita berperanan dalam pelestarian dan memartabatkan bahasa ibunda.

Menghadiri kedua-dua acara ini ialah satu cara bagi kita memberi sokongan selain meraih ilmu daripadanya.

Bawalah seisi keluarga.

Tempahan tiket dan keterangan lanjut boleh didapatkan di http://beritaharian.sg/malamsastera

Senjata keris pusaka Melayu,
Ketika genting hunus segera;
Bahasa Inggeris bahasa Melayu,
Sama penting sesama kita.
(Cikgu Mohd Naim Daipi, Bahasa)

Oh iya, andai ada tertanya-tanya tentang pantun yang dikongsi dalam tulisan ini, ia anyaman bahasa Allahyarham Cikgu Naim bersama empat penulis muda.

Hasil pantun mereka terkandung dalam sebuah buku nota yang dibahagi-bahagikan kepada orang ramai sempena Bulan Bahasa tahun ini.

Hakikatnya, kita punya generasi pelapis yang amat berpotensi untuk dikembangkan bakat mereka.

Julang sastera kita.

Wacana | Berita Harian
Jumaat, 25 Sept 2015
11 Zulhijah 1436H
Halaman 10

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s