Melayu bikin malu

Melayu kita bikin malu
tidak lagi sembahyang
lima kali sehari, tetapi solat tiap waktu

Melayu kita bikin malu
tidak lagi mahu wirid dan doa
tetapi bermunajat hingga berembes airmata

Melayu kita bikin malu
mereka tolak Syurga dan Neraka
tetapi memilih Jahannam atau Jannah

Melayu kita bikin malu
sibuk dengan tarbiyah
kerana pendidikan itu soal dunia
katanya…

Melayu kita bikin malu
tidak lagi mau hadiri ceramah
tapi berlumba ikuti tazkirah

Melayu kita bikin malu
sibuk suruh anak-anak ikuti iqra’
tetapi mereka sendiri malas membaca…

Melayu kita bikin malu
mereka tidak lagi sederhana
mereka lebih senang berwassatiyyah

Melayu kita bikin malu
saat Ramadan tiba mereka tidak puasa
mahunya Shaum sampai enggan berbuka
lebih mahunya iftar sama-sama

Melayu kita bikin malu
masa Syawal tiba
tidak mahu saling mohon maaf zahir batin
seliuh lidah sebutnya “minal aidil wal faizin”
dalam seribu, berapa kerat saja yang tahu…

Melayu kita bikin malu
masa Lebaran, depan juadah
kita tidak lagi dijemput jamu selera
sampai ternganga-nganga
bila si tuan rumah riuh mengajak
“fadhl, fadhl, fadhl…”

Melayu kita bikin malu
mereka mendugul-dugulkan bahasa sendiri…
…hingga warisan poyang dicampak dibuang tepi
sudah itu, mereka bilang Melayu tidak punya
visi dan inisiatif sendiri

mereka bilang Melayu mesti
positif merealisasi dan jangan diskriminasi

mereka desak Melayu harus maju
menyatukan idea, berdiskusi, inovasi mesti logikal
menggagahi realiti, dan jangan sekali memanipulasi
jangan punya diskrepensi
jangan sampai Melayu jadi liabiliti

atau Melayu mati!

Melayu kita bikin malu
beria-ria mahu yang baru
hingga serak melaung reformasi!
saat tidak menjadi, serunya transformasi!
konon tidak mahu sesiapa memonopoli

Melayu kita bikin malu…
sampai tidak tahu beza
antara sampan dan kolek
antara tumpi dan rempeyek
antara itik dan bebek

…yang dia tahu, pecah kongsi sesama Melayu

Melayu kita bikin malu
tidak lagi bijak basa-basi
tidak tahu apa itu sindir, apa itu perli

Melayu kita bikin malu
sibuk berpolitik sini sana
tapi saat semeja kelat akal
tidak tahu diplomasi apalagi santun siasah

Melayu kita bikin malu
berperi-peri perjuang hak
diberi hak, dijual, dicagar melulu

Melayu kita bikin malu
dari kecil hingga dewasa
tak tahu bahasa

…dah jadi pemimpin tak reti bahasa

Melayu kita bikin malu
konon anggun berkebaya
tapi bogel-bogel jalan tanpa
seri kerongsang kerawangnya

Melayu kita bikin malu
lebih senang sembrono
tanpa segan tanpa silu

hari ini aku seperti Sukarno
“benar-benar rasa dikentuti…”

…bila Melayu diibarat tahi gigi

Alang Budiman
24 Ogos 2014
29 Syawal 1435H
23:37:41 malam

* disampaikan pada malam perasmian Pertemuan Penyair Nusantara ke-7, Taman Warisan Melayu pada 29 Ogos 2014, 3 Zulkaedah 1435H, Jumaat, 8.55 malam.

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Sajak Alang Budiman and tagged , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s