Ziarah kembali ‘Kampung Kambing’ A Samad Said

PANDANGAN

A Shukur Harun

The Malaysian Insider
Published: 29 April 2014 | Updated: 29 April 2014 3:44 PM

KEHIDUPAN dan kenangan masa lampau, segala peristiwa yang terjadi, orang yang pernah ditemui sebagai saudara mara dan sahabat dan semuanya, adalah nilai yang sangat berharga.

Lebih-lebih lagi kepada seorang seniman atau sasterawan.

Kehidupan dan nostalgia ini jika dinilai secara positif, sangat bermakna, justeru ia seperti bayangan wajah kita di air jernih, atau dicermin besar – yang tidak berbohong atau menipu, bahawa itulah sebenarnya kita.

Seterusnya bagaimana pula kita mentafsirkan kehidupan ini.

Sebab itulah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pernah menyatakan, “Tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Maknanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan pemikirannya, penulis yang seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa sahaja yang meresapi atau menghayati karyanya.”

Pemikiran yang beginilah yang mencetuskan idea A Samad Said untuk menulis novel ‘Salina’nya.

Novel itu yang menjadi terkenal hingga ke peringkat antarabangsa, adalah potret kehidupan tidak sampai 10 tahun selepas Perang Dunia Ke-2 yang merempuh Singapura dan Malaya.

Kehidupan di zaman itu dengan segala kepayahannya dipenuhi bekas keruntuhan bangunan, rumah dan kedai beratap zink, bilik mandi dan tandas di luar.

Begitulah gambaran yang dilukiskan oleh novelis ini dalam novel ‘Salina’, dan di sanalah hadirnya watak wanita bernama ‘Salina’ di tengah masyarakat gelandangan, wanita yang menjadi ‘hamba’ seorang lelaki bernama Abd Fakar yang memaksa Salina mencari wang setiap malam untuk diserahkan kepadanya.

A Samad Said sendiri mendiami ‘Kampung Kambing’ untuk beberapa waktu di mana jirannya adalah penyair A S Amin.

Beliau sendiri memberi nama kawasan gelandangan itu sebagai ‘Kampung Kambing’ yang kemudiannya menjadi latar belakang novelnya itu.

‘Kampung Kambing’ itu terletak di sekitar kawasan Ranggon Road di tengah kota raya Singapura.

Saya mengunjungi kembali ‘Kampung Kambing’ ini baru-baru ini dalam lawatan ke Singapura untuk mengenang masa lampau, kerana saya sendiri pernah menemui A Samad Said dan A Amin di rumah mereka di situ. Ia semasa saya menetap di Singapura selama tujuh tahun – bekerja dan belajar.

Kini, keadaan ‘Kampung Kambing’ ‘sama sekali ‘hilang’. Ia menjadi sebahagian daripada kota raya Singapura yang moden.

Kawasan itu dipenuhi bangunan pencakar langit, stesyen MRT, kompleks membeli belah, pelbagai jenis kedai yang menjual barangan berjenama, restoran dan cafe.

Tidak ada lagi rumah teres yang panas dan sempit, berdekatan kandang lembu yang baunya terhidu setiap malam oleh penghuni ‘Kampung Kambing’ itu.

Namun novel ‘Salina’ dan watak-watak di dalamnya akan terus dibaca dan ditafsirkan, bahawa ia adalah sebuah kehidupan yang benar.

Di sanalah A Samad Said sering bertemu dengan A S Amin, Nor S I dan Jimy Asmara dan bersama minum teh sarbat di Owen Roda, tidak jauh dari sana.

Saya sendiri melihat bahawa kenangan masa lampau itu tidak mungkin dapat dipadamkan, justeru ia seperti bayangan wajah kita di air jernih, atau dicermin besar – yang tidak berbohong atau menipu, bahawa itulah sebenarnya kita.

Novelis A Samad Said yang pernah menjadi guru saya menulis dan kemudian menjadi bos serta sahabat, dilahirkan di Belimbing Dalam, Melaka pada 9 April 1935, kemudian berhijrah ke Singapura bersama ayah bondanya.

Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pelajarannya ke Victoria Institutionm juga di Singapura.

Oleh itu, menziarahi kembali ‘Kampung Kambing’, tempat yang menjadi latar belakang novel ‘Salina’ A Samad Said itu, saya kira sangat berharga.

Kini, lebih setengah abad berlalu, demikian ramai Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50) yang memeriahkan dunia penulisan zaman itu yang berhijrah ke Malaysia atau meninggal dunia.

Namun nama-nama Keris Mas, Usman Awang, A Samad Ismail, Asraf, Awam El-Serkam, Wijaya Mala, Jimy Asmara dan lain-lain adalah para tokoh Asas ’50 yang terakam dalam sejarah.

Bagaimanapun, dunia penulis di Singapura terus berkembang hingga kini dengan cara dan keadaan yang berlainan dengan melahirkan ramai penulis berbakat.

Sejarah perkembangan sastera Melayu Singapura kini menampilkan kerencaman daripada segi kumpulan penulis dan karya yang dihasilkan.

Jelas sekali persuratan di Singapura masih kukuh merentasi zaman dan waktu. Cuma tumpuan terhadap penghasilan dan penerbitannya sahaja yang agak berbeza.

Namun demikian, ia tetap mendapat sokongan proaktif daripada pemerintah dan badan-badan swasta dalam melestarikan persuratan Melayu Singapura.

Demikian menurut kajian Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz dari Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang.

Menurutnya, sokongan padu pemerintah dalam hal pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu Singapura tidak dapat disampingkan kerana peranan utama ini juga menghasilkan lima penerima anugerah terunggul Asia Tenggara, iaitu SEA Write Award daripada raja Thailand.

Mereka adalah Muhd Ariff Ahmad, Masuri SN, Abdul Ghani Hamid, Suratman Markasan dan Mohamed Latiff Mohammed.

Para penerima ini adalah golongan mapan yang menjadi citra sastera Melayu Singapura sepanjang zaman dalam bidang masing-masing yang mereka suburkan melalui Asas ’50 dan institusi lain amnya.

Menurut kajian beliau lagi, Sastera Melayu Singapura umumnya dibentuk oleh dua komponen utama, iaitu akhbar dan Anugerah Persuratan.

Jelas sekali, katanya, peranan akhbar selaku wahana bagi bahan kreatif dan kritikan sangat menggalakkan.

Melalui akhbar, banyak bakat-bakat baru dalam penulisan lahir dan digalakkan.

Sejak tahun 1965 hingga kini, dianggarkan sejumlah 3200 buah karya dalam bentuk cerpen dan sajak yang dihasilkan dalam akhbar sahaja.

Jumlah ini tidak termasuk terbitan di majalah, jurnal mahupun buku dan antologi.

Menurut Mohamed Pitchay Gani lagi, para penulis sastera Melayu Singapura yang prolifik sebenarnya mencapai kemuncak pada tahun 70-an, kerana pada zaman tersebut lahir lebih kurang 40 penulis baru dalam dunia sastera Melayu berbanding dengan yang ada iaitu lapan bagi tahun 60-an, 14 bagi tahun 80-an dan tujuh bagi tahun 90-an.

Jelas sekali tahun 70-an tahun emas bagi sastera Melayu Singapura kerana ledakan daripada kesuburan jumlah penulis pada zaman tersebut menjadi asas kepada peningkatan kegiatan dan penerbitan bagi tahun yang selanjutnya.

Kini, penulis baru Singapura yang menyerlah sejak tahun 90-an ialah Alfian Sa’at, Chairul Fahmy Hussaini, Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, Muhammad Rafi Bin Abu Bakar, Rohani Bte Din, Shaffiq Bin Selamat dan Aidli ‘Alin’ Mosbit.

Mereka ini diharapkan akan terus berkarya dan saya kira, Sasterawan Negara A Samad Said tentu merasa gembira dengan kemajuan ini, walaupun tiada lagi ‘Kampung Kambing’ untuk menjadi latar belakang novel Melayu akan datang. – 29 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/a-shukur-harun/article/ziarah-kembali-kampung-kambing-a-samad-said#sthash.wSWNx7JO.dpuf

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s