Menilai basa-basi politik

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

 

Realitinya sangat jelas – kedaulatan dan penakatan sesebuah negara bukan terletak pada kekesalan yang dizahirkan tetapi keutuhan pendirian.

 

 

LAZIMNYA, hubungan dua hala antara dua negara diukur melalui ‘kemurnian politik’.

Mendasari kemurnian ini secara asasnya ialah: ketulusan dalam hubungan, kerjasama ekonomi, keselamatan dan ketenteraan serta kesepaduan sosial antara rakyat keduadua negara.

Kerapuhan pada sesuatu hubungan dua hala umumnya boleh berlaku dek silap langkah menurut empat aspek ini:

  • tutur kata pemimpin
  • pelaksanaan dasar yang dianggap berat sebelah
  • penonjolan sikap ‘berlebihan’; dan
  • bersikap tidak peka

Sesuatu hubungan baik boleh ‘terkacau’ disebabkan salah satu perlakuan atau tindakan di atas.

Hubungan dua hala Singapura-Indonesia boleh dijadikan contoh, tentang bagaimana ia mengalami ‘pasang-surut’ dalam jalinan politik.

Titik merah di pinggir garisan khatulistiwa ini terpaling gara-gara ketidakpekaan Indonesia dalam menamakan salah sebuah kapal perang sebagai ‘Usman Harun’ – nama dua soldadu mereka iaitu Usman Mohamed Ali dan Harun Said – yang merupakan di antara puluhan askar bertanggungjawab menyusup masuk ke Singapura sewaktu Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia pada 1965.

Mereka mengebom banyak tempat di negara ini.

Paling dahsyat merupakan pengeboman ke atas bangunan MacDonald House pada tahun itu yang membunuh tiga orang awam dan mencederakan 33 yang lain.

Banyak yang tersirat dalam tindakan Indonesia dalam menamakan kapal perang terbaharu mereka sebagai ‘Usman Harun’.

Pertama, hubungan baik dalam politik antara dua negara tidak sesekali bermakna kesatuan atau hubungan kekal aman.

Contohnya:

Dunia menyaksikan bagaimana kerjasama ekonomi negara-negara Eropah tidak mampu menyekat Britain dan Jerman daripada terjerumus dalam peperangan yang meledakkan Perang Dunia Pertama pada 1914.

Beberapa dekad sebelum berlakunya perang, Eropah menikmati pertumbuhan ekonomi cukup galak disebabkan kerjasama ekonomi dalam kedua-dua aspek dagangan dan pengaliran modal.

Sayangnya, perang tetap berlaku dan kemusnahan yang dialami sukar digambarkan.

Terbaharu, tengkarah Russia-Ukraine.

Kerjasama ekonomi di antara mereka tidak mampu menyekat perpecahan wilayah Crimea, yang ditadbir Ukraine, menjadi sebuah negara baru di bawah pentadbiran kesatuan Russia hari ini.

Pada 2006, nilai dagangan antara Ukraine dan Russia mencecah AS$23.2 bilion ($29.3 bilion) dan meningkat kepada AS$45.5 bilion 2012.

Jadinya, hubungan baik dua negara berlandaskan kerjasama ekonomi yang kukuh bukanlah jawapan tuntas dalam membentengi ancaman perang antara dua negara sahabat.

Kedua, tidak bermakna kekesalan yang diluahkan bermakna kesilapan atau kesalahan serupa tidak akan diulangi.

Dalam episod ‘Usman Harun’, setelah Menteri Ehwal Luar, Encik K. Shanmugam, melahirkan keprihatinan Singapura terhadap langkah Indonesia menggunakan nama ‘Usman Harun’ bagi kapal perang mereka, rakan sejawatan beliau, Dr Marty Natalegawa, berkata “Indonesia tiada niat buruk, tidak ada niat jahat, dan tidak ada tujuan niat jahat” dalam tindakannya.

Malah beliau menambah: “Indonesia benar-benar menghargai hubungan dengan Singapura dalam semua dimensi, dan kami sangat berminat meneruskannya pada landasan ini.”

Singapura menerima kenyataan itu sebagai suatu yang dapat menjernihkan kekeruhan.

Sayangnya, Indonesia mengulangi kesilapan mereka tidak lama selepas itu.

Kali ini, dua anggota Kor Komando Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI AL) yang wajahnya mirip ‘Usman dan Harun’ tampil di Pusat Konvensyen Senayan, di Jakarta Tengah, pada 19 Mac lalu.

Kedua-dua soldadu berkenaan memakai pakaian seragam dengan mengenakan nama Usman dan Harun.

Tindakan mereka seolah-olah ‘menghidupkan semula’ dua askar marin Usman Mohamed Ali dan Harun Said – dalam acara Dialog Keselamatan Antarabangsa Jakarta.

Tentunya ini menimbulkan tanda tanya.

Dua hari kemudian, Indonesia melahirkan rasa kesal terhadap insiden tersebut.

Ini membawa kepada faktor ketiga – dalam politik, kemaafan yang diluahkan bukanlah penyataan mutlak penyesalan.

Ini perlu difahami kerana kekesalan yang diluahkan Indonesia sebelum ini hanyalah ‘basa-basi politik’.

Realitinya sangat jelas – kedaulatan dan penakatan sesebuah negara bukan terletak pada kekesalan yang dizahirkan tetapi keutuhan pendirian.

Dalam hal ini, masyarakat harus mampu membezakan antara politik dan kenyataan.

Hakikatnya, kita perlu meneliti apa yang dinyatakan kedua-dua soldadu – Sarjan Hari dan Sarjan Ahmad – yang menghidupkan watak Usman dan Harun.

“Namanya tentera, jika ada perintah dari atasan harus siap,” ujar Sarjan Ahmad kepada majalah Tempo yang diterbitkan pada 19 Mac lalu. – Wacana, Berita Harian, 8 April 2014, 8 Jamadilakhir 1435H.

 

– See more at: http://beritaharian.sg/premium/wacana/menilai-basa-basi-politik#sthash.75r7nGIt.dpuf

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s