Bangkitlah biarpun sudah tersembam

TIGA bulan telah berlalu sejak kita memasuki tahun 2013.
Dalam tempoh 90 hari, warna-warni kehidupan di negara ini bukan hanya lebih menyerlah tetapi warna-warna yang menyerikannya juga kelihatan lebih garang dan calitannya pula lebih semarak.
Sejauh mana kehidupan kita sekarang, adakah semakin baik, lebih sukar atau amat mencabar?
Sememangnya, satu pertanyaan yang sukar dijawab kerana setiap kita melalui perjalanan hidup berbeza-beza.
Sedang ada yang berpuas hati dengan apa yang dikecapi hari ini, ramai lagi yang berhempas pulas mencari rezeki.
Ada naik pangkat, ada kena pecat.
Hari ini, ada yang menang loteri. Hari ini juga, ada yang dikejar ceti.
Sedang ada yang gembira, ada pula yang berduka lara kerana kehilangan sesuatu yang berharga.
Lihat saja, apabila anda pulang dengan menaiki bas atau MRT – bersesakan bersama ribuan orang lain berebutkan tempat di ruang yang sempit lagi terhad.
Sebaik memasuki perut bas atau MRT, perhatikan keadaan dalam pengangkutan awam yang kita naiki sebelum meneruskan dengan kebiasaan lainnya.
Setiap pemerhatian itu menimbulkan tafsiran dan tanggapan berbeza.
Percayalah, setiap gelagat mencerminkan sandiwara hidup.
Jadi, berbalik kepada soalan saya tentang bagaimanakah keadaan hidup kita sekarang, tiga bulan selepas menyusuri tahun 2013?
Kalau anda menyatakan kehidupan adalah ‘seperti biasa’, itu bermakna anda mungkin mengibaratkan kehidupan ini seperti jam – walau apa pun berlaku, ia tetap bergerak sehinggalah riwayat bateri itu berakhir dan anda mati bersamanya.
Kalau anda mengatakan kehidupan sekarang ‘lebih sukar’ dan terpaksa mendapatkan pertolongan untuk hidup, itu bermakna anda seorang yang mudah kelemasan dan berpaut pada apa sahaja untuk hidup, jika tidak, mati tenggelam.
Kalau anda memberi jawapan, kehidupan sekarang lebih mencabar dan sedang berusaha menangani pelbagai cabaran yang dihadapi, itu bermakna anda bak chameleon atau orang memanggilnya sebagai ‘sumpah-sumpah’ tetapi saya lebih mengenalinya sebagai ‘sumpah-sumpit’ (mana yang baku?).
Kamus Dewan dalam talian menyifatkan ‘sumpah-sumpah’ atau ‘sumpah-sumpit’ sebagai ‘orang yang berubah-ubah (mengikut keadaan)’ kerana sifat reptilia itu sendiri yang berupaya menyesuaikan dirinya dengan keadaan – kulitnya biasanya berwarna hijau atau coklat dan boleh bertukar warna mengikut keadaan sekeliling.
Jadi, mana satukah jawapan yang lebih menggambarkan kedudukan anda?
Sejujurnya, tiada satu pun di antara tiga jawapan yang diberikan awal tadi benar-benar salah atau sememangnya betul.
Apa yang seharusnya kita titik beratkan adalah menjadikan kehidupan, macam mana getir sekalipun, lebih bererti.
Untuk itu, segalanya berpandukan kepada niat, kemahuan, pilihan, usaha dan kemampuan sendiri.
Asasnya, yang mencacatkan kehidupan kita adalah diri sendiri bukannya orang lain.
Seandainya orang lain menjatuhkan atau menyusahkan kita, hidup dalam apa jua keadaan sekalipun, belum lagi musnah.
Kita perlu bangkit, walaupun jatuh tersembam apatah lagi terlentang.
Kita perlu berani menentang arus dan badai serta hadapi segala permasalahan yang timbul.
Hakikatnya, kita tidak boleh lari daripada realiti kehidupan kerana bebayang lampau dan kesalan akan memburu kita.
Kita boleh menangis saat menghadapi kegagalan atau kehilangan, tetapi tak seharusnya cengeng atau gembeng apalagi merengek.
Hidup adalah satu perjalanan panjang.
Berita Harian baru-baru ini mengisahkan tentang seorang blade runner, Encik Md Shariff Abdullah, 44 tahun, dan berkaki besi yang bakal menyertai Maraton Boston sejauh 42 kilometer di Massachusetts, Amerika Syarikat.
Iltizam beliau menggambarkan kesungguhannya mengharungi cabaran – kecacatan bukan penghalang untuk beliau nikmati kejayaan dalam hidup.
Berita Minggu pula melaporkan kesungguhan Encik Hazlan Abas, 40 tahun, yang menghidap penyakit kencing manis sejak usia belia sehingga meragut daya penglihatan mata kanan, fungsi kededua ginjal dan kededua kakinya dari masa ke masa.
Biarpun pekerjaannya dalam bidang teknologi maklumat dan perniagaan barangan Muslimah yang diusahakannya di pasar Marsiling terjejas, ia tidak sekalipun menggugat keyakinannya untuk bangkit dan menjalani kehidupan yang lebih bererti.
Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, beliau masih mampu ke pasar, memasak, membasuh pakaian dan menyiapkan kerja rumah.
Beliau kini mengikuti Program Bantuan Teknologi Maklumat anjuran Persatuan Cacat Anggota (SPD) dengan harapan dapat menjadi jurulatih teknologi maklumat suatu hari nanti.
Tempoh hari, dua rakan saya, Melayu, mengirim hampir serentak berita lewat aplikasi ‘WhatsApp’.
Yang pertama berkata, beliau telah berpindah ke Jakarta mulai 1 April lalu, dan kesemua anggota keluarganya akan menyusul hujung bulan ini.
Yang kedua pula akan ke Myanmar dan akan berangkat pada 23 April ini.
Rakan yang pertama adalah seorang jurutera dan telah berumah tangga manakala rakan kedua masih bujang. Rakan kedua ini adalah peguam sebelum beralih kerjaya menjadi guru dan kini mencuba nasib sebagai usahawan di Yangon.
Apakah persamaan dalam keempat-empat kisah yang saya kongsikan ini?
Walau menjalani kehidupan yang berbeza dan mencabar, mereka tidak memperjudikan nasib.
Yang mereka lakukan adalah mencari makna dalam hidup.
Jangan hanya kerana kesukaran membeli kereta baru sekarang, kita mudah sahaja menganggap hidup kini tidak lagi bermakna.
Hidup satu perjuangan beb!

Setulus Kata | Berita Minggu
Ahad, 7 April 2013
26 Jamadilawal 1434H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Bangkitlah biarpun sudah tersembam

  1. JIWA HAMBA says:

    Reblogged this on jiwa hamba.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s