Kenapa acuh tak acuh?

DAYA usaha Angkatan Karyawan Islam (AMP) untuk membentuk Forum Masyarakat (ComFor) mengalami kegenjotan setelah saranan itu disifatkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagai “boleh menduplikasikan usaha-usaha” yang kini dijalankan menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Hal ini dapat difahami kerana selain ciri pembentukan, proses pelaksanaannya didapati serupa CLF.

ComFor, andainya dilaksanakan dengan baik dan jayanya, dilihat mampu mencabar kewibawaan dan pengaruh kepimpinan politik Melayu yang diterajui oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, bersama-sama 10 Anggota Parlimen parti pemerintah lainnya.

Namun, persoalan tentang mengapa AMP menyarankan pembentukan satu wadah baru untuk membincangkan isu-isu yang menjejas masyarakat Melayu wajar diteliti dan difahami.

Mengimbas kembali kenyataan pengerusi AMP, Encik Azmoon Ahmad, sewaktu diwawancara Berita Harian pada 3 Mac lalu, yang menyatakan, pendekatan CLF lebih bersifat “dari atas ke bawah”.

“Sekarang ini, para pemimpin masyarakat tidak terlibat dalam membuat penentuan dan keputusan bagi CLF. Ia masih ditentu dan diputuskan para pemimpin politik, iaitu Anggota Parlimen (AP) Melayu,” katanya dalam wawancara itu.

Asasnya, AMP mahu pendekatan lebih terbuka, bukan eksklusif.

Yang didamba adalah penyertaan aktif pemimpin masyarakat, karyawan, golongan mapan, tenaga muda dan pemimpin politik Melayu dalam mengenalpasti permasalahan, meneliti punca, mencari huraian dan melakar strategi ampuh (beserta tinjauan dan kajian saintifik) bagi menangani pelbagai masalah genting dan cabaran besar yang dihadapi masyarakat kita.

Ini ditekankan oleh Encik Azmoon dalam wawancara itu dan semasa konvensyen Sabtu lalu.

Apa yang dihajati ialah pelaksanaan proses musyawarah lebih sempurna tanpa menepikan mana-mana pemain sepasukan.

Ironisnya, AMP – menerusi saranan pembentukan ComFor – semacam memberi kesedaran tentang matlamat asas penubuhan Yayasan Mendaki pada 1982 dan agenda utama pembentukan CLF pada Oktober 2003.

Suka atau tidak, AMP sebenarnya menuntut kepimpinan politik CLF agar lebih peka terhadap sokongan pemimpin masyarakat yang mendukung CLF itu sendiri. 

Kian kedengaran keluhan daripada kalangan pemimpin mapan, kepimpinan CLF sekarang seakan-akan tidak mengumpamakan sokongan dan sumbangan mereka, dan kehadiran mereka dipandang bagaikan ‘acuh tak acuh’.

Hakikatnya, landskap politik negara telah berubah.

Bak kata mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff, di sesi meja bundar anjuran Taman Bacaan bulan lalu, Singapura kini menghadapi ‘evolusi orkid’ .

Evolusi ini menyaksikan setiap anggota masyarakat mahu suara, sama ada maklum balas, aduan atau rungutan mereka didengar.

Mereka mahu terlibat dalam perancangan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Di sela-sela perjalanan konvensyen itu sendiri, beberapa pemimpin dan karyawan Melayu yang ditemui berkongsi pandangan dan harapan agar kepimpinan politik Melayu kini faham dan terima bahawa ‘raut’ dan ‘gaya’ kepimpinan hari ini lebih menitikberatkan penglibatan semua pihak.

Seorang pemimpin mapan masyarakat, dengan ringkas tetapi penuh bermakna berkata:

“Apa salah diwujudkan ComFor jika ia bertujuan mengukuhkan lagi institusi masyarakat dan dengan hasilnya kelak meningkatkan lagi anjakan kita?

“Mungkin ramai terlupa, kewujudan AMP dahulu adalah atas saranan Perdana Menteri terdahulu agar diwujudkan Mendaki Swasta.

“Jadinya, ComFor harus bersandarkan kepada gagasan serupa. Persaingan itu sihat, dan kita harus melihatnya daripada perspektif yang luas, bukan daripada sudut yang sempit.”

Berita Minggu | Setulus Kata
18 Syaaban 1433 H
8 Julai 2012

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s