Sejarawan: Hang Tuah wujud, asal Singapura

Oleh Chairul Fahmy Hussaini Dan Ervina Mohd Jamil

HANG Tuah bukan saja wujud, bahkan dipercayai berasal dari Singapura berdasarkan Catatan Okinawa mengenai dua pucuk surat yang dipercayai dikirim Laksamana Melaka itu kepada Kerajaan Jepun pada 1480 dan 1481.

Kedua-dua surat itu tersimpan di Arkib Budaya Ryukyu di Jepun.

Demikian menurut seorang sejarawan yang juga mahaguru arkeologi bagi Program Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Dr John Miksic, dalam satu wawancara bersama Berita Harian semalam.

“Pada pandangan saya, Hang Tuah wujud. Ini berdasarkan Catatan Okinawa (Jepun) yang menyebut tentang seorang laksamana hebat, keterampilannya menyerlah pada zaman Kesultanan Melaka pada pertengahan 1400-an.

“Catatan Okinawa ini penting dan agak boleh dipercayai kerana ia memenuhi kekosongan apabila tidak terdapat Catatan China setelah (China) memutuskan hubungan (dengan dunia luar) selepas 1430,” terang beliau.

Kenyataan Dr Miksic itu sekali gus menepis pandangan ahli sejarah Malaysia, Tan Sri Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang berkata Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Miksic berkata salah satu surat itu menyatakan seorang laksamana ada mengerahkan sebuah kapal ke Champa, iaitu Vietnam sekarang, dan menyelamatkan dua lelaki Ryukyu yang terselamat daripada satu pergaduhan dengan warga Vietnam.

“Laksamana memohon kepada pemerintah Ryukyu supaya menghantarkan kepadanya sebilah pedang, sebuah alat membaiki busur dan sebuah pelana kuda,” kata Dr Miksic, 55 tahun.

Kelmarin, Dr Miksic menyampaikan ceramah ‘Dunia Melayu dan Singapura: Dari Sudut Arkeologi’ anjuran Taman Warisan Melayu di Muzium Negara Singapura.

Menurut beliau lagi, pada 1481 pula Laksamana menandatangani sepucuk surat sebagai mengesahkan penerimaan hadiah dan utusan luar negara, dan senarai hadiah yang dikirimkan sebagai balasan.

“Surat ini selalunya dikirimkan oleh Sultan sendiri, tetapi dengan Laksamana sendiri menulisnya bagi pihak raja menunjukkan ketinggian kedudukan beliau,” ujarnya.

Dalam hal ini, kata Dr Miksic, seseorang itu akan berasa teruja memikirkan apakah laksamana yang menulis surat itu ialah orang yang sama menulis kepada Ryukyu pada 1480 dan 1481 dan merupakan Hang Tuah.

Menurut Dr Miksic lagi, Laksamana tentera laut Portugis, Afonso D’Alboquerque, mengesahkan kewujudan laksamana itu.

Ini termuat dalam Commentaries of the Great Afonso D’Alboquerque (Komentari Afonso D’Alboquerque Yang Hebat) yang ditulis tidak lama selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

“Laksamana itu disifatkan sebagai pahlawan terbilang, seorang yang ulung, berusia sekitar 80 tahun dan bertempat di Singapura,” kata Dr Miksic.

Dalam wawancara itu, beliau mengongsi pandangannya bahawa Hang Tuah berasal dari Singapura.

Menurutnya, dengan tertubuhnya Melaka peranan Singapura, seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu, berubah daripada sebuah ibu kota kepada tempat kekuasaan anak seorang pegawai berpangkat Sri Bija Diraja – yang menyandang jawatan penting sebagai laksamana, panglima tentera laut Kesultanan Melaka.

Pada masa sama, Hang Tuah juga menyandang jawatan sebagai laksamana.

Dr Miksic berkata sifat Hang Tuah serupa Arjuna dalam Mahabharata, sebuah epik klasik India.

“Catatan Sejarah Melayu mengenai Sultan Mansur Shah, antara tempoh gemilang Melaka, menyatakan Singapura ketika itu memiliki 40 kapal atau geliung bertiang tiga.

“Singapura sumber terpenting dari segi kekuatan tentera laut ketika itu, seperti Bintan sebelumnya. Melaka tidak punya warga pelaut tempatan,” kata Dr Miksic.

Berita Harian Singapura
Isnin, 30 April 2012
8 Jamadilakhir 1433H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s