Pekerti mulia penambah seri muka

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

KEPERIBADIAN seseorang sebenarnya bersandarkan pada penampilan diri dan perawakannya.

Antara faktor penting, bagi saya adalah penampilan yang kemas, sikap dan tutur kata yang lembut serta pandai jaga diri.

Penampilan yang kemas bukan sahaja meningkatkan keanggunan seseorang wanita, tetapi juga membuatnya dihormati.

Begitu juga bagi sang Adam.

Sayangnya trend hari ini menunjukkan, semakin ramai anak gadis dan lelaki Melayu kita lebih mendakapi cara hidup yang ‘terbuka’.

Mereka lebih gemar bersinglet dan mengenakan jeans, bagi si gadis pula senang memakai ‘spaghetti strap’ dan seluar ‘katuk’.

Ada sesetengahnya pula memakai seluar di bawah paras pinggang hingga menampakkan alur buntut.

Bagi sesetengah gadis, singlet yang dipakai amat ketat mengalahkan ‘sarung nangka’ – hampir melondehkan apa yang sepatutnya dilindungi daripada mata ramai.

Namun, sedang ada di kalangan gadis dan wanita kita yang lebih senang bersikap ‘terbuka’, ada juga mereka yang gemar berpakaian yang sesuai mengikut keadaan dan tempat – tanpa ‘mendedah-dedah’ secara berlebihan.

Selain golongan ini, ada juga golongan wanita kita yang lebih gemar mengenakan pakaian menutupi aurat.

Bagi sang lelaki, mana satu pilihan hati? Tepuk dada, tanya hati!

Yang penting, baik lelaki mahupun wanita, dalam soal pakaian bagi saya, ia harus kemas, bersih, bergosok dan saiz pakaian yang dikenakan adalah bersesuaian dengan keadaan saiz badan kita.

Selain pakaian, dandanan amat perlu dan ia harus rapi.

Selain pakaian, turut menjadi ukur tara dalam menilai keayuan seorang wanita atau keperibadian seseorang lelaki, menyentuh sikap dan tutur kata.

Tiada guna seseorang itu berpakaian kemas tetapi apabila bercakap tidak tahu bersuara dengan nada perlahan atau terus berbual atau bermain dengan telefon bimbit tanpa mempedulikan rakan sebelah-menyebelah atau orang di kiri kanan.

Wanita yang lembut tutur kata amat dihargai kehadirannya dalam diri seorang lelaki. Begitu juga sebaliknya.

Yang diperlukan juga adalah seorang yang berpengetahuan dan berpandangan jauh, serta bijak berinteraksi.

Satu lagi pertimbangan penting dalam menilai seseorang Adam dan Hawa terletak pada kemampuannya dalam menjaga diri dan tatasusila.

Sayangnya, keadaan hidup hari ini yang lebih sekular, liberal dan terbuka menyebabkan nilai moral dan pekerti diri semakin terhakis.

Ini sesuatu yang membimbangkan, kerana hasil pengamatan dan perjalanan hidup sehari-hari menunjukkan kepada saya, nilai kesopanan yang ditonjolkan masyarakat kita makin kurang menyerlah.

Tak usah pandang jauh. Lihat sahaja gelagat anggota masyarakat kita hari ini di tempat-tempat awam.

Ada kala, mereka berlagak bisu tanpa mahu mengungkap pun kekata ‘maaf encik/cik, tumpang lalu’ dan terus menyinggul orang yang mengadang laluan mereka.

Ataupun, terus berjalan lalu saat melangkah keluar daripada lif tanpa sedia menekan butang lif untuk membolehkan semua di dalam keluar sama.

Pekerti amat penting, kerana tanpanya, wajah kita hodoh – hilang seri tarikan walau diri seanggun bintang.

Berita Harian
Ekstra | Suara Adam
3 November 2011
Khamis, 7 Zulhijjah 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Luahan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s