Usaha kita pacu kepesatan bahasa

Oleh Chairul Fahmy Hussaini 

KALANGAN pembaca akhbar ini tertarik tetapi bingung akan istilah ‘baru’ – ‘mahu milik’ ungkapan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam ucapan Melayunya pada hari terakhir sidang parlimen Jumaat lalu (rujuk laporan BH 21 Okt 2011).

Rupa-rupanya ungkapan itu dipadankan daripada frasa Inggeris sense of ownership yang telah lama diterjemahkan sebagai ‘rasa pemilikan’.

Menurut kalangan teman saya, terjemahan ‘mahu milik’ itu kurang tepat dan canggung.

Selain kamus dalam bentuk kertas, kini terdapat banyak kamus dalam talian iaitu di Internet. Bahkan Kamus Dewan (Edisi Keempat) yang menjadi rujukan akhbar ini boleh diakses di http://prpm.dbp.gov.my .

Keunggulan laman sawang ini ialah boleh dicari makna, padanan terjemahan Inggeris-Melayu dan penggunaan istilah di kalangan negara majoriti Melayu rantau ini terutama Indonesia dan Malaysia.

Jadi, masalah istilah dan terjemahan kian mudah dihuraikan. Apatah lagi jika ada iPhone di tangan.

Menurut petua bahasawan: suatu istilah atau terjemahan baru itu tepat atau tidak bergantung pada penerimaan iaitu:

  • elit bahasa termasuk sasterawan dan ahli politik yang sering berpidato dalam bahasa Melayu;
  • pakar bahasa, dan
  • pengguna umum.

Hal ini mengingatkan saya perihal dua kekata Melayu asal Singapura – ‘kugiran’ dan ‘usahateknowan’.

Istilah ‘kugiran’ ialah singkatan bagi ‘kumpulan gitar rancak’ . Ia mula dikenalkan pada 1968 oleh mantan penyiar popular ‘M.I.A’ di zaman Radio Televisyen Singapura (RTS) semasa demam pop-yeh-yeh sedang memuncak.

M.I.A atau nama penuhnya, Mohd Ismail Abdullah, telah bertugas dengan akhbar ini sejak 1970-an.

‘Usahateknowan’  ialah terjemahan bagi ‘technopreneurship’ iaitu usahawan dalam bidang teknologi tinggi. Ia dihasilkan oleh kalangan ahli Bahasa Melayu Singapura (MBMS) – sebulan selepas istilah Inggerisnya diuar-uarkan pada Jun 1999.

Istilah ‘kugiran’ telah diterima dalam Kamus Dewan. Tetapi ‘usahateknowan’ masih belum lagi.

Kini Inggeris menjadi bahasa antarabangsa – serupa Arab 700 tahun lalu. Daripada bahasa Arab, timbul istilah aljabar (algebra), mirrah (mirror atau cermin) dan sebagainya.

Bahasa Melayu termasuk bahasa-bahasa yang paling luas digunakan di dunia seperti Mandarin, Hindi, Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Arab. Dalam hal ini, masyarakat Melayu Singapura boleh turut berbangga. Apatah lagi bahasa Melayu di sini masih dianggap bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan.

Berbaloikah ‘rasa bangga’ kita?

Rasa bangga juga boleh menjadi sebahagian rasa pemilikan. Tetapi sejak 46 tahun merdeka, kita masih belum mampu menghasilkan kamus kita sendiri, Kamus Bahasa Melayu Singapura. Kita masih bergantung pada Kamus Dewan.

Ini tidak seharusnya berlaku.

Telah tiba masa bagi MBMS bersikap proaktif dalam pelestarian bahasa Melayu Singapura dengan menggembleng dua Jabatan Pengajian Melayu – Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NIE/NTU) – dan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS).

Apatah lagi, setiap badan ini mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa, merangkumi etimologi, sastera, budaya serta pendidikan.

Paling tidak pun, MBMS seharusnya berupaya mengemukakan senarai kosa kata dan istilah-istilah yang diterima-pakai masyarakat Melayu Singapura dari masa ke masa secara dalam talian menerusi laman MBMS yang mesti dirancakkan.

MBMS harus memanfaatkan kepakaran pelbagai pertubuhan profesional Melayu/Islam seperti Persatuan Penjagaan Kesihatan Profesional Muslim (MHPA), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Persatuan Perancangan Kewangan Muslim (MFPA), Persatuan Peguam Muslim, Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) bagi memastikan penerbitan Kamus Bahasa Melayu Singapura dapat memenuhi keperluan pengguna bahasa Melayu di sini.

Selain soal penerbitan kamus, terdapat juga saranan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, pada Disember 2009, agar dibentuk Kursi Mahaguru Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad bagi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti tempatan. Sayangnya, usul tampak bersambut sepi.

Rasa pemilikan kita juga hambar kerana Singapura masih lagi bertaraf ‘pemerhati’ dalam Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabbim), sebuah badan kebahasaan serantau yang dianggotai tiga negara iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Menurut Mabbim di laman utamanya:

“Wadah kerjasama kebahasaan Mabbim ini, hakikatnya mempunyai misi untuk membina dan mengembangkan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu/Indonesia di ketiga-tiga negara anggota Mabbim menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan, dan bahasa ekonomi.”

Soalan: Sampai bila MBMS rela berada di tepi gelanggang Mabbim?

Sebaiknya, MBMS menjelaskan secara terperinci segala hambatan yang dihadapi agar masyarakat Melayu dan Pemerintah dapat sama-sama mencari huraian yang wajar lagi bernas dalam menangani permasalahan dan rintangan yang ada.

Encik Masagos Zulkifli, yang juga Timbalan Pengerusi MBMS, tentu dapat menilai erti ‘rasa pemilikan’ jika diluaskan dalam pelbagai bidang termasuk bahasa.

Berita Harian | Komentar
Isnin, 31 Oktober 2011
4 Zulhijjah 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s