Pendekatan pertengahan demi pikat rakyat

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEDANG suhu pilihan raya semakin reda, suasana politik di negara ini bagaimanapun masih membahang. Ramai menjangkakan percaturan politik – baik di pihak parti pemerintah mahupun di pihak parti pembangkang – mulai sekarang akan menjadi lebih berhati-hati, tersusun dan strategik.

Jadinya, nuansa politik yang dizahirkan saat penggal parlimen yang baru dibuka pada 10 Oktober nanti harus menepati nurani rakyat – baik yang tersirat mahupun tersurat.

Hakikatnya, inilah realpolitik yang harus ditempuhi sekarang dan masa mendatang.

Secara terus terang, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak mampu gagal dalam memenangi semula hati rakyat yang semakin tertawan dengan hujah parti-parti pembangkang dan wacana alternatif.

Bagi mengembalikan keyakinan watan, PAP perlu lebih menonjol dengan pendekatan dan pemikiran baru.

Dalam hal ini, dirasakan PAP perlu mendukung teras yang lebih centrist atau pertengahan, yakni pendekatan politik yang lebih sederhana.

Ini akan meyakinkan rakyat bahawa PAP sememangnya bukan parti yang mementingkan golongan teknokrat atau elitis, tetapi parti yang menyantuni sokongan dan mengiktiraf sumbangan warga teras (heartlanders) hingga ia mampu berdiri utuh selama lebih lima dekad.

Pengembalian PAP pada politik landas pertengahan bermakna ia lebih menitikberatkan kesejahteraan semua golongan, terutama sekali rakyat biasa, warga tua, golongan terhimpit dan golongan memerlukan, tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

Dalam menghujahkan hal ini, saya mengutarakan satu faktor utama – polarisasi atau perpecahan yang semakin ketara antara rakyat negara ini.

Jika tidak ditangani dengan betul, ia akan menjadi runcing, menyusuli pilihan raya umum pada Mei lalu dan pilihan raya Presiden pada Ogos lalu.

Realitinya, rakyat Singapura kini terbahagi kepada sekurang-kurangnya empat kelompok:

  • Kelompok A: penyokong tegar PAP
  • Kelompok B: mereka yang bulat-bulat menolak PAP dan menyokong penuh politik pembangkang 
     
  • Kelompok C: golongan atas pagar dan mereka yang ‘lelah’ dengan PAP sekarang dan menginginkan satu pembaharuan dan sedia memberikan undi mereka kepada pihak alternatif
  • Kelompok D: pengundi muda yang tidak memikul bebanan politik lampau tetapi tidak bermakna ‘mentah’ apatah lagi ‘hijau’ tentang politik dan perkembangan semasa negara ini

Yang pasti, rasa tidak senang hati rakyat terhadap beberapa dasar pemerintah telah membolehkan parti- parti pembangkang meraih 40 peratus atau lebih 820,000 sokongan daripada sejumlah 2,060,373 pengundi semasa pilihan raya umum lalu, sementara hanya 745,693 daripada lebih 2.1 juta pengundi memilih Dr Tony Tan Keng Yam sebagai Presiden ketujuh negara.

Kejayaan Presiden Tony Tan yang meraih 35 peratus undi, dengan kelebihan 0.35 peratus, daripada pesaing terdekatnya, Dr Tan Cheng Bock, yang mendapat 34.85 peratus undi, boleh dianggap sebagai kemenangan ‘seiris sebelanga’.

Ramai beranggapan kemenangan Dr Tony Tan sebahagian besarnya adalah disebabkan sokongan padu penyokong tegar PAP, selain segolongan kecil golongan ‘atas pagar’ dan golongan pengundi warga tua.

Jumlah undi yang diraih Dr Tan Cheng Bock, jika dicampur dengan undi yang diraih dua pencabar lain bagi jawatan Presiden – Encik Tan Jee Say, yang menerima 530,441 atau 25.04 peratus undi; dan Encik Tan Kin Lian, yang meraih 104,095 atau 4.91 peratus undi – menjadikan undi yang diberikan kepada pihak alternatif adalah 64.8 peratus.

Ini mengesahkan lagi dapatan undi yang dihitung semasa pilihan raya umum yang berlangsung tiga bulan sebelumnya – sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rakyat benar-benar menuntut perubahan, semakan atau penambahbaikan terhadap dasar-dasar awam yang menjejas kehidupan dan kesejahteraan rakyat sehari-hari, seperti:

  • dasar perumahan
  • dasar kemasukan pekerja asing dan warga baru
  • dasar pengangkutan 
  • dasar penjagaan kesihatan
  • jurang pendapatan yang melebar
  • kos sara hidup yang tinggi; dan
  • kebertanggungjawaban ahli politik pada keputusan politik yang mereka buat

Jadi dalam usaha menyatukan semula rakyat yang kini terpecah, PAP wajar mengambil pendekatan lebih centrist atau pertengahan.

Dalam erti kata lain, mengemukakan dasar awam yang sebenar-benarnya ‘mesra warga teras’ – menurut kesesuaian perkembangan semasa.

Lebih penting lagi, para wakil rakyat perlu lebih mendengar dan prihatin akan segala permasalahan rakyat dan menyuarakannya secara jelas kepada Pemerintah – sama ada secara tertutup atau terbuka di Parlimen.

Pemerintah pula perlu mendengar suara-suara ini dan menterjemahkannya dalam bentuk dasar awam yang baru atau yang disemak demi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

Natijahnya, rakyat hari ini sangat jauh berbeza daripada rakyat lima dekad lalu.

Yang jelas, warga hari ini punya banyak ‘kelebihan’ – lebih berpelajaran, lebih jauh berjalan, lebih banyak pengalaman, lebih bijak menimbang dan menilai, lebih berhati- hati, lebih strategis dalam membuat perhitungan, lebih berani mengambil risiko dan lebih peduli tentang kedudukan mereka.

Disebabkan ‘kelebihan-kelebihan’ ini, mereka menjadi lebih ‘lokek’ dan lebih berkira-kira dalam membuat pemilihan penentuan.

Ertinya, PAP perlu muhasabah atau introspeksi segera demi menambat semula hati rakyat atau meniti laluan yang samar pada pilihan raya umum akan datang.

Berita Harian | Komentar
Sabtu, 24 September 2011
26 Syawal 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s