Presiden ketua negara bukan ketua pemerintah

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

BAHANG Pilihan Raya Presiden semakin terasa.

Andai ada lebih daripada seorang calon yang layak, warga Singapura berpeluang keluar mengundi memilih calon yang diinginkan menduduki kerusi tertinggi negara pada 27 Ogos ini.

Sejauh ini enam karyawan telah mengemukakan borang permohonan mereka bagi mendapatkan sijil kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Sememangnya tiada siapa dapat menjangkakan Pilihan Raya Presiden kali ini cukup hangat.

Antara sebab sambutannya kini lebih ‘semarak’ daripada biasa ialah kerana ‘arus demokrasi’ yang melanda dunia – ‘angin kencangnya’ mula membelah bumi Tunisia sejak suku ketiga tahun lalu.

Globalisasi, kepesatan teknologi dan ledakan maklumat di mana-mana – baik menerusi media tradisi mahupun saluran media baru – telah membuat warga dunia lebih terdedah dan paling penting sekali, terpengaruh, kepada keadaan sekeliling dan mendambakan perubahan.

Ini merubah suasana dan sekitaran politik di mana jua, terutama sekali negara-negara yang mengamalkan demokrasi dan Singapura dalam hal ini, tidak terkecuali.

Kesan daripada ini menyaksikan Parti Pekerja (WP), salah sebuah parti pembangkang di sini, berjaya menawan enam kerusi dalam pilihan raya umum pada Mei lalu, sementara parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) pula meraih undi majoriti terendah dalam sejarah negara ini dengan kadar 60.1 peratus.

Namun, apa yang perlu dimengertikan oleh rakyat Singapura ialah Pilihan Raya Presiden tidak sama dengan Pilihan Raya Umum.

Perbezaannya bagai langit dengan bumi. 

Contoh paling nyata, Presiden Dipilih hanya mempunyai kuasa penjagaan atau kastodial, bukan kuasa eksekutif.

Hanya Anggota Parlimen (AP) yang dipilih rakyat semasa pilihan raya umum bagi membentuk pemerintah mempunyai kuasa eksekutif.

Presiden hanya berkuasa dalam melindungi rizab negara, punya kuasa ‘veto’ atau boleh campur tangan dalam keadaan pemerintah menahan seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengarahkan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) meneruskan siasatan sekiranya pemerintah cuba menghalang. 

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mengetengahkan agenda atau dasarnya sendiri kerana perlembagaan jelas menggariskan peranan dan bidang kuasa Presiden. 

Presiden adalah ketua negara dan bukan ketua pemerintahan.

Ertinya, Presiden adalah wajah Singapura di persada dunia.

Lantaran itu, pilihan raya yang bakal diadakan kelak harus didekati secara serius dan dilakukan secara terhormat – sesuai dengan kedudukan jawatan tersebut yang memayungi seluruh rakyat negara ini.

Apa yang dibimbangi sekarang, terdapat tanda-tanda beberapa karyawan yang ingin bertanding bagi merebut jawatan ini mahu dilihat sebagai ‘jaguh’ atau ‘wira’ – ingin menjadi lidah atau suara rakyat dalam membincangkan atau menyemak dasar pemerintah.

Walau ini dapat dimengertikan, pendekatannya salah sama sekali.

Peranan ini harus dimainkan para AP baik dalam parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Presiden tidak boleh mencampuri urusan politik sehari-hari. 

Seandainya ini berlaku, keadaan negara boleh menjadi kacau-bilau dengan adanya dua kuasa politik dalam negara.

Dalam meneliti hal ini, hakikat yang perlu kita sedari ialah, kita tidak mampu memilih ‘hero kampung’ untuk mewakili kita di mata dunia.

Apa yang kita mahukan ialah seorang karyawan, yang bukan sahaja bijak dan ahli dalam soal dasar pemerintahan dan ekonomi, malah seorang yang luhur dan mampu menyatukan rakyat, dan dihormati warganya.

Komentar | Berita Harian
Sabtu, 6 Ogos 2011
5 Ramadan 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s