Iktibar GRC Aljunied dalam adu siasah

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

LANDSKAP politik Singapura sejak pilihan raya umum 2011 tidak lagi seperti dulu.

Hari ini, 40 peratus pengundi memilih untuk memberi sokongan kepada pembangkang.

Mandat kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pula merosot ke paras 60 peratus.

Kini Parti Pekerja (WP) yang berlambangkan tukul besi bukan saja berjaya kekal di kawasan undi perseorangan (SMC) Hougang dengan mandat lebih besar, bahkan menawan kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied dengan kelebihan 12,433 undi. Satu pencapaian luar biasa.

Apa pun, tahniah kepada PAP dan pembangkang kerana suasana pilihan raya ini memang panas namun terkawal, bahkan terpapar juga detik budiman.

Mengapakah PAP gagal mempertahankan Aljunied?

Menyusuli kekalahan itu, Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Lim Hwee Hua; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, telah mengumumkan persaraan mereka daripada politik aktif. Cik Cynthia Phua dijangka senada juga.

Jadi tinggal Encik Ong Ye Kung yang muda dan dijangka bertanding dalam pilihan raya umum lima tahun menjelang. Apakah beliau masih mahu mencuba tuah di Aljunied?

Persoalan kini: dengan pengunduran empat tokoh PAP itu, siapakah yang bakal bertindak sebagai Penasihat bagi Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi (GRO) di kawasan masing-masing?

Lazimnya, setiap anggota parlimen (AP) PAP juga dilantik selaku Penasihat GRO di kawasan yang diwakili.

Benar, pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) boleh mengambil alih tugas ini, tetapi untuk sementara waktu.

Oleh itu, dalam waktu peralihan ini, PAP harus bersedia menampilkan barisan individu yang memberi isyarat kepada pengundi yang menyokongnya bahawa Aljunied masih penting.

Tak kenal, maka tak cinta.

Jadi, pasukan baru PAP di Aljunied perlu gigih mendampingi dan membantu penduduk.

Apakah strategi PAP untuk menawan semula Aljunied kerana WP tentulah gigih menambat hati penduduk di sana?

Sanggupkah PAP menampilkan seorang menteri Kabinet bagi memimpin pasukan barunya di Aljunied?

Yang pasti, Singapura sudah kerugian tiga tokoh bertaraf menteri dalam adu undi di Aljunied. Encik Yeo dianggap ‘wajah Singapura’ di persada antarabangsa.

Cik Lim dianggap wanita perintis yang meraih jawatan menteri dan arif aspek ekonomi. Encik Zainul pula imej Muslim Singapura di pentas jagat dan tokoh harapan umat Islam di sini.

Adakah PAP serik untuk meletakkan seorang menteri bagi memimpin pasukan di GRC Aljunied kelak?

Juga tidak wajar bagi PAP membariskan lima calon baru sekali gus. Sebabnya: WP kian naik daun dan matang untuk dialahkan dengan mudah oleh pasukan PAP yang ‘mentah’.

Jadi, ambillah jalan tengah: PAP boleh memilih seorang Menteri Negara untuk memimpin pasukan PAP baru di GRC Aljunied kelak.

Tokoh pilihan hendaklah memiliki faktor X, selain beberapa kelayakan lain. Iaitu rendah hati, mesra, arif dan meyakinkan pengundi, serta ringan tulang terutama untuk membantu rakyat susah.

PAP boleh memanfaatkan pengalaman wakil rakyat baru bagi SMC Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin. Walau alah dua kali pada 2001 dan 2006, beliau tabah, ceria dan mesra kepada penduduk Potong Pasir.

Rayuan dan kegigihannya mengunjungi setiap rumah akhirnya membawakan kemenangan tipis dengan kelebihan 114 undi, tetapi amat bermakna.

Jelaslah, rakyat inginkan pemimpin berjiwa rakyat, sanggup menemui mereka saban masa dan sedia membantu.

Tewas dan segera mengumumkan persaraan mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Pun memang diinsafi kalangan anggota pasukan Aljuniednya memang sudah ‘berumur’.

Hal serupa juga boleh berlaku pada pasukan pembangkang yang lain.

Selagi ada dana dan kemahuan serta sentimen rakyat yang mahukan pembangkang, mereka juga akan terus berkempen secara halus menjelang pilihan raya umum ke-12 kelak.

Inilah perkembangan yang menarik. Politik Singapura sudah berubah ke arah demokrasi yang dinamis.

Komentar | Berita Harian
Jumaat, 13 Mei 2011
9 Jamadilakhir 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s