Menyingkap era baru masa depan Singapura

Oleh Chairul Fahmy Hussaini dan Saat A. Rahman dan Hisham Hasim

APA PUN kesudahan pilihan raya umum ini, yang pasti ia memenuhi jangkaan menjadi satu pilihan raya genting bagi Singapura.

Jika dinilai pada perkembangan beberapa hari terakhir kempen, apa yang jelas adalah rakyat boleh menjangkakan perubahan terutama pada Parti Tindakan Rakyat (PAP) jika mereka kembali berkuasa, sama ada kemenangannya besar atau kecil.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyentuh hati ramai apabila beliau meminta maaf, dan berkata beliau memahami terdapat sentimen kurang senang terhadap PAP, dan akur beberapa kekurangan dan kesilapan dalam beberapa dasar pemerintah dan berjanji sedang membetulkannya.

Hakikat PAP menyedari mereka menghadapi arus sentimen negatif jelas dalam pengakuan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, yang menghadapi cabaran sengit di kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied.

Beliau berkata sudah tiba masanya PAP menjalani perubahan selepas beliau menghadapi rasa kurang senang dan kemarahan para pengundi Aljunied.

Namun, tidak siapa yang boleh menafikan rekod cemerlang PAP dalam memajukan negara, dengan pemerintahan yang cekap dan berpandangan jauh.

Inilah sebenarnya aset PAP yang juga menjadi aset bernilai Singapura.

Namun, politik juga adalah mengenai emosi. Sebab itulah Encik Lee sendiri mengakui bahawa hubungan emosi adalah penting kerana dengan cara itu, PAP dapat memenangi hati rakyat dan tampak sebagai sebuah parti yang memiliki sentuhan kemanusiaan.

Dari segi ini, harus diingat, ia bukan sesuatu yang baru disedari Encik Lee dan pasukan pemimpinnya.

Ia telah berusaha ke arah ini sejak lama lagi.

Contohnya cara ia menyelesaikan masalah dadah di kalangan masyarakat Melayu – dengan mendapatkan seorang pemimpin yang dihormati dan dapat berhubungan dengan masyarakat, Encik Harun A. Ghani. Tidak siapa yang boleh meragukan keupayaan Allahyarham Harun dari segi hubungan emosinya dengan masyarakat dan keupayaannya menggerakkan mereka.

Dalam pemilihan barisan calon baru kali ini pula, pucuk pimpinan PAP memberatkan calon-calon yang berpengalaman dalam kerja-kerja akar umbi, kesatuan selain mempunyai keupayaan mendampingi rakyat, dan tidak seperti sebelum ini yang memberatkan calon berkelayakan tinggi sehingga menjadi elitis.

Ia juga cuba menerapkan anggota muda seperti Cik Tin Pei Ling tetapi sayangnya beliau mendapat cemuhan kerana dikatakan kurang matang, namun PAP tetap membelanya dan ini menguatkan lagi persepsi umum bahawa PAP sebuah parti yang angkuh dan tidak mahu mendengar suara rakyat.

Di sinilah ruang yang cuba dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang yang mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka memerlukan suara alternatif.

KERUSI ‘PANAS’

Persoalan yang menjadi perbualan hangat kini adalah sama ada GRC Aljunied akan tumbang ke tangan Parti Pekerja (WP) atau tidak.

Medan hangat itu menyaksikan pasukan PAP yang diketuai Encik Yeo berhadapan dengan pasukan pimpinan Ketua WP, Encik Low Thia Khiang.

Pada 2006 lalu, pasukan WP pimpinan pengerusinya, Cik Sylvia Lim, meraih 43.9 peratus undi.

Dalam pilihan raya kali ini, seramai 143,148 pengundi akan memangkah kertas undi mereka di GRC Aljunied.

Namun, yang lebih menarik atau yang disifatkan sebagai dilema emosi yang dihadapi para pengundi adalah barisan calon PAP yang diketengahkan bersama-sama Encik Yeo.

Salah seorang daripadanya adalah Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) Encik Zainul Abidin Rasheed, yang telah ‘dijanjikan’ jawatan sebagai Speaker Parlimen selepas pilihan raya nanti, jika dipilih.

Ini tentunya mengusik emosi para pengundi, khususnya pengundi Melayu di kawasan GRC Aljunied.

Apakan tidak, faktor Encik Zainul sering kali dikaitkan dengan memenangi hati pengundi terutamanya masyarakat Melayu di kawasan undi tersebut.

Pada pilihan raya 2006, pengundi kawasan undi Eunos dikatakan memberi mandat 60 peratus undi kepada Encik Zainul dan juga PAP.

Selain Encik Zainul dan Encik Yeo, kejatuhan Aljunied juga bermakna kehilangan Cik Lim Hwee Hua, menteri penuh wanita pertama, dan Encik Ong Ye Kung, yang disebut-sebut sebagai bakal memegang jawatan penting dalam kabinet.

Ramalan awal menunjukkan sentimen pengundi adalah 50-50.

Ini kerana pengundi tertarik dengan pasukan WP yang selain dibarisi Encik Low dan Cik Lim, turut mengetengahkan calon bintang mereka, Encik Chen Show Mao, di samping Encik Muhamad Faisal Abdul Manap dan Encik Pritam Singh.

Keupayaan ketiga-tiga calon itu dilihat menyerlah sepanjang tempoh berkempen dan lebih penting keupayaan mengemukakan pelbagai hujah bernas bagi menyokong dasar- dasar alternatif yang mahu diperkenalkan WP.

Kemungkinan adanya undi rosak juga akan memainkan peranan penting di GRC Aljunied.

Pada 2006, peratusan undi rosak secara keseluruhannya bagi kesemua kawasan undi yang menyaksikan pertandingan adalah 2.2 peratus berbanding 2.1 peratus pada pilihan raya 2001.

ARAH MASA DEPAN

Keputusan pilihan raya hari ini akan menentukan arah tujuan masa depan negara.

Kali terakhir Pilihan Raya Umum diadakan pada 2006, PAP – yang menang tanpa bertanding di 37 kerusi – berjaya menawan 66.6 peratus undi.

Bagi PAP, ia peluang baginya mendapatkan mandat kukuh dan sekali gus memperkenalkan pemimpin generasi keempat bagi menerajui bahtera negara.

Bagi pihak pembangkang pula, matlamatnya adalah memperkuatkan kedudukan dan keanggotaannya di Parlimen demi membangunkan Parlimen Bertaraf Dunia Pertama.

Kesudahannya kali ini jauh daripada pasti.

Pasukan PAP kali ini menghadapi pertarungan satu-lawan-satu di kesemua kawasan undi yang dipertandingkan kecuali di SMC Punggol East (di mana PAP bersemuka dengan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan WP.

Calon yang dikemukakan pembangkang juga bukan calang-calang.

Di kalangan mereka kini adalah bekas penerima biasiswa pemerintah, karyawan dan tokoh-tokoh perniagaan penting dengan lulusan sarjana termasuk Doktor Falsafah (PhD).

Jelas, pihak pembangkang kini lebih komited, sepakat dan tersusun berbanding pilihan raya lalu.

Kesungguhan pihak pembangkang untuk memenangi kerusi-kerusi yang disasarkan begitu jelas disuarakan oleh Encik Low yang menekankan berkali-kali semasa rapat mereka tentang pentingnya rakyat mengundi pembangkang bagi memastikan adanya keseimbangan di Parlimen bagi faedah rakyat.

SAHUT CABARAN PAP

Melangkah ke hadapan, Encik Low (WP) dan Encik Chiam See Tong (Parti Rakyat Singapura) dengan penuh keyakinan meninggalkan kubu kuat masing-masing di Hougang dan Potong Pasir untuk bertanding di GRC Aljunied dan Bishan- Toa Payoh.

Ramai melihat langkah tersebut sebagai pertaruhan besar pihak pembangkang untuk menawan sekurang-kurangnya sebuah GRC.

WP, misalnya, menampilkan barisan terhandal mereka untuk menawan GRC Aljunied.

Kempen pilihan raya kali ini juga lebih menarik. Selain berkempen secara tradisional menerusi rapat, poster dan alat pembesar suara di atas lori, peraturan berkempen menggunakan media baru telah dilonggarkan.

Zaman sudah berubah dan kali ini ramai sedia meluahkan pendirian mereka secara terbuka terhadap dasar-dasar PAP – terutama sekali menerusi Internet selain dalam perbualan harian.

Ada yang berpendapat pemerintah kurang prihatin dengan rintihan rakyat, selain menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi.

Sepanjang tempoh berkempen, isu harga perumahan awam yang semakin meningkat, kesesakan MRT dan kebanjiran pendatang asing merupakan antara isu yang hangat diperdebatkan.

Soal siapa yang yang harus dipertanggungjawabkan menyusuli pelolosan Mas Selamat dan banjir di Orchard Road juga antara topik utama.

Ada pihak pula yang menganggap PAP sebagai parti yang angkuh angkara terlalu lama memerintah.

SUARA RAKYAT

Terdapat pihak yang berani meramalkan kejayaan pihak pembangkang menawan beberapa kawasan undi.

Di pihak PAP, ada yang yakin parti itu akan mencatatkan keputusan sebaik pilihan raya 2006.

Daripada lebih 2.35 juta pengundi yang layak mengundi kali ini, setiap satu dalam empat dianggarkan berusia antara 21 dengan 35 tahun.

Ramai yang mungkin mengundi buat kali pertama. Sukar sekali meramalkan gaya pemikiran golongan muda ini.

Juga penting dan saling berkait dengan faktor pengundi muda ialah peranan Internet dan media baru dalam membentuk minda.

Contoh terbaik adalah ‘pertembungan’ dua wanita di GRC Marine Parade – Cik Tin dari PAP dan Cik Nicole Seah dari Parti Perpaduan Nasional (NSP).

Sedang calon muda PAP berusia 27 tahun itu ‘dihentam’ dari setiap penjuru di ruang siber, Cik Seah, 24 tahun, pula dipuji melambung.

Lebih dua minggu selepas melancarkan profilnya di laman Facebook, Cik Seah sudah pun berjaya menarik lebih 74,454 peminat.

Turut menjadi persoalan ialah pendekatan PAP menangani media baru.

Sejak kempen bermula juga, isu mengenai kepimpinan generasi keempat yang bakal menggantikan Encik Lee dan pasukannya kurang diberi perhatian.

Sebaliknya, tumpuan diberi perhatian kepada rekod cemerlang Encik Yeo sebagai Menteri Ehwal Luar yang mengetuai pasukan PAP mempertahankan GRC Aljunied.

Apa pun keputusannya nanti, bersiap bagi mengharungi hari baru untuk Singapura.

Dalam Negeri | Berita Harian
7 Mei 2011, Sabtu
3 Jamadilakhir 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s