Cabaran penuhi jangkaan rakyat yang melampaui aspek kebendaan

 

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SECARA umumnya, saya dapat rumuskan bahawa pendekatan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), dalam pilihan raya umum kali ini bersandarkan pada tiga faktor:

  • jenama PAP sebagai parti yang boleh dipercayai
  • kewibawaan calon-calonnya yang mampu menjalankan tugas dengan baik
  • membangunkan sebuah pentadbiran pemerintah yang cekap dan telus

Dalam memastikan rakyat memahami bahawa PAP adalah parti yang boleh dipercayai, ia memperkenalkan pelbagai dasar dan melaksanakan banyak program untuk memastikan kesejahteraan rakyat negara ini terus terjamin.

Lebih penting lagi, sebagai parti yang bertanggungjawab, PAP melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengambil pendekatan kreatif untuk memastikan rakyat menguasai mutu pendidikan dan kemahiran yang tinggi, selain menikmati penjagaan kesihatan yang antara terbaik di dunia.

Dengan taraf pendidikan dan penguasaan kemahiran tinggi, rakyat negara ini kini menikmati kerjaya yang baik dan menikmati gaji lebih besar.

Buktinya, semakin ramai kini tergolong dalam kelas pertengahan dan jumlah mereka yang berkereta juga kini meningkat.

Dari segi kewibawaan calon- calonnya pula, PAP menampilkan bakat-bakat yang bukan sahaja terpelajar, malah mampu memahami keperluan dan aspirasi rakyat.

Calon yang dipilih bukan hanya karyawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing, bahkan merupakan pemimpin berjiwa rakyat, mendampingi dan memimpin mereka mencapai matlamat yang digariskan demi kemakmuran jangka panjang.

Pemimpin yang cekap, bijak dan berwawasan telah berjaya membentuk pemerintah yang dinamis, cekap dan telus sehingga ia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kecekapan para kakitangan awam dan keberkesanan sistem yang diwujudkan juga berjaya mengurangkan kerenah birokrasi – sesuatu yang jarang dinikmati kebanyakan perkhidmatan awam di dunia.

Kejayaan PAP memacu kemajuan Singapura – daripada sebuah negara dunia ketiga pada tahun 1950-an, menjadi negara membangun pada tahun ’70-an dan kini tergolong sebagai salah sebuah negara maju – menunjukkan kemampuan sebenar parti pemerintah mentadbir negara ini.

Pentadbirannya yang cukup menyerlah tidak boleh dinafikan.

Namun, dalam apa jua keadaan, PAP perlu memahami keadaan sekarang telah jauh berubah.

Aspirasi rakyat kini tidak hanya tertumpu pada aspek kebendaan semata-mata, malah dalam memperkukuh sendi masyarakat itu sendiri.

Dalam hal ini, PAP mengerti rakyat Singapura menginginkan suara mereka lebih didengar, bukan sekadar menerusi saluran maklum balas tetapi di Dewan Parlimen.

Dengan rakyatnya yang semakin berpendidikan tinggi, lebih terdedah pada dunia luar dan lebih peka pada sekitaran semasa, PAP mengerti bahawa rakyat melihat kekurangan parti atau suara pembangkang di parlimen sebagai satu kekurangan utama.

Dalam hal ini, usaha atau inisiatif PAP melonggarkan lagi sistem demokrasi dengan meningkatkan kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) kepada sembilan sekarang wajar dipuji.

Namun, sedang usaha ini dilaksanakan, terdapat pandangan sesetengah pihak tentang perlunya aspek kebertanggungjawapan yang lebih tinggi daripada kalangan menteri kabinetnya.

Soal belanjawan berlebihan semasa temasya Sukan Olimpik Belia, soal kelolosan pengganas Mas Selamat Kastari dari pusat tahanan Whitley Road, isu bahasa ibunda dan kos perumahan yang tinggi serta kos sara hidup yang semakin meningkat umpamanya perlu diberi penjelasan lebih terperinci.

Sekitaran kehidupan yang kian tertekan meresahkan mereka.

Rakyat ingin mendengar penjelasan lebih berterus terang. Kini masa terbaik untuk PAP berbuat demikian.

Undi di tangan rakyat. Tambat hati mereka.

Komentar | Berita Harian
Jumaat, 29 April 2011
24 Jamadilawal 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s