Cabaran untuk penuhi perubahan pengundi

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

LAZIMNYA, belum pun sempat pengundi memangkah kertas undi, Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah pun berjaya membentuk pemerintah pada Hari Penamaan Calon. Inilah trend hampir setengah abad di republik ini.

Namun, tahun ini, pilihan raya umum ke-11, hal ini bakal berubah.

Parti-parti pembangkang mungkin bertanding di kesemua 87 kawasan undi (dibahagikan kepada 12 kawasan undi perseorangan atau SMC dan 15 kawasan undi perwakilan kumpulan atau GRC).

Bagi kalangan pengamat yang mengikuti perkembangan politik watan ini sejak dua dekad, perubahan ini disebabkan sebahagian rakyat mendambakan kehadiran lebih ramai pembangkang demi mewujudkan suasana ‘teliti dan imbangi’ (check and balance) demi memajukan watan ini.

Sebagai parti yang memerintah sejak merdeka, PAP akur dengan suasana peribahasa ‘sekali bah, sekali pantai berubah’.

Perubahan ini menyangkut:

  • Corak pengundi

Sekitar 2.3 juta warga layak mengundi (kenaikan daripada 2.1 juta pada 2006 dan dua juta pada 2001).

Lebih seorang bagi setiap empat pengundi berusia 21 hingga 34 tahun. Daripada angka ini, 200,000 adalah pengundi kali pertama.

Generasi muda Singapura lebih berpelajaran dan berfikiran global lewat pendedahan di luar negara atau sekurang-kurangnya melungsuri Internet dan bergaul dengan para penduduk asing di sini.

  • Monopoli demokrasi

PAP memang peka dan sedar mengenai tanggapan bahawa demokrasi seperti dimonopolinya kerana ketiadaan pembangkang yang berkesan.

Maka ia cuba ‘melapangkan’ lagi ruang sistem demokrasi di negara ini dengan mewujudkan anggota parlimen dilantik (NMP) dan anggota parlimen tanpa kawasan undi (NCMP).

Sedang pemerintah PAP dijulang berjaya dalam banyak kajian antarabangsa dari segi meningkatkan mutu hidup rakyat daripada Dunia Ketiga ke Pertama dalam tempoh kurang empat dekad, sebahagian rakyat masih kurang puas.

Beberapa tinjauan oleh badan ilmiah di negara ini atau ilmuwan dan badan asing mendapati dasar-dasar awam masih belum dapat merapatkan sepenuhnya jurang pendapatan yang melebar.  Kos hidup di republik ini terus meningkat. Kehadiran bakat asing pula telah menimbulkan persaingan yang bak menjejas peluang anak watan.

  • Kesedaran berpolitik

Kian ketara karyawan muda dan berbakat, termasuk yang bertugas dalam perkhidmatan awam, sedia melangkah keluar dan menyertai parti-parti pembangkang dan bertanding dalam pilihan raya kali ini. Dari segi pencapaian akademik, kelayakan segelintir mereka setanding dengan para calon baru PAP.

Kesediaan mereka untuk tampil bertanding berdasarkan keyakinan bahawa sistem dwiparti (bipartisan) diperlukan di Singapura.

Bagaimanapun, konsep dwiparti, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini, tidak dapat dilaksanakan di sini kerana kekecilannya bukan saja dari segi saiz tanah bahkan bakat kepimpinan yang terbaik dan setara.

  • Janji politik dan media baru

Pilihan raya umum ialah detik menabur janji masa depan. Setakat ini manifesto PAP telah menambat rakyat Singapura.

Namun, apakah pelbagai manifesto pembangkang kali ini tidak akan merubah dimensi tadi?

Kini dengan kebebasan media baru, pembangkang Singapura yakin bahawa mereka mempunyai peluang ‘merubah’ tanggapan pengundi.

Kesemuanya bergantung pada kecerdikan pembangkang berkempen dan memastikan tiada ‘percakaran’ antara mereka. Namun, sering keharmonian pembangkang masih diragukan apabila timbul persaingan lebih dua penjuru di sejumlah kawasan undi. Hal ini mungkin menawarkan hati pengundi muda, bahkan pengundi veteran.

PAP tentu arif bahawa kian sukar untuk menambat hati pengundi atau menafikan bulat-bulat peluang pembangkang yang lebih kemas dengan manifesto dan corak para calonnya buat sekian kalinya.

Apakah peluang PAP kali ini?

Rekod bersih dan jaya PAP memang luar biasa bagi kebanyakan negara dunia. Namun, ada sebab sentimen dan emosi yang mungkin mendorong pengundi, terutama yang muda, inginkan perubahan terjadi.

Hal ini mendorong kalangan pengamat berpendapat, PAP mungkin meraih sebahagian besar kawasan undi tetapi kadar keseluruhan undinya di bawah paras 60 peratus.

Dengan genderang pilihan raya terdengar, PAP tentu sekali akan giat mendampingi rakyat, terutama yang muda, untuk meraih mandat yakin.

Komentar | Pandangan
Berita Harian, 21 April 2011
17 Jamadilawal 1432H
Khamis, 1454:10 ptg

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s