Jaga ikatan keluarga

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

DUA ‘khazanah berharga’ masih saya simpan sebagai mengingatkan diri ini tentang warna-warni kehidupan silam – mesin jahit buruk Singer peninggalan arwah nenek dan basikal usang yang entah mengapa madgadnya telah saya cat kuning cair lebih 20 tahun lalu.

Dua barangan ini tidak termasuk beberapa lagi barangan lain yang saya simpan dalam peti lusuh dan berhasrat berkongsi ‘cerita’ setiap yang dimuatkan dalam peti itu dengan anak cucu.

Antara yang disimpan termasuklah buku rekod sekolah rendah dan menengah yang isinya boleh membuat siapa saja yang membacanya, tertawa dan ‘tertawan’. Heh!

‘Barangan purba’ lain yang disimpan ialah surat gaji pertama, foto zaman kanak-kanak masa menikmati hidup kampung di Jalan Damai, Kaki Bukit, kaset lagu-lagu yang menjadi kegilaan masa lalu dan beberapa jenis pen.

Barang-barang ini menggambarkan cebisan asam garam kehidupan pemiliknya.

Segala khazanah ini juga, secara tidak langsung, menggambarkan keperibadian kita.

Pen-pen yang saya beli lama dulu misalnya, jenama Parker dan Sheaffer, mengingatkan saya akan minat berkarya yang tertanam sejak kecil.

Surat gaji yang mencatatkan jumlah yang amat kecil ketika bekerja sebagai pencuci periuk di sebuah hotel di Changi Village yang telah dirobohkan tetapi kini tersergam sebuah hotel baru pula memberi pengertian bahawa pendidikan, kemahiran dan usaha, adalah ‘resipi’ terpenting untuk seseorang mengecap perjalanan hidup yang lebih baik, selain doa.

Berapa ramaikah yang suka bernostalgia atau sentimental dalam hal-hal sebegini?

Suka atau tidak, ada juga di kalangan kita lebih senang mengingati masa lampau bukan dengan cara menyimpan koleksi peribadi, tetapi dengan membiarkan keindahan perjalanan waktu terpahat di minda dan sanubari.

Bagi saya, simpanan peribadi memberi pengertian lebih besar – bahawa kita menyedari dan akui asal-usul dan tidak mudah lupa diri.

Memanglah, kalau diukur dari segi ‘harga’ barangan yang disimpan, nilainya dari sudut wang tidaklah seberapa. Namun ia cukup bererti.

Di zaman moden ini, dengan banyak kemudahan digerakkan jari, mengenang jerih payah zaman lalu akan membuat kita lebih matang dalam mengharungi pancaroba kehidupan untuk hari-hari mendatang.

Kata pujangga, tanpa semalam tiada hari ini.

Jadi, langkah Encik Angki Purbandono, 40 tahun, seorang artis dari Yogyakarta, Indonesia, yang mengabadikan kenangan lalu dengan cara mengimbas, atau menurut istilahnya skanografi, setiap rakaman perjalanan dan kemudian mempamerkannya, adalah baik.

Pendekatan kreatif beliau harus dipuji. Ia antara cara menarik.

Tetapi bagi yang tiada alat pengimbas, satu lagi cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan laman atau blog peribadi bagi menghimpunkan segala yang telah dirakam.

Ini telah pun dilakukan ramai sejak laman rangkaian sosial di Internet seperti Facebook dan Myspace tumbuh melata.

Satu perkara lagi yang saya rasa baik dilakukan ialah dengan menanam minat dalam diri anak-anak kita supaya mengenal pasti salasilah keluarga.

Ini boleh membantu generasi hari muka terus menghargai ikatan kekeluargaan, mengenal siapa saudara-mara mereka.

Sesetengah warga muda kita telah pun memulakan pendekatan ini menerusi laman rangkaian sosial, dan usaha ini mesti terus dijayakan.

Kita tidak mahu generasi muda kita, kerana kesibukan memenuhi tuntutan dunia moden, tidak kenal, apalagi mempedulikan saudara sendiri, hingga menjadi bagai jempuk kesiangan hari. Diharap jangan sampai ini terjadi.

Mati hidup bangsa di tangan kita.

Suara Adam | Ekstra
Berita Harian
31 Mac 2011, Khamis
26 Rabiulakhir 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s