Usah terpukul dek kehilangan besar

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEKITAR pertengahan tahun lalu, seorang pemimpin kanan negara telah melahirkan keprihatinannya akan pengaliran bakat Melayu/Islam Singapura ke luar negara.

Baru-baru ini, semasa duduk bersembang dengan beberapa rakan sambil menikmati teh ‘gajah’ (teh ‘tarik’ dalam cawan yang besar) dengan cucur badak, keprihatinan serupa kami kongsi.

Anak watan berbakat memang penting dalam mendukung aspirasi masyarakatnya dalam mengharungi cabaran dan penakatan hari muka.

Akhbar ini pernah mendedahkan pada 2006, lebih 4,800 warga Melayu Singapura bermastautin di New Zealand dan pada November 2009, sebuah lagi akhbar setempat melaporkan terdapat sekitar 1,200 orang Melayu Singapura yang diam di Melbourne, Australia.

Memang tidak salah orang kita menyerantau demi menikmati ‘hujan emas’ di negara orang.

Persoalannya: adakah penghijrahan mereka ini lebih disebabkan tarikan ’emas’ di sesebuah negara itu atau mereka membawa diri dek sikap kita sendiri yang kurang peduli?

Fenomena ini perlu dikaji.

Yang pasti, ramai karyawan Melayu kita kini ‘tergamak’ meninggalkan Singapura dan sedia agar tidak berpatah balik lagi.

Pemerintah dan pemimpin politik Melayu perlu memberikan perhatian serius dan punya iltizam mengatasinya demi mengelakkan republik ini ketandusan modal insan watan yang mahir dan berbakat.

Akhirnya, negara titik merah di Khatulistiwa ini akan sentiasa bergantung pada kemasukan bakat asing.

Pemerintah mengakui akan suara rakyat yang kurang enak terhadap kebanjiran mereka di sini.

Antara punca anggota masyarakat kita sedia berhijrah ialah kegagalan mendapatkan bantuan kewangan baik daripada agensi pemerintah mahupun badan Melayu/Islam setempat bagi melanjutkan pengajian seberang laut.

Ada pula berhijrah kerana tekanan hidup di sini, setelah gagal mendapat sokongan atau bantuan yang diharapkan atau tidak tahan lagi dibingitkan hiruk-pikuk kota.

Sesetengahnya sanggup meredah badai dengan sehelai sepinggang kerana negara yang ingin dituju itu meyakini kemampuan dan mengalu-alukan kemahiran, bakat dan ilmu yang ada pada mereka.

Tiga rakan saya itu kesemuanya mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dua universiti terulung dunia: Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di Britain. Mereka juga akan bekerja dan mungkin terus tinggal di luar negara.

Seorang kawan akan tamat pengajian PhD sebelum Mei tahun depan sedang beliau meneliti peluang pekerjaan di Institut Kaji Cuaca Diraja, Belanda; Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat; Universiti Geneva, Switzerland; dan Universiti Oxford.

Rakan kedua, yang bakal tamat pengajian PhD pada Oktober ini, pula besar kemungkinan akan ke Kuala Lumpur, jika tidak Amerika.

Rakan di Universiti Cambridge juga demikian, sedia bekerja di luar negara. Mengapa?

Ketiga-tiganya dikecewakan oleh kedinginan sikap badan dan institusi Melayu/Islam di sini, kecuali Lembaga Biasiswa Kenajngan Maulud (LBKM).

Seorang daripada mereka menceritakan:

“Saya tidak diberi sokongan kewangan daripada badan-badan Melayu/Islam meskipun sudah merayu bagi mendapatkan pinjaman tanpa bunga daripada Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) dan (Yayasan) Mendaki.

“Saya rasa mereka macam menolak beban itu antara sesama mereka dan terus diamkan diri hingga sekarang.”

Mahu tidak mahu, beliau perlu mendapatkan pinjaman bank sebanyak $18,000 yang mengenakan kadar faedah sebanyak $4,000. Bantuan keluarganya hanya $50,000.

Wang simpanannya sebanyak $30,000 – hasil biasiswa peringkat Sarjana dan upah sebagai pembantu akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS) serta geran pendidikan $4,000 daripada Yayasan Lee.

Bagi menampung biaya hidup dan keperluan universiti, beliau bekerja dengan gaji £640 ($1,325) setiap empat minggu, di samping melakukan beberapa pekerjaan lain.

Seorang lagi menceritakan hal serupa, dengan hanya mendapat tajaan LBKM sebanyak $2,500.

“Jumlah itu hanya cukup untuk keperluan sewa rumah dan makanan saya selama sebulan.

“Saya jual flat HDB bagi biaya pengajian. Bagi tahun terakhir pengajian (tahun ini) saya mendapat biaya daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur, yang membayar yuran tuisyen dan kos hidup saya,” katanya.

Meneliti apa yang diceritakan, hati ini bertanya: mana letaknya ihsan kita?

Setinggi manakah kesedaran kita mengenai kesan positif yang dapat mereka sumbangkan, dalam meningkatkan lagi aspirasi anak- anak Melayu kita untuk menjejakkan kaki di universiti tersohor dunia?

Rakan saya di Universiti Cambridge itu menghujahkan, jika golongan cendekiawan dan terpelajar Melayu kita meninggalkan tanah air – kerana berasa hampa dan tersisih – apakah akan jadi pada masyarakat Melayu di sini?

“Kita perlukan golongan pemikir dan karyawan yang boleh dicontohi masyarakat.

“Ilmu ialah kunci penting dalam membawa seseorang keluar daripada lingkaran kemiskinan. Dengan ilmu, masyarakat kita akan lebih berupaya dan berjaya,” katanya.

Saya ada seorang lagi rakan di Universiti Oxford yang senasib.

Hakikatnya, pelbagai faedah dapat kita raih hasil kecemerlangan anak Melayu kita dan ia bukan sekadar mengharumkan nama bangsa.

Natijahnya, sebagai masyarakat minoriti yang diam di negara yang sememangnya ketandusan sumber, setiap satu bakat yang dapat kita lahirkan amat berharga – untuk penakatan negara.

Daripada menteri hinggalah anggota parlimen Melayu, terakam gesaan agar masyarakat Melayu terus berusaha membina kejayaan daripada pencapaian yang telah dikecapi selama ini.

Jadi cukupkah peranan badan Melayu, terutamanya Mendaki, dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak Melayu?

Tercetus soalan ala 1970-an: apakah kita benar-benar daif? Padahal, sudah puluhan tahun jutaan dolar dikumpulkan daripada sumbangan pekerja Islam, tanah wakaf atau subsidi pemerintah.

Dilaporkan Mendaki telah menyalurkan lebih $15 juta daripada Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) yang diberikan pemerintah ke Dana Pembangunan Pendidikan (DPP).

Alangkah baiknya andai sebahagian kecil daripada jumlah itu dihulurkan sebagai biasiswa.

Jika tidak pun, jadikan ia pinjaman bebas faedah khas buat anak Melayu yang mengikuti pengajian pascasiswazah di universiti ternama.

Kini, tiga rakan saya itu agaknya semacam merajuk dan berpatah hati.

Entah berapa banyak lagi perlu membawa diri sebelum kita akhirnya berasa terpukul dek kehilangan yang besar.

Berita Harian
Komentar | Pandangan
Sabtu, 26 Februari 2011
23 Rabiulawal 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s