Fahami niat sebenar ketua FAS

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEHARI selepas akhbar ini melaporkan niat berani Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Encik Zainudin Nordin, membubarkan skuad bola sepak negara dan menggugurkan kesemua pemain nasional, saya menerima e-mel daripada seorang rakan, bekas wartawan sukan akhbar setempat.

“Saya fikir Zai melakukan perkara yang betul kerana saya punya 1,001 macam cerita seram menyentuh gelagat pemain-pemain kita yang ingin saya ceritakan kepada anda.

“Pasal merokok saja, pemain muda kita, termasuk di kalangan pemain dalam pasukan YOG (Sukan Olimpik Belia), pun merokok!” katanya.

Bukan tujuan saya membuka pekung atau aib para pemain di sini.

Namun, hakikatnya, ini bukan kali pertama masalah disiplin pemain-pemain bola sepak kebangsaan mendapat sorotan meluas.

Seperti kata seorang bekas pemain negara, kebanyakan pemain hari ini sering tidak mempedulikan peraturan, apalagi menghormati pihak pengurusan dan jurulatih.

“Jangan kata merokok, keluar bilik sembunyi-sembunyi pada sebelah malam tanpa pengetahuan jurulatih, tak jaga diet pemakanan, tak jaga taraf kecergasan, segala macam.

“Kenapa diorang jadi begini? Kerana fikir mereka ‘dah jadi bintang, jadi superstar, lupa dunia!’ kata bekas pemain itu secara terus terang yang memuji keputusan Encik Zainudin itu.

Ramai mengakui secara terbuka, sikap primadona sesetengah pemain ini telah menyebabkan prestasi pasukan bola sepak negara jadi cacamarba sepanjang tahun lalu.

Bak kata rakan setugas:

“Memalukan!”

Sebelum ini, jurulatih nasional, Raddy Avramovic, telah beberapa kali melayangkan ‘kad kuning’ ke atas para pemain yang tidak berdisiplin.

Sayangnya, amaran jurulatih tidak dipedulikan.

Keingkaran para pemain membawa padah dengan kesemua mereka kini dilayangkan ‘kad merah’ oleh Presiden FAS.

Bagi saya, apa yang dilakukan Encik Zainudin menyerlahkan lagi ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan yang ada padanya.

Apa yang harus kita fahami ialah, sesuatu kepimpinan itu terletak pada sasaran matlamat yang digariskan si pemimpin dan keupayaan beliau dalam membawa khalayaknya mencapai matlamat tersebut.

Matlamat yang dicapai hasil buah fikiran yang bernas dan berwawasan, dengan kesungguhan dan pelaksanaan kerja yang tersusun lagi teliti, ditambah dengan kemampuan membuat keputusan yang bijak lagi berani tetapi adil, dan meningkatkan dinamisme organisasi yang diterajui akan menonjolkan kewibawaan seseorang pemimpin itu.

Dalam hal ini, tanggungjawab yang dipikul Encik Zainudin sebagai pemimpin adalah untuk memperbetulkan keadaan, setelah mengetahui skuad bola sepak negara sekarang amat kacau.

Sekiranya ada berpendapat bahawa tindakan Encik Zainudin lebih bersifat melulu dalam membubarkan skuad negara, itu silap.

Beliau telah menyatakan bahawa ia diambil setelah mengkaji dan memikirkan semasak-masaknya.

“Saya membuat keputusan ini setelah melakukan penelitian mendalam, melihat kepada potensi pasukan sekarang ini untuk masa depan.

“Setelah memantau persembahan mereka sepanjang tahun lalu, terutamanya prestasi semasa Kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), saya rasa sudah tiba masa bagi perubahan dilakukan dan membentuk semula skuad nasional,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

Natijahnya, rakyat sedia maklum, sesetengah pemain punya masalah disiplin sedang sebahagian lagi telah pun sampai ke kemuncak prestasi mereka dan mutu permainan mereka kini menurun.

Sebagai pemimpin yang berwawasan dan meletakkan kecemerlangan sebagai asas kejayaan, tentu sahaja Encik Zainudin tidak mahu melihat skuad bola sepak negara berada dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu’.

Dengan menggugurkan kesemua pemain, beliau memberi peluang kepada lebih ramai pemain – yang lebih muda dan berbakat – menunjukkan ‘taring’ dan merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Apa yang harus dititikberatkan ialah disiplin para pemain sebaik dipilih mewakili negara – sama ada untuk skuad peringkat umur atau skuad nasional – mesti sentiasa terkawal dan setiap pemain yang bakal dipilih kelak punya semangat kental dan daya juang yang tinggi untuk mengharumkan nama negara.

Laksanakan segera syarat ‘tidak merokok’ sebagai salah satu syarat asas pemilihan pemain.

Pastikan setiap mereka patuh pada kriteria ketat pemakanan dan tahap kecergasan yang perlu ada.

Satu lagi saranan saya: Adakan semacam bon jaminan, yang nilainya tidak kurang daripada $5,000 dan ditandatangani ibu bapa atau si pemain itu sendiri.

Jika seseorang pemain kemudian didapati melanggar peraturan jurulatih dan pihak pengurusan atau disahkan tidak berdisiplin di dalam mahupun di luar padang, pemain itu perlu membayar $5,000 kepada FAS atas segala usaha yang dilakukan dalam membentuknya menjadi pemain bola sepak berjaya.

FAS perlu mengadakan semacam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk setiap pemain skuad negara, baik di peringkat umur mahupun senior.

Setiap pemain yang terpilih perlu sedar, bermain bola sepak secara profesional bukan lagi main-main tetapi satu tanggungjawab yang harus dipikul dengan serius.

Memandang ke depan, FAS juga perlu mengembangkan bakat-bakat jurulatih tempatan.

Sebaik-baiknya, FAS nanti melantik jurulatih tempatan seperti Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy, P.N. Sivaji, Vincent Subramaniam, Tay Peng Kee, Mike Wong atau Kadir Yahaya yang memiliki diploma profesional Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) bagi menggantikan Raddy sebaik tamat kontraknya kelak.

Kita kagum dengan kebolehan Alex Ferguson dalam memimpin Manchester United, Jose Mourinho dalam memimpin Chelsea dan Real Madrid serta kecemerlangan Kenny Dalglish dalam memimpin Liverpool.

Tidakkah kita ingin melahirkan bakat tempatan sebaik mereka?

Inilah yang harus kita dambakan.

Komentar | Berita Harian
Sabtu, 15 Januari 2011
10 Safar 1432H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s