Tarik keponakan bermutu tambah Melayu di sini

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PADA Rapat Hari Kebangsaan (RHK) lewat bulan lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mendedahkan betapa negara ini masih sukar memikat bakat Melayu dari seberang.

Padahal, hujahnya, pemerintah mengalu-alukan kemasukan bakat asing ke republik ini dalam rangka menambah jumlah penduduk.

Perangkaan rasmi menunjukkan golongan bakat asing terbesar di pulau ini datang dari China dan India.

Ketidakupayaan kita menarik pekerja dan bakat Melayu dari lingkungan Nusantara ini, khususnya dari Indonesia dan Malaysia untuk bekerja dan bermastautin di sini, dalam diam menimbulkan semacam rasa resah dalam kalangan masyarakat Melayu kita.

Pernah ada anggapan di laman sembang siber bahawa pemerintah semacam bersikap kurang serius dalam mengimbangi keadaan nisbah kaum yang genjot iaitu kadar Melayu kian merosot sehingga kini sekitar 13 peratus – kurang 3 peratus daripada kadar yang ‘selesa’. Kadar Melayu terjejas oleh kadar kelahiran yang rendah dan ‘kenaikan’ kadar kaum lain terutama menerusi imigrasi.

Jadi, kenyataan Encik Lee dalam rapat bulan lalu dapat serba sedikit melegakan rasa curiga kalangan masyarakat Melayu mengenai hasrat dan usaha pemerintah.

Jika pemerintah sukar mencapainya, apakah pula ikhtiar masyarakat Melayu?

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam sesi dialog pasca RHK baru-baru ini, menyarankan supaya masyarakat Melayu meluaskan pendekatan mereka – menerima orang bukan Melayu asalkan beragama Islam.

Saranannya tampak baik. Tetapi apakah kesan jangka panjang dari segi kemantapan sosiobudaya dan jati diri masyarakat Melayu?

Adakah bakat asing Islam tadi boleh ‘memelayukan’ diri mereka sebagaimana sudah berlaku pada kaum Arab atau India lama sebelum ini? Hal ini menjadi tanda tanya besar.

Hakikatnya, ‘ikatan’ Melayu Singapura dengan induk Melayu rantau ini masih segar. Setidak-tidaknya masih terdapat badan suku kaum seperti Persatuan Minangkabau Singapura, Persatuan Jawa Al-Masakin Singapura dan Persatuan Bawean Singapura yang masih ‘balik ke tanah leluhur’.

Malah masih terdapat tokoh asal Bugis, Aceh dan Banjar yang berpengaruh dan masih ada ikatan dengan kampung halaman datuk nenek mereka.

Tentulah wakil atau individu berpengaruh daripada suku kaum ini bersedia membantu pemerintah dalam menarik tenaga kerja mahir atau pelajarpelajar bijak dari tanah leluhur mereka untuk dibawa ke mari. Mungkin ada dalam kalangan ‘keponakan’ mereka sekarang yang berjaya atau sedang mengukir nama.

Terdapat beberapa lagi suku kaum Melayu seperti Campa di Kemboja, Patani di selatan Thailand, dan selatan Filipina yang boleh menjadi wadah untuk menarik bakat terbaik mereka.

Keseluruhannya terdapat 300 juta ‘rumpun Melayu’ di rantau ini dan mungkin puluhan juta yang tersebar dari Surinam, Afrika Selatan, Malagasy, Sri Lanka atau di sejumlah negara Barat. Tebaran ini membentuk Diaspora Melayu.

Jadi, terpulanglah pada kegigihan kita menarik tenaga kerja mahir atau golongan profesional Melayu dari ceruk dunia untuk melangkah keluar dan berhijrah ke Singapura.

Untuk itu, penerangan jelas perlu diberikan – bahawa pemerintah Singapura amat mengalu-alukan golongan terpelajar dan pekerja berkemahiran tinggi dari serata dunia – yang dapat memenuhi kekosongan yang diperlukan dalam pelbagai sektor di negara ini.

Dengan dasar meritokrasi yang didukungnya, tidak ada halangan untuk sesiapa yang cemerlang dan gigih melangkah maju dan mengecapi kejayaan di sini.

Selanjut, kita boleh menawarkan biasiswa dan penginapan kepada pelajar terbaik daripada rumpun Melayu untuk meneruskan pengajian mereka di sini.

Apa jua dasar dan cara yang berjaya untuk menarik bakat dari China dan India wajar dimanfaatkan dalam konteks Melayu.

Misalnya, pemerintah pernah memberikan kemudahan yang dipanggil ‘study mama’ yang diberikan kepada pelajar cemerlang dari China dan negara-negara lain. Menerusi skim ini, ibu si pelajar dibenarkan menemani anak mereka selama tempoh pendidikan di sekolah rendah dan menengah di sini.

Pihak madrasah juga perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti pelajar cemerlang daripada madrasah Nusantara atau di kawasan petempatan Melayu, Makkah – menarik mereka untuk meneruskan pengajian di sini menerusi tawaran biasiswa.

Sebabnya, masyarakat Melayu memerlukan bukan saja bakat untuk keperluan profesional malah rohani – agar memantapkan dinamismenya.

Atas semua pertimbangan tadi, perlu ada strategi ampuh. Pertama-tama, para pemimpin kita perlu punyai sifat si jauhari yang mengenal manikam.

Pokoknya, masyarakat Melayu Singapura perlu membantu pemimpinnya dan pemerintah dalam mengenal pasti bakat-bakat terbaik yang dapat dibawa ke mari untuk terus membina ketahanan Singapura. Inilah gotongroyong namanya.

Apa yang perlu kita insafi ialah: watan ini tandus sumber alam kecuali modal insannya, maka tariklah bakat Melayunya yang mestilah jempolan. Dengan ini kita mengatasi ‘kekurangan peratusan Melayu’ demi kemaslahatan Singapura dalam jangka panjang.

Berita Harian | Komentar
Isnin, 13 September 2010
4 Syawal 1431H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s