Usah pinggirkan ‘kelompok di luar lingkaran biasa’

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, kelmarin melahirkan rasa malu atas kebobrokan nilai sesetengah anggota masyarakat Melayu, hingga terjadinya kes-kes pembunuhan ke atas kanak-kanak melibatkan anggota keluarga mereka. Beliau melahirkan keprihatinan cukup mendalam terhadap ‘pekung’ masyarakat Melayu yang kian merebak. Namun, sejauh mana tingkat kesedaran masyarakat dan respons mereka dalam menangani isu yang dinyatakan Dr Yaacob sebagai mampu mewujudkan satu kelas bawahan dalam lingkungan masyarakat Melayu sendiri? Ikuti wawancara wartawan CHAIRUL FAHMY HUSSAINI bersama Dr Yaacob.

Soalan (S): Kita melihat kes pembunuhan kedua melibatkan kanak-kanak. Sebelum ini berlaku pembunuhan ke atas Nonoi, budak perempuan berusia dua tahun, pada Mac 2006. Bulan lepas, ‘Edy’, seorang budak lelaki berusia enam tahun pula dibunuh. Kedua-dua kes ini melibatkan individu yang dikenali keluarga. Apa pandangan anda tentang keadaan yang berlaku ini?

Jawapan (J): Ia berpunca daripada tangan-tangan orang yang anda kenali.

Jika si mangsa diculik oleh seseorang yang tidak dikenali bagi apa tujuan pun, mungkin saya boleh memahami maksudnya (meski ia suatu perkara yang tidak mudah diterima) tetapi ini dilakukan oleh seorang penjaga, seseorang yang anda percayai.

Kami berasa sedih bila ini berlaku dan apabila saya membaca akhbar saya berasa malu.

Saya sedang menunaikan haji (di Makkah) apabila Peer (M Akbur) mengirim pesanan ringkas (SMS) kepada saya (memaklumkan tentang pembunuhan itu), dan saya berasa, ‘Masya-Allah, apa yang salah (yang dilakukan mangsa?)’

(Encik Peer M Akbur merupakan Setiausaha Akhbar Dr Yaacob)

Jadi secara asasnya, ada sesuatu yang tak betul berlaku dalam kelompok sebahagian masyarakat kita hinggakan mereka sanggup meragut nyawa anak mereka sendiri hanya kerana disebabkan beberapa batang rokok?

Saya ingin beritahu pada anda secara terus terang, ini suatu yang memalukan!

Apa yang berlaku ini harus diselidiki secara mendalam agar kita dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam kelompok ini.

Saya malu, awak tahu tak? Kesemuanya melibatkan keluarga Melayu!

Awak lihat, perinciannya adalah klasik – kahwin muda, dah tu bercerai, tiada kawalan ibu bapa, melibatkan diri dengan kumpulan haram. Kami tahu semua ini.

Sekarang kita mula melihat kesan akibat daripada semua ini. Anak-anak kecil terkorban kerana mereka. Jika ini tidak menyentakkan masyarakat kita, saya tidak tahu apa lagi.

S: Apakah kita kini menyaksikan satu keruntuhan akhlak?

J: Saya tidak mahu memperkatakan tentang akhlak semata-mata kerana saya fikir masalah ini lebih mencerut, ia suatu fenomena sosiologi yang memerlukan para sarjana menyelidikinya.

Pada pendapat saya, kelompok ini terdiri daripada orang-orang yang tidak hidup dalam lingkaran kehidupan kita.

Mereka pilih untuk berada di luar lingkaran biasa dan mempunyai budaya kehidupan mereka sendiri, di mana mereka tinggal serumah dengan pasangan tanpa berkahwin dan menganggapnya sebagai satu perkara biasa.

Mereka punya teman lelaki yang tinggal serumah – ini bukan budaya orang Melayu, ini adalah budaya kuning (subculture).

Yang menakutkan ialah sama ada budaya ini mulai berakar umbi dalam kelompok mereka. Jika demikianlah, kita menghadapi bahaya.

Jika ia berakar umbi, mereka ini akan menjadi seperti golongan kulit hitam Amerika atau golongan Hispanik Amerika.

Golongan Hispanik Amerika seketika dulu, kebanyakan anak gadis mereka mengandung anak luar nikah kerana mahu keluar daripada lingkaran kemiskinan dan ini diterima secara amnya.

Oleh kerana anda telah mengandung, pemerintah akan menjaga kebajikan anda.

Rasa saya inilah yang sebenarnya sedang berlaku dan ia memerlukan satu kajian mendalam, dan ini sedang kami lakukan secara berasingan di (Yayasan) Mendaki tetapi saya tidak mahu berpura-pura (dengan menyatakan) mereka boleh menyelesaikan masalah ini. Jika mereka boleh kemukakan sesuatu yang membina, ia tentu sekali berguna.

Seperti saya nyatakan dalam ucapan saya (kelmarin), ini merupakan satu proses berterusan. Ia tidak boleh berakhir pada tahun depan.

Ia harus terus bersambung dan kita perlu bimbang mengenai masalah ini.

Saya beritahu anda kebimbangan saya ialah kelihatannya masalah ini tidak menuntut perhatian segera masyarakat Melayu kita.

S: Mengapakah masyarakat kita bersikap demikian?

J: Saya tidak tahu. Mungkin disebabkan kemewahan. Bagi kebanyakan keluarga Melayu, mereka berada dalam keadaan baik.

Mereka mungkin mengetepikan kelompok ini kerana berasakan kelompok ini tidak ada kena-mengena dengan kehidupan mereka. Saya fikir keadaan ini adalah sesuatu yang menakutkan.

Sebab itu saya menyentuh soal ‘jurang darjat’ dalam ucapan saya semasa sambutan Hari Raya (Aidilfitri) lalu.

(Dalam ucapannya sempena sambutan Lebaran bersama sekitar 400 pemimpin masyarakat dan tetamu lain di Istana pada 2 Oktober lalu, Dr Yaacob berkata, masyarakat Melayu/Islam berpotensi menghadapi jurang darjat dalam lingkungan masyarakatnya sendiri jika golongan di atas tidak bersedia mendampingi golongan di bawah).

Golongan elita Melayu tidak boleh bersikap lepas tangan. Jika hal itu berlaku kita akan menghadapi bahaya.

Ini kerana mereka tidak meluangkan masa, tenaga dan sumber-sumber yang ada pada mereka untuk menangani masalah yang ada.

Jadi, saya mengharapkan golongan ini mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka, untuk sama-sama memikirkan tentang masalah-masalah yang dihadapi masyarakat, untuk menulis tentangnya dan teroka huraian-huraiannya.

Jika ini tidak mereka lakukan, golongan kelas bawahan akan wujud dalam lingkungan masyarakat kita dan sebaik mereka wujud, masyarakat bangsa lain akan memberitahu anda, anda tidak akan dapat menghentikan kewujudan mereka.

S: Melihat pada keadaan sekarang, berapa pantaskah golongan bawahan ini akan wujud?

J: Saya tidak mahu mereka wujud. Kita perlu berasa bimbang akan masalah ini.

Saya fikir setiap daripada kita mesti memikirkannya dan saya percaya ia boleh dihuraikan jika kita semua bersatu hati dan bertekad untuk menyelesaikannya.

Berita Harian | Dalam Negeri
7 Disember 2009
20 Zulhijjah 1430H
Isnin

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s