Tahap kebobrokan masyarakat Melayu membimbangkan

Amaran Dr Yaacob: Keadaan lebih sukar ditangani pada masa depan jika masalah keluarga pincang yang ada sekarang tidak diatasi

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyifatkan kes pembunuhan kejam melibatkan seorang budak lelaki berusia enam tahun, Allahyarham Muhammad Nor Rashidy Rahmat, atau ‘Edy’ baru-baru ini, sebagai ‘satu pengisytiharan memalukan’ tentang tahap kebobrokan masyarakat Melayu di sini.

Beliau memberi amaran, jika masalah keluarga pincang seumpama itu tidak ditangani, akan wujud nanti satu kelas bawahan yang kepincangan mereka lebih sukar ditangani pada masa depan.

Melahirkan rasa sedihnya atas pembunuhan itu semasa berucap di majlis pelancaran Kumpulan Kerja Forum Pemimpin Masyarakat, yang melibatkan penyertaan 80 karyawan muda berusia antara 18 dengan 35 tahun, di Hotel Crowne Plaza, dekat Lapangan Terbang Changi pagi semalam (5 Disember), Dr Yaacob berkata:

“Saya berasa sedih kerana bukan saja keluarga terbabit adalah penduduk di kawasan undi saya, bahkan bila mengenangkan sejak kira-kira setahun lalu, coraknya adalah (serupa); seorang bapa muda yang berkahwin pada usia muda, bercerai dan punya anak yang (terpaksa) menanggung bebanan akibat kekurangan si bapa.

“Ia sesuatu yang memalukan bagi masyarakat, apatah lagi bila kadar kes seperti ini, sebagaimana yang boleh anda ingat, antara empat hingga lima kes, dan tentu sekali kes paling popular melibatkan (pembunuhan) Nonoi di Pipit Road.

“Jadi, ini adalah tanda-tanda adanya masalah yang lebih mencerut.

“Jika kita tidak tanganinya, kita akan hadapi kewujudan satu kelas bawahan yang masalahnya lebih sukar untuk kita tangani kelak,” ujar Dr Yaacob yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air serta Anggota Parlimen bagi GRC Jalan Besar.

Kes pembunuhan Edy terbongkar apabila berita tentang kehilangannya dari rumah sejak 18 November lalu disiarkan Berita Harian pada 24 November lalu.

Sehari kemudian, mayatnya yang sudah reput ditemui dalam sebuah beg troli di tebing Sungai Kallang.

Seorang lelaki, Mohammad Johan Rashid, 31 tahun, kini sedang menanti perbicaraan setelah dituduh membunuh Edy pada 20 November lalu antara 2 petang dengan 4 petang di Blok 151, Mei Ling Street, dekat Queenstown.

Kes serupa berlaku lebih tiga tahun lalu bila seorang budak perempuan berusia dua tahun, Nur Asyura Mohamed Fauzi atau Nonoi, dibunuh bapa tirinya, Mohamed Ali Johari, pada Mac 2006.

Mohamed Ali, 31 tahun, telah jalani hukuman mati pada Disember tahun lalu.

Ditemui Berita Harian, Dr Yaacob dengan secara terbuka melahirkan perasaannya.

“Saya malu, awak tahu tak? Kesemuanya melibatkan keluarga Melayu. Awak lihat, perinciannya adalah klasik – kahwin muda, dah tu bercerai, tiada kawalan ibu bapa, melibatkan diri dengan kumpulan haram. Kami tahu semua ini.

“Sekarang kita mulai melihat kesan akibat daripada semua ini. Anak-anak kecil terkorban kerana mereka. Jika ini tidak menyentakkan masyarakat kita, saya tidak tahu apa lagi,” katanya dengan nada penuh bergetar.

Wawancara penuh Dr Yaacob berhubung isu ini akan disiarkan esok.

Sementara itu, Dr Yaacob dalam ucapannya, turut mencabar golongan muda yang hadir semalam untuk sama-sama memikirkan akan huraian pada satu lagi masalah yang telah lama berakar umbi – mengatasi kelemahan murid-murid Melayu dalam mata pelajaran Matematik.

“Kita masih terus menghadapi masalah kegagalan murid-murid untuk lulus dalam Matematik bagi PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah).

“Saya bimbang akan hal ini kerana ia berlaku semasa saya bertugas sebagai seorang Menteri. Sejak tiga tahun lalu, kadar kelulusan Matematik PSLE kita telah merosot. Ia kini berada di paras 56 peratus berbanding purata nasional sebanyak 90 peratus. Jurang terlalu jauh,’ kata beliau sambil menekankan juga persediaan yang perlu ada dalam diri masyarakat Melayu untuk menghadapi persaingan akibat globalisasi sekarang ini.

“Sebelum ini pada tahun-tahun 70-an, hanya di universiti sahaja kita akan temui pelajar asing. Kini anak anda dan anak saya menemui mereka di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Jadi, ini adalah hakikat yang perlu kita hadapi hari ini. Jika anda tidak mempersiapkan masyarakat menghadapi realiti ini, saya tak pasti sama ada kita mampu menangani cabaran-cabaran yang saya sebutkan awal tadi,” katanya pada hadirin.

Berita Minggu | Dalam Negeri
6 Disember 2009
19 Zulhijjah 1430H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s