Sedekad pencapaian ummah abad 21

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

HAMPIR satu darsawarsa sudah masyarakat Islam jagat merentasi gelombang dan cabaran alaf baru (2000-2009).

Terdapat pendapat yang bercampur – di satu pihak, Dunia Muslim dikatakan kiah teguh tetapi di sisi lain, kian berkecamuk.

Dunia Muslim kian teguh kerana menampilkan para ilmuan bertaraf jagat. Misalnya, pakar ekonomi Bangladesh dan pengasas Bank Grameen negara itu, Profesor Muhammad Yunus (lahir 1940), meraih Hadiah Nobel (Keamanan) pada 2006 – karyawan Islam kelapan menerima Hadiah Nobel sejauh ini.

Penganugerahan itu mengiktiraf kejayaan beliau melaksanakan konsep pinjaman kredit mikro (pemberian hutang secara kecil-kecilan) bagi membantu jutaan rakyat miskin negaranya memulakan perniagaan, sekali gus membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemelaratan.

Menurut mereka yang optimis, pengiktirafan dunia ini teramat penting kerana 83 peratus daripada 153 juta penduduk Bangladesh adalah Muslim dengan majoritinya hidup miskin.

Dari sudut lebih luas, anugerah yang diterima Profesor Muhammad mencerminkan kesediaan dan kemampuan masyarakat Islam untuk bangkit dari kelesuan ekonomi.

Secara tidak langsung, ia juga menandakan Dunia Muslim sekarang bersedia mengharungi dekad mendatang dengan langkah lebih teguh dan kemas, apatah lagi sistem kewangan Islam sendiri diterima Barat.

Hal ini turut disahkan sebuah laporan Dinar Standard pada Oktober lalu yang menyiarkan dapatan Sekolah Perniagaan Harvard, yang menunjukkan banyak negara Islam terutamanya di rantau Timur Tengah mengamalkan pembangunan ekonomi secara tersusun. Malah, kunjungan kerap Berita Harian ke rantau Timur Tengah sejak lima enam tahun lalu meraih dapatan serupa.

Contohnya, Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah menjalani satu perubahan drastik – dari kawasan lesu kini menjadi sebuah metropolis dengan taraf hidup yang tinggi. Sayangnya, Dubai kini dilanda krisis hutang.

Bahrain pula semakin disegani dunia sebagai antara pusat kewangan dan perbankan paling teguh di Asia Barat.

Qatar pula gigih membentuk identitinya sebagai Hab Pendidikan antarabangsa.

Arab Saudi, Iran dan Kuwait, utuh dalam mengekalkan kedudukan mereka sebagai kuasa minyak, dan gas dunia.

Jordan pula mula mencipta nama dalam bidang kosmetik, pakaian, pelancongan dan farmaseutikal.

Oman pula selain membangunkan perusahaan berat (heavy industry) dan perusahaan pemprosesan makanan, turut mewujudkan Taman Teknologi Maklumat (IT Park) yang menarik syarikat-syarikat IT utama bagi penghasilan perisian IT bermutu tinggi.

Malah, Palestin yang sejak berpuluh tahun bersengketa dengan Israel turut sama berusaha meningkatkan kemampuan ekonominya menerusi perdagangan minyak zaitun dan pelancongan.

Di rantau sebelah sini pula, Malaysia gigih menonjolkan kedudukannya sebagai negara majoriti Muslim yang gigih mengatasi kemiskinan dan menjana teknologi canggih di kawasan Multimedia Super Corridor (MSC), yang sejak 2006 telah meliputi kawasan seluas Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang di samping menjadikan minyak kelapa sawit dan pengeluaran elektronik sebagai antara dagangan utamanya.

Indonesia pula sekarang diakui dunia sebagai mangkin atau ‘peniup semangat’ demokrasi. Negara berpenduduk Muslim terbesar di dunia itu menjalankan pilihan raya umum dan pilihan raya presiden secara aman pada April dan Julai lalu membuktikan masyarakat Islam sememangnya matang dalam berpolitik, mendakapi demokrasi.

Namun daripada 1.57 bilion Muslim menurut Laporan Forum Pew bertajuk ‘Agama dan Kehidupan Awam’ (Oktober lalu), dipercayai seperlima masih buta huruf atau miskin tegar dengan suasana rasuah dan silap tadbir yang ketara. Hal ini terpapar dalam dapatan Bank Dunia dan diakui sendiri oleh Pertubuhan Muktamar Islam (OIC).

Dalam pada itu, dunia semakin dicengkam Islamofobia.

Sedang pelbagai usaha dilakukan bagi merapatkan jurang hubungan dan persefahaman antara Dunia Muslim dan Dunia Barat, menyusuli serangan ganas 11 September 2001 (9/11) ke atas Amerika Syarikat yang mengorbankan hampir 3,000 orang, rasa takut dan bimbang terhadap Islam dan Muslim masih tebal.

Bak pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Dek perbuatan sekumpulan 19 pengganas beragama Islam yang merampas pesawat dan kemudian menghempaskannya, habis seluruh Dunia Muslim terpalit kerana mereka.

Amalan diskriminasi dan peminggiran ke atas masyarakat Islam yang tidak putus-putus dilaporkan media massa sehingga kini, kebanyakannya merupakan tindakbalas warga bukan Islam menyusuli serangan 9/11.

Terbaru, pengundi Switzerland sebulat suara meluluskan perlembagaan mengharam pembinaan menara masjid di negara itu kerana mereka bimbang akan berkembangnya penduduk Islam di benua itu.

Ogos lalu, Kementerian Ehwal Luar Iran mengeluarkan laporan menyentuh cabaran hak asasi yang dihadapi masyarakat Islam yang menetap di negara-negara Barat.

Antara lain, kementerian itu menyatakan tentang meningkatnya propaganda anti-Islam dan rasa tidak hormat media Barat terhadap kemuliaan agama Islam, selain pelaksanaan dasar-dasar imigresen lebih ketat terhadap Muslim oleh negara-negara Barat, dengan menjadikan ‘usaha membanteras pengganasan dan ekstremisme’ sebagai alasan utama.

Tetapi hakikatnya, Islamofobia berpunca dari sikap sesetengah Muslim, yang melampau dan taksub dalam menegakkan ‘hak’ dan ‘kebenaran’ Islam, sehingga menenggelamkan seri, rahmah dan cahaya kesucian agama itu sendiri.

Ini terbukti dengan saban hari kita disajikan berita tentang pelampauan dalam beragama, dilakukan mereka yang mengaku teguh mendukung kemurniaan Islam.

Lihat sahaja serangan ganas di Mumbai genap setahun lalu, atau persengketaan berdarah antara golongan Sunni-Syi’ah di Iraq, ataupun penyusupan Taleban ke dalam Pakistan dan kemusnahan yang dilakukan kumpulan militan itu ke atas Afghanistan hingga melontar rakyatnya ke kancah kedaifan.

Meneliti keadaan ini, satu soalan perlu dihuraikan, apakah yang sebaiknya dilakukan Dunia Muslim bagi membantu merubah situasi ini, selain berdialog, meningkatkan kemampuan ekonomi, taraf pendidikan dan intelektualisme Muslim?

Jawapannya: Kembalikan kesedaran masyarakat kepada kesederhanaan dalam beragama dan rasa cinta sesama insan menerusi peningkatan ilmu dan kepemerintahan baik.

Namun kesederhanaan tidak bermakna mengetepikan ataupun melunturkan semangat Muslim dalam mencapai kecemerlangan dan tingkat kesarjanaan yang tinggi dalam hidup.

Profesor Dr Idris Zakaria, dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam makalahnya bertajuk ‘Hubungan kebahagiaan dan kesederhanaan hidup’ menghujahkan kesederhanaan itu harus bersandarkan “pada amalan kehidupan yang bersih dari perlakuan dan sifat-sifat buruk, keji, hina dan lain-lain yang negatif”.

Ini seharusnya dijadikan landasan kita dalam membersihkan imej Islam yang tercalar.

Ertinya, kita perlu menitikberatkan kesusilaan dalam hubungan manusiawi.

Ini teramat penting dalam usaha kita membangunkan semula peradaban dan kemurnian Islam sebagai sebuah agama luhur.

Berita Harian | Komentar
7 Disember 2009
20 Zulhijjah 1430H
Isnin

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s