Mendaki, NUS kaji kepincangan Melayu

Maliki: Bertujuan memahami bila, bagaimana berlaku dan cara cegah daripada terus berulang

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

 YAYASAN Mendaki dan Universiti Nasional Singapura (NUS) sedang bergabung tenaga untuk menjalankan kajian terperinci bagi memahami dengan lebih baik segala faktor yang menjadi penyebab permasalahan keluarga pincang yang membelenggu masyarakat Melayu/Islam sejak sekian lama.

Bagi memastikan kajian tersebut menggambarkan duduk perkara sebenar masalah yang dihadapi, Mendaki dan NUS menjalin kerjasama dengan Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis) dan Persatuan Muhammadiyah.

Menerusi kerjasama itu, para pengkaji akan menjalankan pengumpulan data dengan mewawancara mereka yang berada di rumahrumah tumpangan kendalian Pertapis dan Rumah Kebajikan Muhammadiyah kerana terlibat dalam kes kenakalan remaja.

Inisiatif itu didedahkan Setiausaha Parlimen (Pembangunan Negara), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa ditemui Berita Harian di pelancaran Kumpulan Kerja Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) kelmarin.

‘Kami akan meneliti kisah kehidupan generasi muda ini, daripada peringkat generasi sebelum mereka lagi, bagi memahami kepincangan yang berlaku.

‘Menerusinya kami berharap dapat mengetahui bila dan bagaimana kepincangan itu berlaku dan bagaimana kita dapat mencegahnya daripada terus berulang,’ ujar beliau.

Menurut beliau, tujuan projek itu ialah memahami bagaimana boleh berlaku penerusan kepincangan daripada satu generasi keluarga Melayu ke generasi selanjutnya.

‘Apabila kami membentangkan pelan bagi memperkasa keluarga- keluarga Melayu/Islam, kami mendapati lebih 7,000 kes keluarga Melayu menerima bantuan, dalam satu cara atau lain.

‘Tahap kerumitan (masalah yang dihadapi mereka) berbagai-bagai. Apa yang kami lihat, golongan muda juga menghadapi masalah.

‘Apa yang kami sedari ialah golongan muda ini juga datang daripada generasi yang sebelumnya juga pincang.

‘Jadi apa yang penting sekarang ialah memahami peralihan kepincangan ini,’ ujar Dr Maliki, yang juga Pengerusi Bersama Rangkaian Pembangunan Keluarga, CLF.

Beliau berharap usaha pengumpulan data dapat diselesaikan awal tahun depan sebelum para pengkaji dapat memulakan kajian mereka.

Laporan lengkap kajian itu dijangka dapat disiapkan menjelang pertengahan tahun depan – sebelum CLF.

Bagi mengatasi isu berkenaan dan pelbagai cabaran lain yang dihadapi masyarakat Melayu, sekumpulan 80 remaja dan karyawan muda telah diundang menyertai empat kumpulan kerja CLF, merangkumi isu Keluarga, Remaja, Pendidikan dan Pekerjaan.

Melalui kumpulan itu mereka diharap dapat mengongsi idea, strategi dan sebagainya dalam usaha memperkasa masyarakat Melayu/Islam

Semalam, Berita Minggu melaporkan kebimbangan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mengenai tahap kebobrokan masyarakat Melayu, menyusuli dua kes pembunuhan melibatkan kanak-kanak daripada keluarga Melayu/Islam pincang.

Diminta pandangan beliau tentang rasa malu yang diluahkan Dr Yaacob akibat perbuatan golongan tidak bertanggungjawab ini, Dr Maliki berkata: ‘Saya fikir dalam konteks ini, pembunuhan itu tidak seharusnya berlaku.

‘Jika anda mendalami kes-kes seumpama kes Edy, kes Nonoi, anda akan mendapati adanya kemungkinan keluarga-keluarga muda ini tidak mempunyai keupayaan menangani (cabaran) hidup di bandar, melihat pada kekurangan sumber yang dihadapi mereka, dan ketiadaan peluang (untuk memperbaiki diri).

‘Ada kemungkinan juga mereka ini tidak dikesan lebih awal atau mereka ini tidak tahu di mana mereka boleh mendapat pertolongan bagi menangani masalah yang dihadapi.’

 Berita Harian | Dalam Negeri
7 Disember 2009
20 Zulhijjah 1430H
Isnin

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s