Semangat mahu berhenti merokok usah hangat-hangat tahi ayam je…

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

APA yang paling ‘best’ untuk redakan tekanan, baik di tempat kerja mahupun dalam mengharungi apa juga permasalahan?

Jawapannya: Merokok.

Melihat gegelung asap berkepul- kepul naik ke udara sambil dibuai angin, sememangnya menenteramkan perasaan.

Jiwa tenang beb!

Tapi itu kata saya dulu semasa zaman penulis sedang gian merokok.

Susuri zaman persekolahan, teringat saya bagaimana kami para pelajar yang ‘tak dengar loceng’ ni bukan sekadar menghisap rokok di tandas malah punya ‘port’ sendiri, di belakang bangunan teknikal – tempat pelajar mengikuti kelas pertukangan – atau di kolong blok belakang sekolah.

Masa tu, beli sekotak besar rokok ‘Alpine’ dapat sekotak lagi percuma. Sekotak kecil rokok 12 batang hanya berharga sedolar.

Tak mampu jugak?

Kedai mamak di kolong blok sedia menjual ‘rokok bukak’ – 20 sen sebatang.

Murah beb!

Teringat juga sewaktu bekerja di sebuah stesen radio lebih kurang sedekad dulu, para perokok punya sebuah ‘dragon lounge’ tersendiri, di mana kami sering berkumpul untuk mengepul asap.

Ada masanya tu, sempat meninggalkan bilik siaran barang seminit dua semasa lagu masih di udara, semata-mata untuk merokok.

Rokok punya pasal.

Tapi apa hasilnya? Sesungguhnya, tiada.

Hakikatnya, merokok tidak lebih daripada hanya memudaratkan kesihatan.

Disebabkan itu, saya berhenti merokok – dah lebih lima tahun.

Kajian demi kajian telah dibuat dan kesemuanya mengesahkan rokok, termasuk asapnya sekali, mengancam nyawa.

Lihatlah jumlah mereka yang menghidapi barah disebabkan merokok. Atau, ibu-ibu hamil yang menghadapi pelbagai permasalahan terhadap kandungan mereka akibat merokok.

Selain menghadapi risiko pengguguran, ada pula kelahiran anak bersifat pramatang, ada juga saiz bayi lebih kecil daripada biasa saat kelahirannya.

Kini, kajian seperti yang dinyatakan di rencana yang mengiringi pojok ini mendedahkan, jangka hayat seseorang perokok sebenarnya adalah 10 tahun lebih pendek saat umur mencecah 50 tahun.

Ini bermakna, seseorang perokok menghadapi risiko mati muda.

Hmm… bagi perokok yang ‘loyar buruk’ pasti akan berkata:

“Baguslah mati muda, kurang sikit dosa aku…!”

Errr… jawapan saya: “Betul beb, mati muda memang kurangkan dosa kita, Tuhan nak hisab pun senang.”

Tapi, bukankah lebih berdosa kalau kita mati awal dek sikap degil kita sendiri hingga kematian itu memudaratkan kehidupan orang-orang yang kita sayangi anak isteri kita.

Fikirkan, kita bukan hanya membazir wang yang diraih hasil penat lelah kita dengan membeli rokok, bahkan ‘membakar hidup-hidup’ duit bagi membayar kos rawatan hospital.

Fikirkan juga, betapa sebaik berpisah nyawa daripada badan akibat penyakit yang bersebabkan daripada rokok itu, maka tamatlah jugalah sumber kewangan kita kepada keluarga.

Jadi, dimanakah letaknya tanggungjawab kita?

Saya tau cakap memang senang tapi nak berusaha berhenti merokok bukan sesuatu yang mudah.

Hal ini memang diakui, jadi bagaimana saya dapat berhenti merokok?

Caranya, kuatkan tekad agar tidak membeli sekotak rokok yang baru apabila yang terakhir telah habis dihisap.

Kedua, ubah pemikiran dan tanggapan terhadap rokok, yang ia bukan penenang jiwa atau pelengkap hidangan, baik sarapan, makan tengah hari, mahupun makan malam.

Ketiga, mesti berfikiran secara logik yang merokok adalah suatu hobi yang mahal, tanpa faedah apa pun.

Keempat, fikirkan keperluan penting yang dapat dimanfaatkan anak-anak dengan wang yang dijimatkan daripada rokok yang tidak dibeli itu.

Kelima, semangat untuk berhenti merokok tidak boleh hangat-hangat tahi ayam.

Tapi berhenti merokok sahaja tidak menjamin kesihatan yang baik.

Corak pemakanan kita juga perlu dijaga dan mesti rajin bersenam.

Baru dinamakan kita orang Melayu benar-benar ikuti gaya hidup sihat!

Ekstra | Suara Adam
Berita Harian, Jumaat
9hb Oktober 2009
20 Syawal 1430H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s