Kembangkan budaya tanpa lupa adab sopan

MUNGKIN apa yang ingin saya ketengahkan ini merupakan satu cerita lama.

Dah basi, kata orang sekarang tapi ia merupakan satu perkara yang harus kita perlihat dan cuba pertingkatkan kesedaran di kalangan para belia dan anak-anak muda kita.

Sewaktu menghadiri pertandingan dikir barat baru-baru ini, saya begitu kagum melihat ramainya anak-anak muda yang menggemari seni dikir barat ini.

Bahkan saya juga tertarik melihat kreativiti yang ditunjukkan oleh mereka sewaktu pertandingan tersebut. Namun yang saya kesalkan bukannya bertumpu pada persembahan, tetapi kelakuan anak-anak muda tersebut.

Apa sebabnya? Nanti akan saya kemukakan…

Sememangnya saya ini meminati drama dan apakala saya punya peluang, saya pergi menontonnya namun untuk persembahan yang saya tontoni di sebuah kelab masyarakat berdekatan rumah saya baru-baru ini ternyata persembahan tersebut lebih berbentuk lucah.

Dan para pelakunya? Nanti akan saya beritahu…

Saya juga meminati puisi dan setelah mendapat tahu bahawa terdapat sebuah antologi puisi yang diterbitkan oleh anak-anak muda kita, saya pun apalagi, beriya-iya mendapatkan antologi tersebut namun alangkah hampanya saya bilamana mendapati karya-karya yang dimuatkan dalam antologi tersebut lebih indah khabar dari rupa.

Kenapa? Sebentar nanti akan saya berikan jawapannya.

Baru-baru ini saya berkesempatan melihat latihan drama yang dijalankan oleh sebuah kumpulan drama setempat. Latihan itu diadakan bersempena dengan pementasan yang akan mereka adakan.

Sememangnya anak-anak muda kita tak kurang bakat dalam bidang ini namun cuma satu perkara yang menyentuh hati saya.

Apa dia? Sabarlah… akan saya sampaikan juga.

Kemeriahan menyambut Hari Raya masih dapat dirasakan. Apatah lagi suasana bazar Geylang Serai yang sungguh galak dengan jerit pekik penjual dengan si pembeli. Tetapi ada satu perkara yang mencuit perasaan saya tatkala mata ini terpandang seorang gadis manis berlalu di hadapan saya.

Nak tahu kenapa? Tunggulah… kejap lagi saya ceritakan juga.

Mengingat kembali kata-kata pahlawan Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” membuatkan saya terfikir apakah kata-kata tersebut dapat dipertahan memandangkan masyarakat Melayu yang dahulu dan kini begitu berbeza?

Kehidupan seseorang berlandaskan kepada tiga elemen iaitu: Adab, bahasa dan budaya. selain daripada pegangan agama yang diwajibkan.

Sebabnya?

Pertama: Adab tingkah laku serta tutur kata yang halus, sopan. Cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu. [Kamus Dewan Edisi Ke-3].

Jika dilihat dan dikaji ia merupakan cermin melalui perlakuan individu atau kumpulan. Tanpa adab yang bersopan, secara otomatis perlakuan tersebut menimbal kembali pada bangsa, kaum atau kumpulan yang diwakilinya.

Kedua: Bahasa percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan-santun. [Kamus Dewan Edisi Ke-3].

Bahasa juga merupakan penghantar atau anjuran komunikasi antara dua pihak menerusi daya simbol bahasa (Melayu, Inggeris, Jepun, Perancis, dll simbol bahasa sesuatu kaum).

Tanpa bahasa, jalinan hubungan itu akan putus.

Ketiga: Budaya tamadun, peradaban, kemajuan fikiran, memiliki cara fikir dengan akal budi yang sudah maju. [Kamus Dewan Edisi Ke-3].

Meletak peranan diri dalam lingkar masyarakat melalui pengenalan budaya. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa cara berpakaian, perbualan, penulisan adalah di antara ciri penting elemen budaya seseorang individu.

Adab

Adab sebagai satu gaya hidup mencerminkan refleksi kehidupan. Namun apakala mengamati akan adab anak-anak muda ia seakan-akan memberi kita satu gamabaran buruk di masa hadapan.

Contohnya…

Alang selalu pergi ke pertandingan dikir barat dan rata-rata para pesertanya terdiri daripada belia-beliawanis berusia sekitar 13 hingga pertengahan 20-an.

Yang dipuji adalah kerana kesungguhan mereka menyuburkan budaya dikir barat namun dalam masa yang sama apabila diperhatikan, para belia ini tak kira sama ada mereka itu peserta atau penonton tidak mengacuhkan langsung adab mahupun tatatertib orang Melayu.

Mendengar perbualan mereka seumpama mendengar orang yang rendah akhlak berbual. Kenapa? Setiap perbualan mereka itu tidak akan lengkap tanpa dua perkataan yang mempunyai makna yang menjijikkan sekali -Si*l dan Bu*o.

Ini belum lagi kita perkatakan mengenai tingkah laku dan jerit-pekik mereka sewaktu menghadiri pertandingan tersebut. Mengapa perkara seperti ini terjadi? Di mana silapnya? Di mana silap kita?

Bahasa

Apa akan jadi bilamana bahasa itu dikesampingkan dengan bahasa lain? Apa akan jadi jika bahasa itu dilampiaskan dengan kata-kata kesat atau lucah seperti yang terdapat dalam koleksi antologi Laungan Puisi?

Sewaktu Alang membaca antologi tersebut, Alang sebenarnya ‘terkesima’ dengan penggunaan gaya bahasa yang digunakan.

Persoalannya sekarang, di manakah letaknya tanggungjawab kita selaku penulis dan untuk si penyelaras buku tersebut di manakah letaknya tanggungjawab beliau selaku pembimbing kepada rakan-rakan mudanya yang lain.

Harus kita sedar tanggungjawab bukan hanya kepada seorang individu tetapi juga kepada setiap anggota masyarakat yang hadir sewaktu acara itu diadakan dan juga kepada masyarakat pembaca. Yang dicerminkan bukan hanya bahasa te tapi juga bangsa kita sendiri.

Budaya

Sewaktu menyambut Lebaran baru-baru ini, Alang ke bazar Geylang untuk membuat sedikit persiapan di rumah. Dan sewaktu berasak-asak tu Alang terpandang seorang gadis. Keayuan dan kecantikan gadis itu memang tak dapat Alang nafikan namun apabila Alang melihat padanya sekali lagi, ada suatu perkara yang terus membuat Alang terfikir…

Dengan pakaian yang agak seksi tanpa lengan, kelihatan di lengannya dilingkari ‘dawai’ berwarna biru dakwat. Setelah mengamati lengannya dari jarak agak dekat, Alang dapat pasti bahawa ia merupakan tatoo.

Ia bukan satu dalam sejuta bahkan tren memasang tatoo sebegitu kerap Alang lihat. Yang menghairankan dan juga menyedihkan, begitu ramai anak muda Melayu lelaki dan perempuan yang punya ‘dawai’ seperti gadis itu.

Apakah anak-anak muda sekarang dah tak kenal halal/haram? Dah tak kenal budaya Melayu yang begitu mengagungkan adab sopan dan tatatertib sosial?

Sewaktu menonton satu latihan drama, Alang berasa bangga kerana ramai anak-anak muda Melayu kita berkecimpung dalam bidang ini tetapi apa yang dikesalkan sewaktu latihan tersebut, anak-anak gadis yang mengikuti latihan itu memakai shorts.

Dan yang paling Alang kesalkan sekali ialah bilamana waktu maghrib sudahpun tiba, tetapi anak-anak muda ini masih terus berlatih tanpa menghiraukan waktu solat.

Apakah mereka tidak tahu bahawa ia merupakan satu kewajipan untuk kita bersembahyang.

Mengapa mesti mereka teruskan juga?

Dan jika tidak mahu bersembahyang pun mengapa mereka tidak menghormati waktu salat itu?

Dan pertanyaan ini masih bergema hingga kini dalam fikiran Alang…

Alang Budiman
Berita Harian
11 April 2002
Khamis, 07:01 AM

diulang siar:
15 Mac 2009
18 Rabiulawal 1430H
Ahad, 00:18:43tghmlm

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s