Warisan pemimpin yang perlu berundur

Pandangan

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

SETIAP kali berlakunya peralihan kuasa politik sesebuah negara, daya kepimpinan serta legasi peninggalan pemimpinnya akan menjadi penentuan sejarah.

Tiada siapa dapat menafikan gagal atau jayanya seseorang pemimpin negara itu – sama ada presiden atau perdana menteri – akan diukur dari segi kemampuannya membangunkan negara, terutama dari segi pengukuhan ekonomi, pembangunan watan dan kemantapan politik.

Bagi Presiden Amerika Syarikat, Encik George W. Bush, misalnya, legasi yang akan ditinggalkannya mulai 20 Januari ini, menurut media negaranya, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Apatah lagi, beliau dilempar kasut oleh seorang wartawan Iraq semasa kunjungan ke negara itu baru-baru ini.

Insiden itu cukup mengaibkan dan satu penghinaan besar buat Encik Bush secara peribadi.

Ia jelas menggambarkan betapa masyarakat Arab sebenarnya menolak daya kepimpinan dan usaha Encik Bush selama ini dalam membangunkan demokrasi ala-Barat di rantau yang amat mendukung hubungan persaudaraan itu.

Legasi Encik Bush terus suram menyusuli kegagalan beliau dan pentadbirannya menangani masalah kewangan Amerika sehingga menjerat ekonomi dunia.

Kegagalannya itu dan pelbagai lagi kelemahan yang terdapat dalam pentadbirannya (jurang miskin-kaya yang melebar, lembap dalam menangani isu perubahan iklim, lewat dalam menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana Katrina dan pelbagai lagi) menjadi lebih terpukul apabila rakyat negara itu sanggup melakukan apa sahaja – termasuk mengikis cebis-cebis perkauman dan menolak amalan lazim pilihan raya – dengan memilih Encik Barack Hussein Obama, seorang senator kulit hitam, sebagai Presiden ke-44 Amerika.

Namun, apakah sejarah akan hanya mengenang segala yang buruk menyentuh kepimpinan Encik Bush?

Mungkin.

Tetapi lebih adil jika dunia dapat juga mengingati beliau sebagai pemimpin yang mendukung demokrasi sebagai tunggak hak asasi jagat.

Kecaman hebat Encik Bush atas penindasan dan pencabulan hak asasi di China, Myanmar dan Korea Utara semasa lawatan ke Thailand pada Ogos adalah satu bukti nyata.

Ini amat dimengertikan Dalai Lama, pemimpin agama yang gigih mendapatkan kuasa autonomi lebih luas bagi Tibet dari Cina.

Kegigihan Encik Bush menjulang demokrasi turut diakui srikandi Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, yang terus menjadi tahanan di bumi sendiri kerana menuntut lebih banyak hak untuk rakyat negaranya yang kini diperintah rejim tentera.

Selain itu, dunia seharusnya mengenang Encik Bush sebagai pemimpin yang berusaha keras memastikan perang nuklear tidak berlaku.

Kesungguhan dan kegigihan pentadbiran Encik Bush sejak lapan tahun lalu akhirnya berjaya membuat Korea Utara menghentikan projek nuklear mereka bagi tujuan ketenteraan.

Selain Encik Bush, seorang lagi pemimpin akan mengundurkan diri ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau akan melepaskan jawatan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, pada Mac ini.

Bagaimana sejarah akan mengenangnya?

Tidak dinafikan, dirinya akan sentiasa dikaitkan dengan keputusan terburuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu hingga memungkinkan parti-parti pembangkang menguasai lima daripada 13 negeri.

Namun, adalah kurang adil jika sejarah hanya mengenangnya sebagai pemimpin yang ‘tewas’.

Ini kerana beliaulah yang bertanggungjawab dalam merubah landskap sosio-politik Malaysia – menjadikannya sebuah negara lebih terbuka dari sudut demokrasi dan kehakiman yang lebih berwibawa.

Benar, ramai di kalangan rakyat dan pemimpin negaranya, termasuk pemimpin dalam Umno sendiri, pantas menuding jari dan menyatakan kelemahan pada daya kepimpinan Pak Lah (panggilan mesra bagi Perdana Menteri Malaysia itu) menjadi penyebab utama masalah berantai yang dihadapi Malaysia sekarang – daripada ketewasan BN pada Mac tahun lalu sehingga kepada meningkatnya polarisasi di negara berbilang kaum dan agama itu.

Sebenarnya, pemikiran sedemikian singkat dan cetek.

Ini disebabkan keadaan sosio-politik yang lebih dinamis sekarang membolehkan anggota dan pemimpin pembangkang, badan bukan kerajaan dan jelata lebih berani bersuara.

Polarisasi berlaku bukan disebabkan Pak Lah atau bangsa Melayu Malaysia menindas kaum lain tetapi kerana kedewasaan masyarakat minoritinya yang kini lebih mengerti tentang hak dan kedudukan mereka sebagai rakyat.

Begitu juga rasuah. Sedang banyak pihak hanya mampu mengkritik dan mengecamnya, Datuk Seri Abdullah tampil dan membentangkan undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berkuatkuasa tahun ini, suruhanjaya itu dibentuk sebagai memberi kuasa lebih bebas kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) membanteras gejala rasuah.

Bagi mengembalikan kewibawaan kehakiman negara itu, yang teruk tercemar gara- gara episod video membabitkan peguam V.K. Linggam, Pak Lah membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008.

Ini bagi menubuhkan sebuah badan kehakiman bebas untuk menguruskan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi, di samping pelantikan Ketua Hakim Negara.

Dalam satu kenyataannya bulan lalu, Pak Lah berkata keutamaan baginya sebelum mengundurkan diri adalah ‘memastikan soal ekonomi, perhubungan kaum dan konflik berkaitan fahaman agama diberi perhatian’.

Namun, hanya masa akan menentukan sama ada beliau berjaya melaksanakan kesemua misinya itu dalam tempoh singkat ini.

Tetapi hakikatnya, kedua-dua Encik Bush dan Datuk Seri Abdullah akan berundur daripada senario politik dalam keadaan bercampur-baur.

Sedang mereka berusaha menjulang demokrasi, generasi hari muka mungkin mengenang mereka dari persepsi berbeza.

Berita Harian  | Komentar
Sabtu, 3 Januari 2009
6 Muharam 1430H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s