Gambarkan iltizam jadikan institusi Islam lebih berkesan dan perkasa

 

PINDAAN AMLA

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PERANAN, fungsi dan kuasa tiga tunggak penting masyarakat Melayu/Islam telah diperkukuh dengan pindaan rang undang-undang Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), yang diluluskan Parlimen Isnin lalu (17 November 2008).

Tiga tunggak itu ialah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah.

Meneliti ucapan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di Parlimen semasa membentangkan pindaan itu, ia memang langkah prakmatik.

Pertama, kadar sumbangan pekerja Melayu/Islam kepada Dana Pembangunan Masjid dan Mendaki (MBMF) ditambah, bererti lebih banyak dana bagi pelbagai program pembangunan ummah, dari segi pendidikan, sosial mahupun agama.

Matlamat akhirnya ialah membasmi pelbagai ‘pencapaian negatif’ masyarakat kita, dari soal perceraian dan keciciran pelajar sehingga kepada kenakalan remaja, kekurangan kemahiran pekerja, serta memperkasa ibu tunggal dan keluarga miskin.

Menurut Dr Yaacob, wang MBMF akan digunakan juga untuk memperindah masjid yang dimamah usia.

Tetapi lebih penting lagi, ia akan juga dimanfaatkan bagi membuka satu lagi pusat sokongan keluarga, selepas As-Salaam, untuk mendampingi lebih banyak keluarga bermasalah.

Tujuannya ialah memberi jalan keluar kepada keluarga ‘pincang’ dengan memperkasa diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan agar dapat bebas daripada belenggu kemiskinan dan sikap ‘meminta’.

Kesedaran yang harus ada dalam diri kita ialah, sebagai sebuah masyarakat madani dalam dunia kelas pertama, Muslim Singapura harus mandiri, yakni mampu berdiri atas kaki sendiri.

Kedua, pindaan itu menaikkan batas usia perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun bagi mencegah pasangan muda yang ingin berkahwin atas dasar ‘cinta monyet’ meneruskan rancangan mereka.

Sekitar 100 pasangan sedemikian berkahwin setiap tahun dan perangkaan menunjukkan lebih sepertiga daripada mereka bercerai sebelum mahliga mencapai lima tahun.

Persoalannya, sampai bila harus kita biarkan ini berlaku? Sampai bila harus dibiarkan anak-anak merana akibat perceraian ibu bapa mereka?

Ketiga, pindaah itu membolehkan Perintah Mahkamah Syariah bagi tuntutan nafkah iddah dan mutaah dianggap sebagai Perintah Mahkamah Keluarga.

Sekarang, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes melibatkan penguatkuasaan perintah berhubung nafkah iddah dan mutaah. Kuasa itu terletak pada Mahkamah Keluarga.

Apabila pindaan itu berkuasa kuasa, mereka yang telah bercerai tidak lagi perlu mendaftar perintah Mahkamah Syariah di Mahkamah Keluarga kerana ia secara automatik menjadi perintah Mahkamah Keluarga.

Tujuan utamanya ialah membantu bekas isteri menjimatkan masa dan wang – $1,500 hingga sekitar $2,000 bagi yuran pentadbiran dan kos guaman – untuk menuntut nafkah iddah dan mutaah daripada bekas suami.

Pindaan itu membolehkan juga pelantikan Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah bagi memangku tugas Pendaftar semasa ketiadaan beliau.

Buat masa ini, Presiden Mahkamah Syariah membahu tugas Pendaftar semasa ketiadaannya. Cara ini kurang baik memandangkan sebarang rayuan yang dibuat terhadap keputusan Presiden dalam kedudukannya sebagai pemangku pendaftar perlu didengar oleh Lembaga Rayuan.

Keadaan ini boleh disifatkan sebagai agak melecehkan.

Jika ada orang lain selain Presiden memangku tugas Pendaftar semasa ketiadaannya, sebarang rayuan terhadap keputusan yang dibuat pemangku itu boleh didengar Presiden tanpa perlu ia dibawa ke lembaga rayuan.

Pindaan ini membolehkan juga Timbalan Pendaftar melaksana kuasa dan tugas Pendaftar apabila perlu.

Ia juga memberi Pendaftar dan Timbalan Pendaftar kuasa melantik hakam. Sebelum ini, hanya Presiden dan Presiden Kanan Mahkamah Syariah boleh berbuat demikian.

Ini membantu mengurangkan kos guaman dan masa pihak yang memohon cerai serta masa mahkamah.

Jelas, pindan-pindaan itu menggambarkan iltizam pemimpin Melayu/Islam untuk meningkatkan keberkesanan sistem serta mengukuhkan kuasa yang ada pada institusi Melayu/Islam demi kemaslahatan kita dan generasi hari muka.

Berita Harian I Rencana
22 November 2008
24 Zulkaedah 1429H
Sabtu

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s