Ekonomi meleset tapi wang hantaran melambung

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

EKONOMI mulai meleset tetapi nampaknya kadar wang hantaran bagi majlis perkahwinan orang kita sekarang naik melambung tinggi, mengalahkan kenaikan harga minyak!

Kalau trend ini berterusan, makin nampak kaum Adam kita kalau tak bekerja keras dari mula, tak simpan duit daripada awal, seumur hiduplah jadi bujang trang-tang-tang.

Yalah, kalau dah wang hantaran sampai $15,000 termampukah kaum Adam kita menyediakan jumlah yang sebesar itu untuk meminang si dia yang lama dipikat?

Bayangkan, kalau wang hantaran untuk anak dara yang tak masuk universiti pun dah mencecah $12,000 sekarang ini, yang dah raih ijazah tentu sahaja lebih tinggi kan?

Meremang bulu roma saya memikirkan hal ini.

Iyalah, bukannya apa… bila mengenangkan dengan nilai wang hantaran pada 1994 cuma $5,000 sahaja.

Dalam sedekad setengah, jumlah wang hantaran kini dah sampai tiga kali lipat!

Memanglah, sepanjang 14 tahun ini, taraf pendidikan anak-anak gadis kita saya akui lebih tinggi daripada kaum Adam.

Tetapi adakah itu sahaja sandaran keluarga si gadis dalam menentukan nilai wang hantaran anak mereka?

Bagaimana pula dengan kesediaan anak gadis mereka untuk masuk dapur, bolehkah hasil masakan mereka diterima sang suami?

Bagaimana pula dengan kesediaan anak-anak gadis mereka menguruskan rumah tangga?

Apakah mereka mampu mengemas rumah dan menggosok baju dengan sesempurnanya?

Seharusnya hal-hal ini turut dijadikan ukuran sebelum pihak ibu bapa menetapkan kadar wang hantaran.

Hakikatnya, ibu bapa mesti bersikap realistik dan tidak sesekali menetapkan wang hantaran berdasarkan ‘harga pasaran’.

Kasihanilah kaum Adam kita yang terpaksa berhempas pulas mengumpul wang hanya untuk mengadakan wang hantaran sebegitu banyak.

Ini belum lagi perbelanjaan yang diperlukan untuk ubah elok rumah yang bakal dibeli saat berumah tangga.

Ibu bapa kaum Adam juga janganlah bersifat ‘lebih sudu dari kuah’.

Mereka perlu mengerti dengan menawarkan wang hantaran lebih tinggi daripada yang sepatutnya untuk bakal menantu mereka, tindakan itu sebenarnya boleh merosakkan masa depan rumah tangga yang bakal dibina mempelai.

Sang menantu akan beranggapan yang bakal suaminya itu walau bergaji kecil sebenarnya mampu berbelanja besar dan tidak menyedari hakikat yang sebenarnya bakal suaminya itu mendapat ‘suntikan dana’ daripada ibu bapanya sendiri.

Jadi, semasa menjalani hidup berumah tangga, pengantin baru itu yang dari muda tidak diajar berjimat-cermat akan mudah bercakaran apabila masalah duit terjadi antara mereka.

Apatah lagi, dengan trend penggunaan kad kredit yang meluas dan tekanan sekeliling agar kita sentiasa memiliki benda terbaru, berjenama dan eksklusif, pasangan muda mudah terjerat dengan bebanan hutang.

Andai ibu bapa tidak memainkan peranan mereka dengan betul dalam membimbing dan memberi kesedaran tentang pentingnya aspek menabung, bencana akan menimpa pasangan muda.

Ingat kisah yang dibentangkan dalam filem Bujang Lapok apabila pasangan suami isteri bercakaran tentang masalah duit, salah seorang daripada mereka menyentuh tentang isu wang hantaran dan kemudiannya dengan lantang berkata:

“Ini semua mak bapak kau yang salah!”

Andai ini terjadi, ia satu tragedi yang benar-benar silap mak bapak kita! 

Berita Harian | Ekstra
14 November 2008
16 Zulkaedah 1429H
Jumaat

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s