kita perlu berfikir dan meneliti

ADAKALA kita perlu cuba bermimpi. Tetapi ada masa-masanya juga, kita mesti berani bermimpi. Adakala pula, kita perlu capai apa yang diimpikan itu.  Kita juga harus sedia mendengar. Ada masa-masanya juga kita mesti berani, berani pasang telinga. Adakala pula, kita mesti pastikan orang tak tahu yang kita pasang telinga. Ada ketikanya juga, kita perlu bersuara. Ada masa-masanya juga suara kita perlu dikuatkan sedikit biar lebih ramai dapat mendengarnya. Adakala pula, suara kita perlu tegas biar orang tahu kita juga berpendirian. Kita juga mesti belajar main catur, kurangkan permainan dam. Ini dapat mengelakkan kita daripada sering tersepit, dipinggirkan, dibabikan. Lagi pula tidak ada dalam kamus, ‘kita mendam hidup’. Yang ada ialah, ‘kita mencatur hidup’. Jadi dam perlu dielak, letak tepi. Apalagi, dam, menjahanamkan egois dalam diri kerana saban masa hidup ditelan Pak Haji di warung kopi. Berlainan catur, ia menghalus akal dan peribadi kerana kita berdepan Raja dan Permaisuri. Sememangnya, dan tidak dinafi hidup ini bak mainan catur. Namun ada masa-masanya pula kita perlu mencatur hidup. Dalam setiap percaturan tentu ada kalah menangnya, oleh itu kita mesti pastikan setiap percaturan itu dibuat dengan mata dan fikiran yang terbuka, penelitian yang wajar dan penuh kesedaran bersama pendekatan yang strategik selain langkah yang ampuh. Dalam percaturan sebagaimana perjalanan hidup, kita perlu banyak bertanya kalau tidak ‘kan sesat jalan. Ada masa-masanya juga, pertanyaan kita itu mesti mampu mengundang jawapan yang bernas, bukan respons mudah-mudah sekadar ‘Ya’ atau ‘Tidak’.   Dalam percaturan hidup, pertanyaan mesti berani dilontarkan bukan saja pada kawan sepermainan tetapi juga pada seteru segelanggang. Tanya dan kemudian kumpul jawapan-jawapan itu. Pulang dan menelitinya satu persatu, akan tentu ada jawapan yang diraih hasil penelitian itu lebih terserlah dari apa yang dinyata. Kemudiannya, kita susun langkah bersesuaian jawapan yang diberi. Jadi bila menjalani hidup kita lebih berhati-hati mengelak liku, duri dan jerangkap samar. Hmm… dalam mencatur hidup kita sedia berkorban masa, tenaga, wang dan cinta. Tetapi dalam setiap percaturan itu juga, kita mesti berani melawan arus, meredah badai, merentas halangan tersua. Dalam mencatur hidup, kita juga perlu kuat, berani, bijak dan berpekerti kerana tanpanya, kita akan ditolak, diketepi dan dinafi – hak dan maruah diri. Dalam percaturan hidup, kita juga mesti berani berdiri dan bertentang mata, mengata ‘Tidak’ dan menolak pelawa. Memang tidak mudah bermain catur, apalagi mencatur hidup. Tetapi walau sukar, kita mesti cuba kalau tidak apa guna hidup? Memang, adakala dalam sesuatu percubaan itu kita perjudi nasib. Lumrah. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu korbankan sesuatu untuk menang mudah…

Alang Budiman
9 November 2009
11 Zulkaedah 1429H
Ahad, 01:07:31 tgh malam

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Luahan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s