Jana lebihan dana masjid demi jangka panjang

PANDANGAN

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

ISU kurang dana sering menghambat masjid kita. Hal ini menjelaskan mengapa sesetengahnya, termasuk masjid generasi baru, sudah mula ‘usang’ dari segi fizikal.

Sekalipun tambahan sumbangan kepada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) yang bakal bermula Februari depan diluluskan Parlimen, ia belum tentu cukup untuk jangka panjang.

Menurut taksiran, kenaikan tadi akan menokok $2.9 juta saja.

Memandangkan mungkin masjid baru tidak dibina lagi, maka dana masjid lebih ditujukan untuk senggara, ubah suai seperti mengadakan lif atau bina semula jika rosak.

Sebahagian lagi MBMF pula disalurkan kepada Yayasan Mendaki untuk pendidikan dan satu lagi pembiayaan baru iaitu membantu keluarga pincang serta membantu pendidikan madrasah.

Semua sebab mengenai mengapa sumbangan MBMF perlu ditambah sudah pun diuar-uarkan.

Apabila meneliti sebab- sebab yang dikemukakan, saya berasa sampai bila-bila pun masyarakat kita perlu menderma.

Memang betul derma atau infak disuruh Islam.

Namun, Islam juga menyuruh kita berikhtiar secara usahawan, termasuk dalam soal masjid. Kini sudah ada istilah social entrepreneurship atau keusahawanan sosial.

Seyogia, derma berdasarkan keikhlasan dan suasana ekonomi. Jadi, sampai bilakah pergantungan masjid dan Mendaki pada derma saja?

Telah begitu lama diserukan agar pemimpin dan masyarakat kita bersikap proaktif, dinamis dan kreatif dalam aspek penabungan dan pengendalian dana. Ini bertepatan dengan konteks kehidupan semasa.

Mentelah, kos hidup telah melambung dan jaminan pekerjaan pula tidak menentu dek pasang surut ekonomi jagat.

Para pakar ekonomi menyatakan secara tegas bahawa harga minyak dan makanan asas tidak mungkin rendah seperti dahulu.

Namun, untuk kali ini, biar kita membincangkan terlebih dahulu isu berkaitan masjid dan pengendalian dananya.

Pertama, sejauh mana masjid-masjid kita memanfaatkan aspek pelaburan hasil daripada dana yang terkumpul, terutama sekali dalam usaha mereka meraih keuntungan (meskipun sedikit) menerusi produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan bank-bank di sini?

Atau, masjid kita masih lagi bersikap konservatif dan lebih senang memasukkan hasil derma orang ramai itu langsung ke dalam akaun semasa (current account) di salah sebuah bank setempat?

Dilihat secara mudah, setiap masjid utama di sini mampu meraih sekurang-kurangnya $700 hingga $1,000 daripada derma jemaah kepada masjid, terutama setiap Jumaat. Ini bermakna antara $2,800 dengan $4,000 dapat dikumpulkan daripada empat Jumaat dalam sebulan.

Ini tidak termasuk kegiatan tambahan seperti penyewaan gerai masjid (terutama sepanjang Ramadan), jualan nasi beriani amal sehinggalah jamuan malam demi mengumpul dana.

Adakah ini bermakna, wang yang diraih itu sekadar disimpan dalam peti besi atau di dalam bank saja? Dalam hal ini, ingin juga diketahui berapa banyak daripada 69 masjid di sini yang memanfaatkan produk perbankan Islam, misalnya, mudarabah, yang ditawarkan bank di sini?

Penting untuk kita ketahui, sudah banyak produk perbankan berteraskan syariah iaitu berkonsepkan ‘perkongsian keuntungan’.

Cakap mudahnya, wang ini dikendalikan secara ‘halal’ dan hasil pelaburan akan dikongsi dengan pelanggan. Peliknya, banyak masjid kita belum mempunyai akaun perbankan Islam.

Kebanyakan masjid di sini sudah terbiasa mengembangkan dana mereka menerusi Simpanan Tetap (fixed deposit).

Ini bermakna para bendahari dan penasihat kewangan masjid kita tidak memberi nasihat yang bernas kepada pucuk pimpinan masjid mengenai kadar faedah rendah daripada simpanan tetap di bank-bank di sini.

Jika 15 hingga 20 tahun lalu, kadar faedah bagi simpanan tetap boleh mencapai hingga 6 atau 7 peratus, kini ia menawarkan faedah terendah antara 0.3250 dengan 0.7000 peratus sahaja!

Jadi, aspek pengendalian dana perlu diteliti semula dengan memanfaatkan para pakar kewangan di Singapura.

Betapa pula Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, telah memberitahu media baru-baru ini, masjid seharusnya mempunyai dana terikat (sinking fund) seperti yang dijayakan oleh majlis bandaran di sini.

Semoga ini akan diusahakan oleh masjid secepat mungkin.

Memanglah masjid-masjid perlu membelanjakan separuh hingga tiga suku derma orang ramai setiap bulan bagi kos seperti bil air dan elektrik, gaji kakitangan pentadbiran dan asatizah madrasah separuh masa, senggara dan sebagainya.

Namun, wajar lebihan dana masjid dilaburkan. Malah, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pernah melakukannya untuk segelintir masjid dengan kerjasama bank-bank di sini. Tetapi adakah pulangannya berbaloi?

Mungkin sudah tiba masanya diwujudkan sebuah jentera pelaburan induk bagi masjid – dengan mengambil iktibar Temasek Holdings.

Mentelah, Singapura kini merupakan hab kewangan antarabangsa, termasuk perbankan Islam.

Ini amat perlu kerana semakin lanjut usia sesebuah masjid, semakin tinggi kos penyenggaraannya. Muis perlu segera bertindak kerana ehwal dan dana masjid adalah amanahnya.

Dalam pada itu, perlu difikirkan bidang kuasa terhad atau ‘autonomi’ bagi masjid agar dapat menjalankan usaha niaga sosial (social enterprise) yang telus dan jelas pengurusannya. Ini demi memastikan pengaliran dana masuk masjid.

Tegasnya, derma dan berniaga (sembilan persepuluh rezeki menurut hadis) akan menentukan penakatan masjid kita. Kita tidak mampu bertangguh lagi.

Berita Harian | Komentar
Khamis, 28 Ogos 2008
26 Syaaban 1429H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s