Usah keliru antara ibadah dan bazar Ramadan

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SARANAN beberapa pembaca agar masyarakat kita tidak lagi menganjurkan bazar semasa Ramadan harus direnungi ertinya.

Konteksnya meluas dari segi pengamalan Islam dan konteks masyarakat majmuk.

Sejauh mana kita mengerti Islam dan memahami syariatnya?

Apakah dengan meniadakan bazar bermakna kita dapat menjadi seorang Muslim yang baik dalam bulan Ramadan?

Apakah dengan meniadakan bazar semasa bulan mulia itu, kita yakin masyarakat dapat ‘meriahkan Ramadan dengan ibadah dan amal yang mencerminkan kebaikan dan keihsanan masyarakat Islam’?

Persoalan sedemikian amat perlu kita kupas secara lebih mendalam, sesuai dengan konteks sekitaran Islam yang semakin meningkat dan zaman penyejagatan yang kian terbuka.

Atas sebab itu, timbul keresahan dan tercuit juga kebimbangan apabila membaca saranan beberapa individu agar ditiadakan bazar sempena Ramadan.

Bimbang kerana ia akan menimbulkan pandangan serong, pemahaman negatif atau rasa kurang senang masyarakat lain terhadap kita.

Apatah lagi, dalam sekitaran kehidupan masyarakat Islam dan dunia Barat hari ini, kita sering disalah tanggap masyarakat bukan Islam sebagai bersikap eksklusif – tidak terbuka dan lebih senang berkumpul sesama sendiri.

Masyarakat Melayu/Islam hari ini perlu bijak membezakan:

  • keperluan agama atau ibadah, dan 
  • keperluan ekonomi. Islam ialah cara hidup sempurna sepanjang masa.
  •  

    Oleh itu, Muslim perlu pendekatan progresif.

    Bukan saja di Singapura, bahkan seantero Dunia Muslim, termasuk di dua kota suci, terdapat bazar sepanjang Ramadan.

    Lihat bagaimana meriahnya suasana bazar yang diadakan di hampir kesemua negara Timur Tengah dan Asia – Malaysia dan Indonesia, tidak terkecuali.

    Mungkin kita tidak perasan bahawa kemeriahan bazar itu sendiri mampu memperkukuh ikatan sosiobudaya antara masyarakat berbilang kaum. Pokoknya, kita mesti tahu menguruskannya dengan halus dan bijaksana.

    Menerusi bazar Ramadan/Syawal juga kita dapat melihat keunikan yang dibawa para peniaga musiman.

    Malah, seorang rakan berpendapat, bazar Ramadan merupakan wadah bagi peniaga kecil Melayu merebut peluang niaga.

    Dengan meniadakan bazar Ramadan semata-mata kerana agama, apakah kita mahu menutup sumber rezeki peniaga kecil kita? Begitulah pertanyaannya.

    Ada juga bertanya: Sejauh mana masyarakat Muslim di sini yang sebahagian besarnya berbangsa Melayu mahu mendahulukan agama daripada tradisi dan warisan bangsa?

    Pertanyaan ini jika diteliti, akan menimbulkan satu dilema.

    Bagi sesiapa yang mahu meningkatkan ibadah sepanjang Ramadan, maka silakanlah. Tetapi jika ingin membeli-belah, tersedia bazar.

    Yang utama kita perlu teliti daripada memberi isyarat yang salah: kepada umat Islam sendiri dan majoriti bukan Muslim.

    Hampir setiap agama ada unsur komersialnya termasuk Krismas. Pokoknya, penganutnya perlu berpada-pada dalam mengimbangi unsur komersial tadi.

    Di dalam Al-Quran terdapat perihal urusan musim haji dan izin Ilahi untuk berniaga. Hanya peringatan Ilahi: agar beradab dalam berniaga.

    Oleh itu, asatizah dan ulama kita perlu menjelaskan kepada umat Islam agar berimbang dalam setiap hal, termasuk urusan ibadah dan ekonomi.

    Islam itu lengkap dan memudahkan. Usahlah kita keliru.

    Berita Harian | Komentar
    Selasa, 18 Ogos 2008
    16 Syaaban 1429H

    About chairulfahmy

    A writer.
    This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

    Tinggalkan Jawapan

    Please log in using one of these methods to post your comment:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s