Pemahaman kita pada maksud toleransi…

LEWAT kebelakangan ini kekata ‘toleransi’ sering dikemukakan. Antara lain, kita diseru dan digalak mengamalkan sikap sedemikian dengan masyarakat asing, penganut agama lain demi memelihara keharmonian negara ini.

Sememangnya, toleransi sedemikian tidak boleh kita nafikan kerana ia sebahagian daripada dasar kontrak sosial kita sebagai sebahagian rakyat negara ini.

Namun, dilihat dari satu sudut lain timbul persoalan sejauh mana kita mengamalkan toleransi atau tolak ansur di antara kita, dalam konteks masyarakat kita sendiri?

Dari kacamata serta pengalaman sendiri, dirasakan sesetengah pucuk pimpinan kita sebenarnya tidak mengamalkan sikap sedemikian atau dalam bahasa Inggerisnya, they don’t walk the talk.

Satu perkara yang dapat dilihat, andai ada individu yang pandangannya dilihat sebagai ‘kritis’ atau kritikannya dilihat sebagai tidak ‘menurut’ nuansa yang ingin didengar pemimpin kita, maka orang itu bersamaan pandangannya, walau bagaimana bernas sekalipun, akan diketepikan sama sekali.

Ini menyebabkan sesetengah anggota masyarakat merasakan pucuk pimpinan bangsa mengamalkan pendekatan ‘elitisme’ dan mengenepikan langsung suara masyarakat, yang sebahagian besarnya adalah warga teras.

Selain itu, pendekatan sedemikian juga menyebabkan masyarakat berasakan hak mereka dicabuli, kerana pucuk pimpinan lebih senang berbincang ‘di balik tabir’ dan bukan secara terbuka, dalam menangani isu-isu besar yang dihadapi masyarakatnya sendiri.

Atas sebab demikian, warga kian merasakan lebih baik mereka berdiam diri dan membiarkan pucuk pimpinan menangani segala isu “mengikut pemahaman dan kepakaran mereka sendiri” tanpa perlu merujuk kepada masyarakat umum.

Lihat bagaimana pucuk pimpinan masyarakat menangani isu pendermaan organ tubuh, kata mereka.

Lihat bagaimana pemimpin masyarakat menangani isu derma menerusi potongan gaji, luah mereka.

Lihat bagaimana isu pendidikan madrasah ditangani, dan pelbagai lagi…

Sebenarnya, rungutan mereka ada benarnya…

Tanpa sikap toleransi atau tolak ansur serta kesediaan pucuk pimpinan mendengar saranan, bantahan atau kritikan terhadap sesuatu dasar atau isu pokok yang dibincangkan bagi kepentingan masyarakat sendiri, apalah ertinya ‘kesepakatan’ dan ‘permuafakatan’ yang menjadi tunjang peradaban bangsa?

Tidak dapat tidak, kita mengakui bahawa sudah menjadi kelaziman sejak dua-tiga dekad lalu, sesetengah pemimpin masyarakat lebih condong membincangkan sesuatu perkara tanpa kehadiran masyarakat umum.

 Sememangnya ini tidak harus berlaku. Pendekatan sebegini harus dielakkan. 

Apatah lagi, masyarakat telah memberi amanah kepada pemimpin untuk mewakili mereka, bukankah wajar mendengar pandangan ramai secara terbuka dan menghurai sesuatu isu secara terbuka juga?

Bukankah ini dinamakan demokrasi, yang sekaligus menunjukkan kematangan kita dalam mendepani dan menghurai sesuatu isu secara lebih dewasa bak menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak?

Chairul Fahmy Hussaini
Selasa, 22 Julai 2008
19 Rejab 1429H
21:32:33 malam

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Luahan and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s