Membina jalinan kita dengan negara tersisih

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

LANGKAH Singapura menjalin hubungan diplomatik dengan Syria serta lawatan julung-julung kali Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo, ke Korea Utara bulan lalu, bukan sahaja ‘membuka mata’ malah menggambarkan kematangan politik negara ini.

Dari kaca mata perhubungan antarabangsa, pendekatan Singapura ini boleh disifatkan sebagai ‘mengagumkan’.

Ini kerana, kedua-dua negara ini sejak sekian lama dilabel sebagai ‘negara paria’ yang dikutuk dan dicemuh Barat kerana ‘keingkaran’ mereka menuruti kehendak, peraturan dan norma politik antarabangsa.

Memburukkan lagi keadaan, kedua-dua negara ini disyaki Amerika Syarikat sebagai menjalin hubungan sulit dalam isu pembangunan nuklear.

Sedang kebanyakan negara lain mengetepikan kedua-dua negara ini, Singapura tampil dan menyatakan kesediaan menjalin hubungan diplomatik dan menjadi rakan dagang kepada mereka, yang sejak lama berada dalam keasingan.

Sebagai sebuah negara pulau yang hampir tidak kelihatan langsung dalam peta dunia – kesediaan Singapura menjalin hubungan dengan kedua-dua negara tersebut tentu sekali mengundang perhatian dunia.

Mungkin ada yang menganggap tindakan Singapura bersahabat dengan dua negara yang dianggap Barat sebagai ‘tak dengar kata’ ini sebagai ‘berani’.

Namun, apa yang dilakukan Singapura sebenarnya mencerminkan dasar luar republik ini yang mementingkan perpaduan dan kerjasama.

Langkah menjalin hubungan dengan kedua-dua negara ini dilakukan bukan secara melulu tetapi mengikut pelbagai kaedah dan pendekatan yang mengambil kira tuntutan masa kini: penyejagatan, hubungan saling bergantungan, penyerantauan, pembangunan institusi, pembangunan identiti, pemupukan kepimpinan intelektual dan keamanan jagat.

Selain itu, teras utama dasar luar Singapura sebenarnya cukup mudah:

  • Republik ini mahu berkawan dengan mana-mana negara dunia, dan,
  • Negara ini bersedia memupuk hubungan baik dengan setiap negara yang ingin berkawan dengannya.

Menurut perspektif sains politik dan pengistilahan perhubungan antarabangsa, secara teorinya pendekatan Singapura sebenarnya bersifat campuran – liberalisme dan konstruktivisme.

Sedang asas pendekatan politik liberalisme tertumpu pada kerjasama dan penyelarasan antara negara demi menikmati hubungan baik jangka panjang, idealnya mencapai keamanan jagat.

Konstruktivisme pula berteraskan interaksi antara masyarakat dan pembangunan rangka kerja normatif.

Menurut sarjana sains politik, Profesor Alexander Wendt, pendekatan konstruktivisme ini sebenarnya berteraskan hubungan sesama manusia yang didukung oleh perkongsian idea berbanding kepentingan peribadi.

Umum perlu memahami bahawa Singapura tidak mempunyai kekayaan sumber semula jadi dan segala-segala yang dinikmatinya hari ini adalah hasil titik peluh rakyat membangun watan dan strategi republik ini yang menawarkan sekitaran ekonomi yang terbuka demi penakatannya.

Dalam membicarakan soal ekonomi, kita tidak boleh menafikan, perlunya Singapura menjalin hubungan ekonomi dengan negara-negara luar dan pada masa ini Timur Tengah merupakan salah satu rakan dagang terpenting negara.

Dianggarkan, syarikat-syarikat tempatan kini sedang mengusahakan pelbagai projek yang bernilai lebih $6 bilion di rantau itu.

Nilai dagangan antara Singapura dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terus mencatat peningkatan memberangsangkan – daripada $23.4 bilion pada 2003 kepada $47.4 bilion pada 2006.

Syria terletak di antara Lebanon dan Turkey. Ia merupakan sebahagian daripada rantau Teluk dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Sebagai negara yang berpegang kuat pada prinsip kerjasama dan permuafakatan bagi kemakmuran bersama, Singapura tidak mampu mengecualikan mana-mana negara di rantau itu.

Pendekatan serupa turut diambil negara ini dengan Korea Utara.

Benar, Singapura bukanlah ‘pemain utama’ dalam politik timur laut Asia ataupun terlibat dalam perbincangan enam pihak bagi melupus senjata nuklearnya.

Tetapi itu tidak bermakna Singapura tidak boleh menjadi rakan ekonomi negara komunis itu.

Apa yang pasti, lawatan Encik Yeo ke negara tersebut telah menghasilkan kejayaan penting:

Para pegawai Korea Utara bukan hanya akan mempertimbang secara positif untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asean, malah bersedia menjalin kerjasama dengan negara ini, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan budaya.

Ini membuktikan betapa Singapura, sebagai sebuah negara kecil, mampu memainkan peranan penting dalam menyuburkan semangat keamanan di tengah-tengah pergolakan realpolitik kuasa-kuasa besar.

Bukankah pepatah ada menyatakan: tak kenal maka tak cinta?

Pandangan | Komentar
Halaman 31, Berita Harian
Sabtu, 7 Julai 2008
3 Jamadilakhir 1429H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s