Ikhtiar kita tampilkan pimpinan terbaik

Pandangan

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

“Memang benar, masyarakat Melayu kian tinggi pendidikannya dan memahami tentang siasah. Tentulah kita inginkan seorang calon politik yang bukan sahaja bijak dari segi ilmiah, malah mendasari hati budi masyarakatnya dan seluruh watan.”

DI SELA-SELA 4.6 juta penduduk Singapura dan ribuan yang menetap di seberang laut, masih terus dicari calon pemimpin watan.

Ini memang misi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak 1950-an lagi.

Menurut Setiausaha Penganjur Khas PAP, Dr Ng Eng Hen, lebih 100 orang berpotensi sudah disenaraikan untuk pilihan raya umum mendatang.

Dalam wawancara di harian Inggeris, The Straits Times, pada 18 April lalu, beliau menyatakan pilihan raya dijangka diadakan pada atau sebelum 2011.

Jadi, antara lebih 100 calon itu, berapa peratuskah anak Melayu?

Ini soalan cepu emas. Daripada lebih setengah juta kaum Melayu/Islam, tentulah ada calon pemimpin yang berbakat.

Sanggup mereka tampil?

Ini kerana setiap kali seruan kepimpinan politik watan timbul, kita mungkin berasa kekurangan bakat untuk diketengahkan ke persada politik tanah air.

Memang benar, masyarakat Melayu kian tinggi pendidikannya dan memahami tentang siasah. Tentulah kita inginkan seorang calon politik yang bukan sahaja bijak dari segi ilmiah, malah mendasari hati budi masyarakatnya dan seluruh watan.

Kewibawaan dan ketokohan politik, kata para pengkaji sosial, boleh dibentuk kemudiannya apabila seseorang dicampakkan ke dalam kawah siasah.

Dalam zaman generasi pimpinan pertama, tokoh politik Melayu terdiri daripada wartawan (Encik Othman Wok dan Encik Rahim Ishak (Allahyarham), guru dan ketua kesatuan.

Wartawan dan guru masih lagi terdapat dalam generasi pimpinan kedua dan ketiga termasuk Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi (wartawan dan ahli sosiologi), dan rakan-rakannya yang telah berundur – Encik Sidek Saniff, Encik Yatiman Yusof dan Encik Harun Ghani (Allahyarham).

Kini kepimpinan Melayu termasuk Profesor Madya Dr Yaacob Ibrahim, jurutera Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed dan ilmiawan Dr Mohd Maliki Osman.

Namun dari segi agihan perjawatan, para anggota parlimen Melayu masih belum banyak berubah sejak zaman Encik Othman Wok sehingga kini.

Politik Singapura tidak serupa dengan negara-negara jiran yang mempunyai proses akar umbi yang rancak dan malah mendebarkan.

Bahkan kalangan pemimpin Singapura adakalanya mengeluh bahawa sukar mendapatkan bakat terbaik untuk tampil kerana mereka lebih cenderung berkhidmat di sektor swasta dan tidak sukakan sorotan ke atas kehidupan mereka.

Namun baik PAP mahupun parti-parti pembangkang seperti Parti Pekerja, usaha mencari bakat merupakan satu maraton.

Dulu, untuk mendapatkan calon pemimpin Melayu, lazimnya pelibatan dalam masyarakat dapat dikenal pasti.

Banyak pemimpin Melayu sebelum ini terlibat dalam gerakan masyarakat. Dr Yaacob pernah aktif dengan Yayasan Mendaki. Encik Masagos Zulkifli pernah mengetuai Persatuan Pelajar-Pelajar Agama Dewasa Singapura (Perdaus).

Oleh itu, tadahan ‘gerakan persatuan’ akan terus dinilai untuk mendapatkan bakat pimpinan Melayu.

Cuma apa yang diinginkan sekarang tentulah mendapatkan bakat terbaik. Dalam hal ini, pertubuhan mapan Melayu/Islam setempat sebenarnya boleh memainkan peranan dengan menarik bakat yang dirasakan berpotensi untuk menyertai mereka.

Bakat-bakat ini kemudian boleh digilap dengan diberi peluang memimpin sayap atau projek-projek penting.

Sayangnya, kalangan badan Melayu masih dipimpin oleh muka-muka lama – seolah-olah proses patah tumbuh, hilang berganti tidak berlaku.

Atau mungkin, sukar mendapatkan anak muda untuk diserap dalam pertubuhan yang seleranya menurut cara lama.

Sebenarnya, sekarang adalah masa terbaik untuk badan-badan mapan Melayu/ Islam mengadakan ‘sesi minum teh’, memandangkan pemimpin sedia ada telah pun memasuki usia senja.

Berkat bimbingan rapi dalam setahun dua, tenaga muda tentulah boleh mengambil alih teraju kepimpinan.

Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa satu sistem peralihan yang berkesan amat perlu sekali demi mengekalkan keberkesanan gerakan kolektif Melayu/Islam.

Andai ‘pengalaman’ dijadikan sandaran sebelum seorang muda boleh diangkat sebagai pemimpin, saya fikir ia satu hujah lapuk.

Masa berputar dengan ligat. Kita tidak boleh dinilai masih di takuk lama.

Pucuk pangkalnya, pemimpin masyarakat Melayu/Islam harus memainkan peranan mereka, bekerja bersama-sama parti pemerintah untuk mencari dan mengenal pasti bakat muda.

Pernah ada tanggapan bahawa konsep majmuk Singapura akan kelak menampilkan seorang pemimpin bukan Cina menerajui negara ini.

Sekalipun kita tidak mengharapkan dalam sedekad anak Melayu pemimpin negara, namun kita berharap lebih banyak jawatan tinggi negara, termasuk perkhidmatan awam, dapat disandang mereka. Ini akan memberi dorongan besar kepada semangat masyarakat kita.

Namun kita juga insaf, selepas lebih 200 tahun, barulah kini Barack Hussein Obama dapat dikemukakan sebagai calon presiden Parti Demokrat. Singapura belum pun setengah abad merdeka.

Mungkin sudah tiba masanya semacam ‘akademi’ pimpinan Melayu/Islam ditubuhkan untuk mengenal pasti bakat dan mengasahnya hingga berjaya. Bakat pula tidak khusus dari jalur konvensional tetapi meliputi pimpinan agama.

Bakat-bakat baru ini boleh mewarnai landskap pertubuhan Melayu/Islam agar rancak demi memenuhi tuntutan masa kini.

Tidak dinafikan, parti pemerintah sejauh ini berjaya mengetengahkan bakat muda Melayu/Islam yang baik bagi mewakili masyarakatnya di parlimen.

Adakala, kita perlu berani bermimpi jauh untuk membentuk semula kehidupan.

Berita Harian | Komentar
28 April 2008, Isnin
21 Rabiulakhir 1429H

 

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s