Gara-gara lagak hero

Suara Adam

Kerana ego suami larang isteri bekerja tapi malangnya
gaji tidak cukup untuk menyara keluarga

Oleh Chairul Fahmy Hussaini


KOMEN daripada empat rakan baru-baru ini mendorong saya mengongsinya bersama pembaca ruangan ini. Ini kerana, apa yang diketengahkan mereka kelihatan menyentuh sedikit sebanyak sikap dan ego Encik Adam kita.

Ia timbul semasa kami sedap borak-borak perihal sekitaran sosial masyarakat kita.

Masa kami bersembang, rakan saya yang pertama, yang pernah bekerja di sebuah agensi menguruskan kes-kes perceraian pasangan Melayu/Islam, dengan bersahaja berkata:

“Kalau dapat aku beri nasihat pada perempuan-perempuan Melayu kita yang belum kahwin, aku nak bilang, janganlah korang kahwin dengan lelaki Melayu kita, menyusahkan!”

Kata-katanya membuat saya terpempan sebentar, namun tidak dapat tidak, mengakui ada terselit kebenaran pada kata-katanya itu.

Yalah, hasil pengamatan sendiri dan menerusi kes-kes perceraian orang kita yang dikongsi beberapa rakan peguam menunjukkan, sesetengah Encik Adam kita ingin berlagak ‘hero’.

Sebaik berkahwin, tidak mahu isteri bekerja tetapi ingin ramai anak, ingin berkereta dan punya pembantu rumah. Tetapi masalahnya, Encik-encik Adam ni, disebabkan kurang kemahiran dan berpelajaran rendah, hanya mampu meraih gaji antara $1,200 hingga $1,600 sebulan.

Hmm… Encik Adam, mana nak ‘cekau’ duit untuk sara keluarga, bayar ansuran kereta, bayar gaji pembantu rumah, kalau isteri tak bekerja?

Paling ‘best’ sekali kata seorang lagi rakan, ada pula sesetengah Encik Adam kita benarkan isteri bekerja tetapi dengan syarat: “U boleh kerja tapi u kena serah duit gaji u pada i, untuk keperluan rumah…”

Kelakar. Isteri kerja macam nak rak, wang gajinya suami yang aturkan.

Ha… ha… ha!

Lebih kelakar lagi, bila saja sang isteri membantah, ada di antara Encik-encik Adam ini sepantas lipas kudung mengemukakan nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Nabi – bagi mengukuhkan hujah – isteri perlu patuh cakap suami.

Ha… ha… ha!

Tetapi yang paling melampau dan menggeramkan kami bila ada Encik Adam kita seakan tiada pertimbangan dan secara sewenangwenang menceraikan isteri mereka – menganggap perkahwinan ni macam main masak-masak masa kecik-kecik.

Sudah lah begitu, tatkala bercerai, ada di antaranya lari susup-sasap, hilangkan diri, sewa rumah atau tumpang rumah kawan, semata-mata kerana enggan pikul tanggungjawab bersama membesarkan anak.

Seorang lagi teman mengongsi cerita, ada juga Encik Adam kita yang bertindak berani, tidak mahu mengaku si anak itu anaknya dan sanggup keluar wang untuk periksa DNA – semata-mata nak elak bayar nafkah.

Mulut saya melopong mendengarnya. Ini bukan cobaan, tapi betul-betul kejadian…

Iktibarnya?

Saya rasa, Encik-encik Adam kita perlu lebih bertanggungjawab dan membuka gedung minda.

Egoisme tidak harus dijadikan sandaran tetapi memahami bahawa untuk menjayakan rumah tangga perlu saling memahami dan bekerjasama.

Keadaan hidup hari ini memerlukan pasangan suami isteri bekerja demi menampung kos hidup yang serba meningkat.

Kalau Encik Adam berasa mereka mampu memikul dua tugas untuk menyara keluarga dan membiarkan isteri tadbir rumah tangga, ia tidak menjadi masalah.

Jika tidak, isteri perlu membantu dengan dibenarkan bekerja.

Tetapi itu tidak bermakna suami berhak ambil kesemua wang gaji sang isteri dengan ‘alasan’ untuk tampung keperluan rumah tangga.

Itu tak aci ah brader…

Namun, kata seorang rakan wanita, di sebalik itu semua, pihak Cik Hawa juga ada masalahnya.

Beliau menceritakan bagaimana adik perempuannya, seorang pensyarah universiti, gelabah bila keluarga mentua ingin bertandang ke rumahnya dalam sehari dua lagi. Kegelabahan itu disebabkan adik perempuannya tidak pandai masak.

“Sejak kecil lagi, dia tidak pernah disuruh ke dapur, sekarang nak suruh buat sambal belacan pun terpinga-pinga.”

Alamak!

Berita Harian
Halaman 24, Ekstra|Adam
Sabtu, 19 April 2008
12 Rabiulakhir 1429H
08:31:49 pagi

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s