Kemunduran ummah – mana silapnya?

Pandangan 

Oleh: Chairul Fahmy Hussaini

MASYARAKAT di Barat hari ini begitu bimbang dengan kebangkitan Islam sejak ombak pelampau (ekstremisme) mencengkam. Ini kerana hidup bersama mereka adalah minoriti Muslim yang kian menegaskan hak mereka, termasuk jati diri.Sebagai warga Muslim, kita juga harus prihatin terhadap trend yang sangat membimbangkan ini.

Kebangkitan golongan pembangkit Islam hari ini lebih menjurus kepada prinsip dan tuntutan Islam yang ditafsir atau diterjemah secara harfiah – menyebabkan Muslim lebih terdorong untuk menilai sesuatu daripada sudut yang sempit dan terkepung.

Ini berlainan sama sekali dengan zaman Kebangkitan Islam (Islamic Renaissance) yang berlaku antara kurun ketujuh hingga kurun ke-14 Masihi.

Kebangkitan Muslim ketika itu melihatkan masyarakat Muslim – daripada golongan cendekiawan kepada jurutera sehinggalah pedagang dan fuqaha – memberi sumbangan besar kepada semua aspek kehidupan dan pembangunan ummah, mencakupi bidang-bidang seperti kesenian, pertanian, ekonomi, perusahaan, sastera, ilmu pelayaran, ketenteraan, falsafah, politik, sains dan teknologi serta ilmu perubatan.

Pada masa itu, masyarakat Muslim bukan saja memelihara peradaban Islam, malah menyumbang kepada penciptaan pelbagai produk dan lebih utama, pembangunan manusiawi dari segi pengurusan dan etika.

Kecemerlangan itu amat ketara sehinggakan Howard R. Turner menulis dalam bukunya yang diterbitkan pada 1997, Science in Medieval Islam (Sains di Zaman Pertengahan Islam):

‘Seniman, saintis, golongan bangsawan dan tenaga kerja Muslim secara bersama-sama mencipta satu budaya yang unik yang secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi kehidupan masyarakat di setiap benua.’

Namun, keadaan hari ini amat berlainan sekali.

Konsep pembangunan ummah dan ikatan persaudaraan diketepikan sama sekali. Apa yang dipentingkan adalah tafsiran secara harfiah bak pegangan Taleban, Al-Qaeda dan pelbagai pertubuhan lain yang memperjuangkan Islam secara sempit.

Ini menyebabkan kehidupan sebahagian besar masyarakat Muslim mundur – persis kehidupan di Zaman Kegelapan (Dark Ages).

Laporan Bank Dunia baru-baru ini menunjukkan kecuali Kuwait dan Jordan, hampir semua negara Arab mundur sistem dan pencapaian pendidikannya.

Tafsiran secara harfiah ala Taleban – melarang percampuran antara lelaki dan perempuan – menjadi punca kebanyakan wanita Afghanistan tidak dapat bersekolah dan menjadi buta huruf.

Kemunduran masyarakat Islam hari ini dapat disaksikan di mana saja.

Seorang cendekiawan sejarah Islam, Bernard Lewis, dalam bukunya, What Went Wrong? (Di Mana Silapnya), yang diterbitkan pada 2002, berpendapat kejatuhan ketamadunan Islam disebabkan kesilapan amalan sosio-budaya Muslim sendiri.

Untuk mengembalikan kecemerlangan Islam, hujahnya, ketepikan atau buang beberapa amalan yang membantutkan kemajuan masyarakat Islam itu sendiri.

Untuk itu, masyarakat Islam tambahnya, harus berani mendakap atau mengamalkan amalan Barat, yang suatu ketika dahulu diamalkan masyarakat Islam dalam memperkasakan ketamadunan mereka.

Buktinya:

  • Keunggulan Kerajaan Ummayah ( kurun 7 dan 8 )
  • Kekuasaan Kerajaan Abbasiyah (kurun 8 hingga 13)
  • Pemerintahan Uthmaniyah (kurun 15 hingga 20)

Walaupun Lewis boleh dianggap orientalis, namun ada cakap-cakapnya yang dapat diterima secara logikal.

Masyarakat Islam tidak harus ketinggalan dan mesti mendakap modenisme demi menikmati semula keutuhan sosio-ekonomi yang pernah dikecapi dahulu.

Untuk itu, masyarakat Muslim tidak harus memandang bulatbulat ke Dunia Arab atau Asia Barat saja untuk berdaya maju.

Bahkan seperti dianjurkan oleh Muhammad Abduh pada awal abad ke-20, contohi kemajuan baik Eropah dan Amerika Syarikat. Atau boleh saja kita contohi yang terbaik daripada Jepun dan Korea Selatan ketika ini.

Masyarakat Muslim juga perlu mendakap semangat pembaharuan, yakni mendekati golongan cerdik pandai Muslim-Eropah dan Muslim-Amerika untuk membangkitkan semula keunggulan ketamadunan Islam dalam ketiga-tiga aspek – sosiologi, ekonomi dan politik.

Hakikatnya dengan kuasa minyak dan gas yang dimiliki banyak negara majoriti Muslim, peluang untuk mempertingkat pendidikan yang relevan dan disuruh agama pasti terbuka luas.

Pokoknya, kepimpinan Muslim perlu teguh, cekap, amanah dan bervisi jauh demi membangunkan umat agar berfikiran luas dan berdaya saing.

Berita Harian, 7 Februari 2008
Khamis, 29 Muharam 1429H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s