Anjakan genting untuk Majlis Bahasa

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

DEBARAN yang dirasai golongan penulis dan sasterawan Melayu setempat telah pun berakhir seusainya majlis Anugerah Persuratan 2007 pada 29 Disember lalu.

Pemenang bagi pelbagai genre sastera dan penerima Anugerah dan Anumerta Tun Seri Lanang telah diumumkan. Tahniah. Tentunya sesuai dalam suasana penganugerahan dan sambutan Tahun Baru – Masihi dan Hijrah – dapat kita bertanya, apakah azam kita untuk mempertingkatkan dan memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di sini?

Ini wajar diutarakan kerana perkembangan sastera Melayu kelihatannya tidak selancar yang diidamkan.

Malah ada kala pergerakannya lewat kebelakangan ini agak mengecewakan, ibarat kereta rosak enjin – bergerak-bergerak berhenti, bergerak-bergerak berhenti.

Hal ini diakui sendiri oleh beberapa tokoh besar persuratan Melayu dalam wawancara mereka bersama akhbar ini.

Atas dasar itu, dirasakan amat sesuai sekali jika satu semakan besar-besaran dan kajian mendalam dibuat demi menghidupkan dan menentukan secara jelas hala tuju gerakan kebahasaan dan kesusasteraan Melayu tempatan.

Ini perlu dimengertikan kerana lewat kebelakangan ini, kelompok penulis, penyair, pencinta dan pejuang bahasa Melayu di sini kian rancak ‘memasarkan’ bahasa dan sastera Melayu menerusi karya serta aktiviti yang dianjurkan sendiri oleh mereka.

Lihat saja jumlah buku berbahasa Melayu yang diterbitkan antara 2005 dengan 2006: agak banyak.

Terdapat sekitar 45 buah buku semuanya – merangkumi novel, kumpulan cerpen, antologi puisi, kumpulan drama dan buku pengetahuan – telah diterbitkan.

Baru-baru ini, seorang lagi penyair setempat, Rafaat Hamzah, menghasilkan kumpulan puisi sulungnya, Yang Bilang.

Sehari sebelum pelancaran buku itu, sekumpulan penyair muda mengadakan pertemuan di The Arts House dan mengadakan Rembat Puisi.

Hasil pertemuan sulung di bangunan lama Parlimen itu, yang turut mendapat liputan pihak media, para penyair muda sepakat mengadakan Rembat Puisi secara bulanan.

Ada kemungkinan acara ini diperkenalkan di peringkat sekolah.

Sebulan dua lalu, kumpulan penulis/penyair 1990-an pula memberanikan diri membentuk Angkatan Baru Sastera Singapura (Abass).

Mereka yang rata-rata dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun kini berusaha menerbitkan antologi puisi dan berazam menjadikannya sebagai salah satu buku teks sastera Melayu bagi pelajar di sini.

Di kalangan mereka juga, ada yang berura-ura menerbitkan cakera padat lagu-lagu puisi.

Namun, kesemua usaha ini tidak bermakna jika wadah, peluang dan ganjaran amat terhad.

Pada masa yang sama, pendekatan kita dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di sini perlu diubah.

Dalam hal ini, tidak keterlaluan rasanya jika Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dapat mengadakan semakan atau kajian semula: bidang kerja dan keberkesanannya.

Pertama, merubah kedudukan Singapura dalam Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia, daripada ‘pemerhati’ kepada status ‘anggota’.

Kedudukan Singapura sebagai ‘pemerhati’ dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) sejak 12 tahun lalu bak canggung.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Singapura.

Sememangnya kita memahami ada harga di sebalik perubahan status Singapura daripada ‘pemerhati’ kepada ‘anggota’.

Ini bermakna Singapura perlu menanggung kos mengadakan sidang di sini, katakanlah sekitar $500,000. Ini satu jumlah besar!

Namun, hal ini boleh dirundingkan di peringkat rantau.

Selain sokongan pemerintah, MBMS harus lebih aktif dan kreatif dalam menarik tajaan.

Untuk itu, ia boleh mencuba mendapatkan pengecualian cukai bagi derma yang diterimanya.

Kita yakin akan azam pemerintah bak disuarakan oleh Menteri Kedua Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Vivian Balakrishnan, dalam ucapannya di majlis anugerah persuratan lalu, menekankan bahawa ‘bahasa dan budaya Melayu harus terus kekal berdaya maju, relevan dan dinamik’.

Kedua, membuat semakan ke atas keberkesanan memasyarakatkan sebutan baku.

Para guru, juruhebah radio dan televisyen dan golongan rujukan (role model) perlu dihimpunkan untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Sebutan baku sudah digugurkan di Malaysia.

Sebutan bahasa Indonesia pula tidaklah sebaku yang diharapkan.

Jadi, di manakah kedudukan kita?

Ketiga, nilai wang yang diberikan untuk pemenang Anugerah dan Anumerta Tun Seri Lanang harus kembali kepada jumlah asal atau dipertingkat.

Bak kata seorang teman dalam perbincangan lewat forum sastera:

‘Pengiktirafan harus diberi dengan jujur dan penuh makna.’

Dalam sembang-sembang lewat maya itu, seorang lagi teman mengeluh:

‘Memang terasa kelunturan nilai Tun Seri Lanang daripada cara ia disampaikan kali ini.’

Para penyair melahirkan rasa dukacita apabila mendapat tahu nilai wang yang diterima si penerima anugerah Tun Seri Lanang tahun ini telah dikurangkan daripada $7,000 kepada $5,000.

Nilai anugerah Anumerta yang dulunya $5,000 kini hanya $2,000.

Soalannya:

Benarkah begitu? Mengapa ini berlaku?

Seharusnya, perkara seperti ini dijelaskan.

Dalam era yang mengkehendaki kita bersikap telus, wajar rasanya pihak MBMS menjelaskan sebab atau alasan tentang nilai penganugerahan tadi.

Keempat, perlunya MBMS menubuhkan sebuah pejabat dengan urus setia tetap bagi melancarkan segala urusan bahasa dan persuratan Melayu.

Jika ini tidak dapat dilakukan, satu jalan keluar perlu difikirkan, umpamanya bekerjasama dengan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura sebagai jabatan urus setia MBMS.

Ini memandangkan, pelestarian budaya dan seni Melayu giat didukung banyak badan Melayu seperti Sriwana, Perkumpulan Seni sehinggalah kepada 4PM.

Kelima, MBMS perlu menarik bakat baru untuk meneruskan khidmatnya. Ini bak patah tumbuh hilang berganti. Tenaga lama yang berpengalaman pula diserap dalam dewan penasihatnya.

Kegiatan MBMS perlulah dibuat saban bulan dengan ‘mengagihkannya’ kepada badan-badan Melayu sehingga para siswa dan pelajar.

Ini akan memastikan persuratan Melayu terus rancak di Singapura.

Berita Harian, 9 Januari 2008
Rabu, 30 Zulhijah 1428H

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s