Perjalanan dan teka-teki

Selamat menyambut Maál Hijrah 1429H yang bakal menyua 10 Januari ini!

Selamat menyambut tahun baru Masihi!

Bagaimana agaknya laluan hidup untuk sehari-hari ini?

Satu laluan yang penuh ranjau dan berteka-teki tentunya…

9 pagi tadi, ku kembali ke Sekolah Menengah Pasir Ris (PRSS) atas undangan mantan pengetua, Cik Paramitha Bandara, yang mahu bekas pelajar yang kini dianggap telah berjaya untuk mengongsi pengalaman dan ‘resipi hidup’ mereka.

Bersama seorang lagi bekas pelajar, yang hanya dikenali sebagai, Rowena, dan suaminya, kami bertiga ‘turun gelanggang’, berdepan dengan sekitar 300 pelajar tingkatan empat dan lima, dan sekitar 15 guru.

Rowena seorang saintis penyelidik, berpangkalan di sebuah universiti di Ontario, Kanada. Suaminya juga seorang saintis, berada di institusi yang sama, mengikuti pengajian  peringkat doktorat Doktor Falsafah (PhD).

Tujuannya hanya satu, untuk memberi rangsangan dan kesedaran kepada golongan pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu agar memanfaatkan sebaiknya peluang yang tersaji di depan mata dan untuk menggunakan sepenuhnya masa yang kini berada di pihak mereka.

Aku di pentas dewan, bingung seketika. Tidak tahu apa yang mahu diluahkan, tidak pasti sama ada rencah yang bakal dikongsi cukup untuk melazatkan ‘resipi hidup’ untuk dibekalkan kepada pelajar-pelajar ini yang sememangnya tidak ketahui betapa tajamnya onak duri kehidupan yang bakal dilalui.

Aku mulakan dengan pengalaman ringkas saban hari di sekolah masa itu. Tiba di sekolah pada 7.30, seringkali lewat. Setengah jam kemudian aku sudah di rumah.

Sekolah bukan duniaku!

Jikapun di sekolah, masa berjam-jam diluang di bilik lukisan, melukis, menyiapkan tie-n-dye ataupun asyik membuat tembikar, ataupun meraban entah ke mana.

Dalam darjah, aku bersama yang lain asyik membelek majalah lucah, atau bercerita entah apa-apa. Ah! Tidak sekali terfikir aku akan lemas dalam realiti masa.

Itu aku beritahu anak-anak itu.

Namun, kegagalan mencatat keputusan yang baik untuk peperiksaan GCE ‘O’ memberi kesedaran, dan aku ulangi tahun akhir. Namun, hampir tiada bezanya, kecuali menikmati kredit untuk bahasa Inggeris.

Bekerja sebagai pencuci periuk belanga di Hotel Le Meridien Changi dengan gaji $30 sehari dan setelah itu sebagai kerani bank dengan pendapatan $700 sebulan menyedarkan aku sukarnya laluan hidup ini – tanpa ijazah, tanpa pangkat, tanpa nama, tanpa visi.

Rakan-rakan sedarjah, ada yang tewas dek keadaan yang tidak kenal siapa. Ada yang menggagah diri perjuang nasib dan mampu bernafas, walau adakala hampir-hampir lemas diasak ombak nyata.

Aku ikuti sekolah malam, bermula dari peringkat sijil, dan aku mengengsot perlahan-lahan, meraih diploma dan diploma lanjutan, sebelum mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Tekad aku tidak terhenti di situ, meski menikmati pekerjaan yang baik dan gaji yang menarik. Alang-alang mandi biar basah, dan aku berazam memiliki sarjana dan itu yang kugenggam selepas dua tahun berhempas-pulas dengan masa dan kerenah sekitaran.

Itu aku bilang anak-anak ini.

Dan tepukan gemuruh aku terima. Apakah tepukan itu bererti aku akan berhenti mendalami ilmu yang aku tertinggal masa lalu?

Tidak. Ia satu tepukan yang menyalut cabaran.

Aku kan ke depan!

Melayu bukan bacul, yang mengalah bila cabaran menyua. Melayu perlu maju!

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Luahan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s