Anugerah dan seri yang tiada

SETELAH seketika menyepi diri dari persada persuratan tanahair kerana sibuk tugas dan belajar, petang semalam saya meluang waktu menghadirkan diri di majlis Anugerah Persuratan 2007 anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Syabas diucapkan kepada para pemenang pelbagai bidang kesusasteraan, tahniah juga kepada Pak Djamal Tukimin kerana dinobatkan Anugerah Tun Seri Lanang. Usaha dan dedikasinya dalam memartabatkan bahasa dan sastera Melayu sememangnya diakui.

Sememangnya majlis penganugerahan yang bermula jam 3 petang di Hotel Orchard itu, merupakan mangkin dalam merancakkan lagi perkembangan kesusasteraan Melayu di sini.

Sayangnya, di dewan yang berhawa dingin itu saya berpeluh dan resah.

Ini disebabkan aturcara majlis berlangsung dalam keadaan agak ‘berselerak’. Beberapa isu ingin diketengahkan di sini, terutama dari segi adab dan tatatertib majlis, dengan harapan perkara yang ditimbulkan tidak lagi berulang.

Paling menonjol adalah ketidakhadiran beberapa pemenang anugerah.

Sedang seorang dua menghantar wakil, terdapat pemenang lain yang tidak menghantar wakil bagi menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Dr Vivian Balakrishnan, juga Menteri Kedua, Penerangan, Perhubungan dan Kesenian.

Kegagalan itu membuatkan tetamu (saya rasa sekitar 200 orang, termasuk dif-dif kehormat luar negara) termangu seketika menanti wakil yang tidak kunjung tiba.

Antara penerima anugerah yang tidak hadir dan tidak menghantar wakil itu termasuklah Ketua di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Pengarah Agung, Pusat Pengajian Kontemporari Islam Singapura.

Wajar dinyatakan di sini, ketiadaan mereka mungkin disebabkan aral yang melintang, atau keperluan peribadi mahupun keluarga yang mendesak.

Wallahu’alam.

Namun, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Pihak penganjur seharusnya mampu menjaga adab majlis dan tidak membiarkan ketidakhadiran penerima anugerah mengenjotkan suasana, dan secara pantas dapat melantik wakil dari kalangan mereka sendiri untuk memastikan perjalanan majlis lancar dan pak menteri tidak ternanti-nanti di pentas untuk menyampai anugerah.

Apatah lagi, yang menganjur bukan anak muda tetapi golongan yang bertahun sudah menganjur majlis sama dan serupa.

Ketelitian harus ada.

Perkara kedua yang ingin diketengahkan adalah cara penganjur ‘memuliakan’ Pak Djamal selaku penerima Anugerah Tun Seri Lanang. Pemberian anugerah TSL kepada Pak Djamal kelihatan kurang semaraknya.

Lebih membingungkan, beliau diminta berucap di bawah pentas dan bukan di atasnya. Kenapa?

Kemanakah perginya budi bicara kita?

Penganugerah Anugerah Anumerta Tun Seri Lanang kepada Allahyarham Hamzah Hussein juga tiada serinya. Watikah yang disampaikan amat ringkas dan kelihatan biasa-biasa saja.

Seharusnya watikah itu lebih mendalam dan bermakna, menggambarkan pengorbanan, perjuangan dan kegigihan Allahyarham selama bergelumang dalam arena persuratan dan perfileman Melayu. Sayangnya, ini tidak terjadi dan anak-anak muda yang hadir di majlis petang tadi seakan ‘hilang punca’ akan gerangan sebenar individu yang diakui kehebatannya hanya selepas pemergian beliau.

Perkara keempat yang turut menarik perhatian penulis adalah tiadanya tokoh-tokoh ulung persuratan Melayu setempat di majlis itu. Kecuali kehadiran seorang dua tokoh, ketiadaan penerima TSL terdahulu dan sasterawan besar sebagai penyeri majlis amat terasa.

Ke mana pergi mereka?

Ini antara pengamatan yang sempat dihimpun dan diketengahkan.

Mungkin perkara yang disebutkan di sini dianggap kecil dan remeh tetapi bagi penulis, kurangnya seri di majlis ini bermakna, kita belum dewasa dalam memartabat bangsa.

Alang Budiman
30122007, Ahad
00:27:25 tghmalam

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s