Perjalanan bagi atasi perubahan iklim masih jauh

Persetujuan untuk laksana Agenda Bali hanya permulaan dan satu rangsangan

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PERSIDANGAN Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim (UNFCCC) di Bali, Indonesia, yang berakhir minggu lalu menggariskan satu hakikat:

Pentingnya dalam mengejar kemewahan ekonomi, negara-negara maju dan membangun merubah sikap demi mengurangkan kadar pengeluaran karbon dioksida ke atmosfera, dan perlunya manusia merubah cara hidup demi memelihara bumi ini.

Namun, merubah sikap dan cara hidup tidak semudah menyarankannya.

Buktinya:

Sepanjang persidangan dua minggu di pusat peranginan The Westin Resort, Nusa Dua, Bali, dunia menyaksikan bagaimana para pemimpin dan perwakilan dari 187 negara hampir-hampir gagal mencapai kata sepakat untuk menghasilkan satu agenda bagi pelan induk yang ingin dilaksana mulai 2009 bagi menggantikan Protokol Kyoto, yang bakal berakhir pada 2012.

Sepanjang tempoh itu, media melihat wajah-wajah pemimpin yang hampir-hampir kewalahan, namun cekal dalam usaha mereka mendapatkan persetujuan daripada semua pihak, terutamanya daripada adikuasa dunia, Amerika Syarikat, untuk memberi kerjasama dan komitmen bagi Agenda Bali demi menangani masalah pemanasan global dan memelihara alam sekitar.

Persetujuan yang perlu mereka capai antara lain merangkumi usaha:

  • menangani kesan perubahan iklim, seperti banjir dan kemarau
  • mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (karbon dioksida)
  • memanfaatkan teknologi mesra alam dan mesra iklim, dan
  • mendapatkan sumber kewangan demi melaksana pelan induk yang dipersetujui

Harapan para perwakilan untuk menamatkan rundingan pada 2009 cukup genting demi memastikan segala persetujuan bagi pelan induk yang dilakar dapat dilaksana pada 2013, selepas berakhirnya Protokol Kyoto pada 2012.

Tentunya, ‘kesediaan’ Amerika Syarikat untuk menyetujui kerangka Pelan Bali pada hari terakhir persidangan disambut dengan helaan nafas lega.

Seperti dinyatakan oleh pengerusi UNFCCC, Menteri Sekitaran Indonesia, Encik Rachmat Witoelar: ‘Kita sudah punya ‘roadmap’ (pelan rancangan), kita punya agenda tetapi kita punya batas waktu.

‘Kita punya tugas yang besar di depan kita dan masa untuk mencapai persetujuan itu cukup pendek sekali, jadi kita harus bergerak pantas.’

Pada peringkat awal persidangan, para perwakilan telah diingatkan bahawa jika ‘kegeringan’ dunia tidak diendahkan dan kata sepakat tidak dicapai, suhu iklim akan meningkat secara purata sehingga 6 darjah Celsius pada akhir kurun ini.

Peningkatan itu boleh mengugat secara serius kehidupan, ekosistem dan ekonomi dunia.

Atas dasar itu, persetujuan yang dicapai membawa makna yang cukup besar.

Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Eksekutif UNFCCC, Encik Yvo de Boer, yang semasa ditemui pihak media berkata: ‘Ini merupakan satu kejayaan besar, satu peluang nyata bagi masyarakat antarabangsa untuk memerangi perubahan iklim dengan jayanya.

‘Banyak pihak akur pentingnya tindakan pantas bagi mengatasi masalah perubahan iklim dan kini (mereka) telah memberikan respons politikal seperti yang dikehendaki pihak saintis.’

Menghargai usaha para pemimpin dunia dan perwakilan dalam merealisasikan Agenda Bali, Setiausaha Agung PBB, Encik Ban KiMoon berkata: ‘Kita telah melangkah jauh, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.’

Apa yang dikatakan Setiausaha Agung PBB itu ada benarnya.

Namun, kejayaan yang dicapai di Bali bukanlah penamat, sebaliknya, adalah permulaan bagi satu perjalanan yang panjang.

Ia perlu dilihat sebagai ransangan dan juga dorongan untuk masyarakat dunia mengembalikan kesihatan bumi ini.

Kita juga boleh memainkan peranan untuk mengembalikan kehijauan bumi.

Antara perkara kecil yang boleh kita lakukan ialah:

  • gunakan pengangkutan awam, kurangkan penggunaan kereta
  • jangan membazir air
  • kitar semula barangan yang boleh dipakai.
  • elak penggunaan plastik semasa berbelanja di pasar atau pasar raya

Perkara-perkara ini seharusnya mampu kita lakukan sebagai manusia yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Bolehkan?

Berita Harian, 27 Disember 2007, Khamis

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s