Strategi ampuh untuk bina azam perjuangan belia

SEJAUH mana kita telah berjaya menyelami hati budi, memahami isi hati dan pemikiran belia kita atau bersedia mendengar pandangan, persoalan, kritikan atau idea yang dikemukakan mereka?
   Persoalan ini timbul setelah menyaksikan bagaimana remaja kita, baik Melayu mahupun bangsa asing, memberi sepenuh tumpuan semasa menghadiri Konvensyen Belia yang baru lalu bagi membincangkan satu isu penting yang menjadi ancaman jagat masa ini – terorisme.
   Satu persatu persoalan diajukan. Satu persatu isu mereka bangkitkan, menginginkan jawapan daripada anggota panel, yang hampir kesemuanya merupakan pakar dalam bidang itu.
   Daripada persoalan yang menyentuh tentang trend pengaruh Islam liberal terhadap masyarakat Muslim di Barat sehinggalah mengenai letak duduk jihad’ yang sebenar-benarnya dalam Islam.
   Soalan-soalan berat yang dikemukakan sepanjang sesi lebih dua jam itu jelas menunjukkan remaja kita sememangnya dahagakan bimbingan daripada golongan yang lebih arif dan menginginkan pemahaman lebih mendalam tentang isu pengganasan dan Islam.
   Kesediaan Taman Bacaan Pemuda-Pemudi Islam Singapura untuk menganjurkan konvensyen belia dengan tajuk Memerangi pengganasan: Mengelakkan pengradikalan belia dalam dunia sekular dan sejagat itu sememangnya satu langkah berani dan
bijak.
   Lebih penting lagi, perbincangan tersebut mampu membuat mereka lebih memahami konteks yang dibincangkan – bahawa pengganasan atau terorisme adalah isu serius.
   Apatah lagi, mereka merupakan golongan paling terdedah kepada pengaruh radikalisme.
   Lihat saja pada apa yang berlaku dalam siri pengeboman di Bali pada Oktober 2005.
   Ketiga-tiga pengebom nekad yang terlibat didapati berusia antara 20 dengan 25 tahun.
   Pengebom nekad bagi siri pengeboman stesen kereta api bawah tanah di London pada Julai 2005 pula bahkan lebih muda – antara 18 dengan 30 tahun.
   Sedihnya, kesemua merek ini sebelumnya melahirkan keinginan untuk mendalami agama.
   Sayangnya, dek tidak dapat membezakan antara kaca dengan permata, mereka menjadi catur si petualang yang menjanjikan syurga dan bidadari.
   Oleh itu, kita harus melihat konvensyen ini sebagai permulaan untuk terus mendekati dan melindungi belia kita.
   Saranan Anggota Parlimen bagi GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, agar belia mewujudkan satu jaringan pertahanan siber harus diberi pertimbangan wajar oleh pertubuhan Melayu/Islam.
   Demi mengelakkan belia kita turut menjadi mangsa petualang yang bertopengkan agama, badan-badan setempat termasuk Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) perlu bekerjasama dan membantu belia ini membangunkan laman Internet sedemikian.
   Laman itu kelak bukan sahaja perlu menerangkan tentang bahaya terorisme bahkan juga menyediakan maklumat terperinci tentang Islam dan agama-agama lain yang sememangnya mempromosikan keamanan dan kasih sayang.
   Laman itu juga perlu bersifat interaktif, membolehkan belia mengajukan soalan dan mendapat jawapan daripada sekretariat yang dibentuk.
   Dengan cara ini, mereka dapat dididik dalam membezakan antara mesej atau teks yang berbaur radikalisme.
   Kata Ketua Pusat bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan dari Institut Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Rohan Gunaratna, ancaman paling berbahaya yang dihadapi
dunia hari ini bukanlah pengganasan, tetapi sebaliknya fahaman radikal. Fahaman ini jika tidak dibendung, katanya, mampu merubah sikap seseorang individu sehingga tergamak membunuh insan tidak berdosa.
   Memandangkan wadah utama belia merupakan Internet, ia menjadi alat penyebaran utama fahaman itu.
   Khidmat Risik Belanda dalam laporannya pada 2004 telah mengenal pasti lapan jenis radikalisme yang bertopengkan Islam – dari jenis mereka yang tidak ganas tetapi antidemokrasi sehinggalah kepada golongan Muslim yang bersedia
menggunakan kekerasan.
   Laporan itu juga menyatakan ramai belia Muslim di Barat kini menghadapi krisis identiti dan ingin menjadi Muslim yang baik, tetapi mereka dikatakan mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca di Internet dan syarahan yang
disampaikan oleh imam-imam asing.
   Dalam hal ini, belia-belia kita tidak terkecuali dan radikalisme atau pengganasan yang tidak mengenal sempadan.
   Kita tidak punya cara lain, dan masa juga tidak menyebelahi kita.
   Usaha perlu dilakukan bagi melindungi belia kita seberapa segera.

Berita Harian, 29 Januari 2007, Isnin

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s