Tembok pemisah antara dua dunia

ISRAEL DAN PALESTIN – DEKAT DI MATA, JAUH DI HATI

Hubungan Israel-Palestin semakin membahang ekoran pembinaan Tembok Keselamatan

KETIBAAN wartawan di Baitulmakdis bagi membuat liputan lawatan rasmi lima hari Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, ke Israel dan Palestin baru-baru ini disambut dengan terikan mentari dan kedinginan tiupan angin.

Keadaan itu bagai mencerminkan hakikat sebenar suasana politik Israel-Palestin – yang bercampur-aduk.

Ini kerana kedua-dua pihak masih belum dapat menghuraikan satu duri pertikaian yang membelenggu rakyat kedua-dua negara – pembinaan Tembok Keselamatan oleh rejim Israel di sekeliling persempadanan mereka.

Disebabkan pembinaan tembok setinggi lapan meter dan sepanjang lebih 662.8 kilometer itu, hubungan Israel dan Palestin yang sekian lama dingin kini membahang.

“Tembok ini tidaklah cantik. Kami tidak sukakannya tetapi ia amat berkesan dalam mencegah serangan ganas dan pengeboman nekad yang dilakukan warga Palestin,” kata Encik Israel Kimhi, 69 tahun, semasa diwawancara Berita Harian di Persiaran Baitulmakdis bulan lalu.

Beliau yang juga perancang pembangunan bandar dan penyelidik kanan di Institut Baitulmakdis bagi Pengajian Israel berkata:

“Kos membina tembok ini amat tinggi, sekitar AS$2 bilion (S$3.05 bilion), dan memakan masa. Ratusan orang diambil bekerja bagi membinanya.

“Keputusan yang diambil untuk membina tembok ini sebenarnya adalah langkah paling bererti yang dibuat sejak 1967.

“Meskipun tembok ini bertujuan menjamin keselamatan rakyat Israel, kesan sosial dan ke atas ekonomi amat besar sekali,’ ujarnya.

Menurut beliau yang juga editor buku Pagar Keselamatan Sekeliling Baitulmakdis: Implikasi ke atas Bandar dan Penduduknya, sejak tembok itu didirikan pada 2001, Israel berjaya mengurangi kadar serangan ganas sehingga hampir ke paras sifar.

Tambahnya, keadaan yang serupa juga dicatatkan di Jaluran Gaza.

Namun, beliau tidak menafikan meskipun tembok itu dapat mencegah serangan ganas, ia tidak dapat membendung rasa kecewa dan marah rakyat Palestin terhadap Israel.

Dalam bukunya, Encik Israel telah memberi amaran bahawa “pembinaan tembok ini kemungkinan meningkatkan penyertaan penduduk di Timur Baitulmakdis untuk menyertai serangan ganas”.

Hal ini tidak dinafikan Encik Nassar Nassar, 38 tahun, penduduk kampung di Jania, Ramallah.

Menurutnya, tindakan Israel mendirikan tembok itu bagi menjamin keselamatan rakyat mereka adalah helah semata-mata dan hanya untuk mengabui pandangan masyarakat antarabangsa.

Hakikatnya, pembinaan tembok itu sebenarnya adalah untuk meluaskan pendudukan mereka.

“Sebelum ini saya hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk ke tempat kerja, sekarang disebabkan adanya tembok itu, saya mengambil masa lebih sejam kerana laluan yang sebelum ini hanya 15 kilometer telah menjadi 55 kilometer jauhnya.

“Saya khuatir sekiranya ibu, isteri atau anak-anak jatuh sakit kerana kami perlu berjalan lebih 40 kilometer untuk ke hospital,” keluhnya.

Setiausaha Akhbar kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Encik Mohamed Edwan, semasa ditemui di pejabatnya berkata Israel sebenarnya telah mendirikan 800 pusat pemeriksaan di sepanjang tembok keselamatan di Tebing Barat saja.

Ini, katanya, telah menyukarkan perjalanan rakyatnya yang bekerja di Israel dan kemasukan barangan ke negara itu – sekali gus menjejas nadi ekonomi Palestin.

“Tembok yang didirikan itu adalah tembok perkauman yang didirikan Israel untuk memagari bandar dan kampung di Palestin, termasuk Baitulmakdis dan mengasingkannya dari Tebing Barat,” ujarnya.

Katanya, sejak tembok keselamatan itu didirikan, lebih 45,000 rumah dimusnahkan oleh kereta kebal dan jet pejuang F-16 milik tentera Israel dan lebih dua juta pokok ditebang oleh askar Israel dan peneroka Yahudi.

Israel juga memusnahkan 80 peratus tanah dan kebun milik rakyat Palestin dan menyebabkan penduduk di Jaluran Gaza kini hidup melarat dengan nilai kehidupan kurang AS$2 ($3) sehari, katanya.

Menurut Perjanjian Oslo yang dimeterai pada 1993, Palestin bersedia menerima kembali hanya 22 peratus keluasan asal tanahnya yang diduduki Israel 40 tahun lalu.

Namun, pembinaan tembok itu telah memagari hanya 5 peratus wilayah Palestin.

Apabila siap didirikan nanti, pergerakan warga Palestin di Tebing Barat dan Jaluran Gaza hanya terhad di kawasan kurang 12 peratus daripada tanah asal Palestin.

Ini telah memburukkan keadaan.

Lebih buruk lagi apabila Israel menyatakan tembok itu melambangkan persempadanan antara Israel dan Palestin.

Tidak ramai mengetahui bahawa idea pembinaan tembok bagi menjamin keselamatan rakyat Yahudi telah dicetuskan seawal 1980 lagi, sewaktu mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ariel Sharon, masih lagi Menteri Perumahan negara itu.

Cadangan awal adalah untuk mendirikan tembok keselamatan hanya di Jaluran Gaza dan 42 peratus daripada keluasan Tebing Barat, yang membentuk keseluruhan entiti Palestin.

Israel berkeras mempertahankan langkahnya membangunkan tembok keselamatan bagi mencegah serangan ganas ke atas rakyatnya, tetapi Palestin mempertikaikannya dan menyatakan Israel sebenarnya mahu merampas tanah yang selama ini menjadi hak rakyat Palestin.

Tidak dinafikan kedua-dua pihak yang ditemui wartawan mengakui bersedia untuk kembali ke meja rundingan pada bila-bila masa.

Namun, hal ini tidak terjadi. Hakikatnya, konflik Israel-Palestin amat rumit dan sukar dimengertikan orang biasa.

Inilah realitinya.

– Berita Harian, 12 Mei 2007, Sabtu

Penulis membuat liputan lawatan rasmi Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo, ke Israel dan Palestin antara antara 27 April hingga 3 Mei 2007.

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s