Pendirian S’pura dalam perkukuh jalinan dua benua

DIAM tak diam sedekad sudah usia Yayasan Asia-Eropah (Asef).

Dalam merancang pembentukannya pada 1997 dulu, para pemimpin Asia dan
Eropah, menyedari peri pentingnya usaha meningkatkan hubungan antara dua benua itu.

Bukan setakat hubungan politik dan ekonomi, tetapi lebih luas lagi, merangkumi budaya, intelektual dan antara masyarakat.

Mengapa Singapura begitu bersungguh-sungguh dalam memastikan Asef dapat bertakat?

Ini dijelaskan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor S. Jayakumar, yang berkata yayasan yang dibangunkan di sini itu berperanan penting dalam memastikan hubungan Asia-Eropah terus terjalin menerusi dialog berterusan, penerokaan bersama dan kerjasama praktikal.

‘Ia menggambarkan satu pelaburan dalam memperkaya masa depan masyarakat Asia dan Eropah,’ ujar beliau semasa berucap di majlis meraikan ulang tahun ke-10 Asef baru-baru ini.

Hasil iltizam dan kegigihan para pemimpin dua benua itu, sepanjang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu Asef telah melaksanakan lebih 310 projek di pelbagai lokasi dan berhubungan dengan lebih 13,500 peserta dari Asia dan Eropah.

Tujuannya hanya satu: memupuk hubungan sosio-politik, sosio-ekonomi serta sosio-budaya yang dapat dimanfaatkan masyarakat secara meluas – merentasi perbezaan kaum dan budaya.

Sokongan yang diberi Singapura terhadap penubuhan Asef menggambarkan hasrat dan azam pucuk pemimpin negara ini untuk memupuk hubungan akrab dengan setiap negara dunia.

Ini tanpa mengira prinsip atau ideologi yang menjadi pegangan atau sandaran sesebuah negara itu – baik China (komunis) mahupun Amerika Syarikat (demokrasi), Iran (Islam), Israel (Yahudi) ataupun Italy (Katolik).

Jika diamati, memang benar komen teman sekerja dalam komentarnya, Cabaran kita untuk berdikari (BH, 19 April), bahawa Singapura menghadapi cabaran penakatan lebih besar kerana republik ini hanya punya modal insan dan tiada kekayaan sumber asli.

Dalam era ekonomi saling bergantung ini, Singapura tidak mampu memencilkan diri apalagi bermusuhan dengan sesiapa.

Atas dasar itu, apakah letak duduk dan pendekatan sebenar kita dari sudut perhubungan antarabangsa?

Secara ringkas, ia dapat dirumuskan begini:

Usaha negara ini menjalin hubungan kukuh dengan China dan India dan langkah mempererat hubungan sedia ada dengan Malaysia dan Indonesia perlu dilihat dari aspek lebih luas.

Ini memandangkan daya saing Singapura bukan terletak hanya pada jumlah rizab dan keuntungan pelaburan ataupun kedudukannya sebagai salah sebuah pusat kewangan dunia, tetapi ia juga berpaksi pada keupayaan modal insan dan keikhlasan watan berkongsi kepakaran yang ada.

Cuba kita sorot pada salah satu aspek penting – ekonomi.

Lihat sahaja model pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang kita bangunkan di China serta Indonesia dan kemungkinan besar nanti di India.

Jika ini tidak mencukupi, lihat pula kerjasama ekonomi menerusi pembangunan prasarana antara Singapura dengan pelbagai negara di Timur Tengah.

Baru-baru ini pula dilaporkan usaha syarikat Singapura membangunkan satu projek besar di wilayah timur Afrika Selatan yang dikatakan akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan lebih 800 pekerjaan di negara itu.

Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, yang baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke Kazakhstan, telah menyatakan kesediaan negara ini menawarkan kepakarannya kepada negara tersebut dan negara-negara lain yang berminat memanfaatkan kepakaran itu.

Dekat sini, pemerintah berusaha menarik pelaburan asing untuk melabur di Indonesia menerusi pembentukan SEZ di kepulauan Riau – Batam, Bintan dan Karimun.

Bahkan, disebabkan pembangunan SEZ jugalah negara itu mula dapat memanfaatkan tempiasnya – menjual’ tempat-tempat menarik sekitar Kepulauan Riau dan seluruh gagasan Indonesia demi menarik pelancongan antarabangsa.

Jumaat lalu, pemimpin Singapura dan Indonesia bertemu di Bali bagi memeterai
perjanjian ekstradisi dan kerjasama pertahanan.

Jika diamati, usaha pemimpin Singapura dan Indonesia ini memaparkan kematangan politik kedua-dua negara, sekali gus mengembalikan ketenangan di tengah-tengah kemelut pengharaman eksport pasir dan penahanan kapal membawa granit ke negara ini.

Meninjau hubungan rentas selat pula, republik ini telah menyuarakan kesediaan mempertingkat kerjasama dua hala dan memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) di Johor.

Langkah Singapura dan Malaysia berganding bahu memberi isyarat jelas kepada golongan pesimis bahawa pemimpin kedua-dua negara berazam untuk terus memperkukuh hubungan sosio-politik bagi kemakmuran bersama jangka panjang.

Ini biarpun dua negara ini belum meleraikan kekusutan pada pelbagai isu, antaranya isu air dan Pulau Batu Putih.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di sebalik semua pertelingkahan itu, Malaysia sebenarnya adalah rakan dagangan terbesar Singapura.

Nilai dagangan dua hala mencecah $106 bilion tahun lalu, iaitu 13 peratus daripada nilai perdagangan negara ini dengan seluruh dunia.

Singapura pula antara rakan dagangan terbesar Malaysia dalam Asean.

Bulan depan pemimpin Singapura dan Malaysia akan bertemu dalam satu pertemuan retreat.

Menilai kesemua ini, kita harus menyedari bahawa Singapura sebenarnya bukanlah sebuah negara yang mengamalkan pendekatan tegar atau realis, tetapi mengambil pendekatan musyawarah atau konstruktivis demi manfaat jangka panjang.

Yang menariknya, pendekatan dan cara berhati-hati yang diamalkan republik ini dalam menangani pelbagai isu yang dihadapinya dengan negara luar menyamai kekata leluhur: menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak dan sama-sama berganding bahu bak aur dengan tebing.

Bagi yang belum dapat menerka, pemimpin kita sebenarnya tidak mendambakan kemenangan diri tetapi lebih menitikberatkan perpaduan demi kemakmuran jagat.

Bukankah si bestari ada mengatakan: bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat?

– Berita Harian, 30 April 2007, Isnin

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s